Skip to main content

Singapura

Apa yang perlu anda tahu sebelum mengundi dalam Pilihan Raya Presiden SG

Anggaran Waktu Membaca:
Apa yang perlu anda tahu sebelum mengundi dalam Pilihan Raya Presiden SG

Gambar fail pusat mengundi di Singapura. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 24 Aug 2023 12:06AM Dikemas Kini : 24 Aug 2023 08:18AM
SINGAPURA: Rakyat Singapura akan keluar mengundi pada 1 September untuk memilih presiden kesembilan negara.

Calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Presiden 2023: Mantan ketua pegawai pelaburan GIC Ng Kok Song, mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam dan mantan ketua eksekutif NTUC Income Tan Kin Lian.

Menjelang hari mengundi, ada beberapa perkara yang perlu anda ambil perhatian. Antaranya di manakah pusat mengundi yang ditetapkan untuk anda membuat pilihan 1 Sep nanti.

Pengundi yang layak boleh menggunakan aplikasi Singpass untuk mengakses kad ePoll atau kad undi elektronik yang tertera pusat mengundi mereka. Kad fizikal pula dijadual sampai ke peti surat anda dalam masa minggu ini.

Ini lagi perkara yang perlu anda tahu:

UNDI ADALAH WAJIB

Semua rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas wajib mengundi.

“Ia adalah hak asas rakyat dan tanggungjawab sivik mereka untuk memilih pemimpin dalam sebuah sistem demokrasi,” menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam laman webnya.

Hari Mengundi ialah cuti umum dan majikan dikehendaki memberi pekerja mereka "tempoh masa yang munasabah untuk mengundi" dengan pusat mengundi dibuka dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

APA YANG PERLU SAYA BAWA?

Jangan lupa untuk membawa kad pengenalan (NRIC) dan kad undi anda.

Kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, Pasukan Polis Singapura atau Pasukan Pertahanan Awam Singapura boleh digunakan untuk kakitangan beruniform.

Pasport yang sah juga boleh digunakan.

Anda akan menerima kad undi melalui pos di alamat kediaman terkini anda yang didaftarkan dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) kira-kira dua hingga tiga hari bekerja selepas Hari Penamaan Calon.

Jika anda lebih suka cara digital, anda boleh menggunakan aplikasi Singpass untuk mengakses kedua-dua IC digital dan kad ePoll anda.

BAGAIMANA JIKA SAYA ADA ALAMAT BARU?

Daftar Pengundi adalah berdasarkan alamat pengundi pada 1 Jun tahun ini, menurut laman web ELD.

Jika anda menukar alamat anda selepas tarikh tersebut, alamat baharu anda akan dicatatkan dalam Daftar Pengundi hanya apabila ia dikemas kini seterusnya.

"Oleh itu, jika pilihan raya diadakan sebelum Daftar dikemas kini, anda akan diperuntukkan untuk mengundi di pusat mengundi dalam kawasan pilihan raya alamat sebelum ini," kata jabatan itu.

BAGAIMANA JIKA SAYA TIDAK ADA DI SINGAPURA?

Nama mereka yang tidak dapat mengundi pada Hari Mengundi akan dikeluarkan daripada Daftar Pengundi selepas pilihan raya.

Walaupun mereka yang tidak lagi disenaraikan dalam Daftar Pengundi tidak akan dapat mengundi dalam pilihan raya akan datang, anda boleh memohon untuk mengembalikan status anda sebagai pengundi secara online menggunakan Singpass.

Jika anda mempunyai alasan yang sah tidak mengundi, tiada yuran pentadbiran akan dikenakan. Jika tidak, anda perlu bayar S$50.
BOLEHKAH SAYA MENGUNDI JIKA TINGGAL DI LUAR NEGARA?

Singapura mempunyai 10 pusat mengundi di luar negara di bandar berikut: Beijing, Canberra, Dubai, Hong Kong, London, New York, San Francisco, Shanghai, Tokyo dan Washington.

Pusat mengundi itu dipilih disebabkan "bilangan besar" rakyat Singapura yang tinggal di bandar tersebut, menurut ELD.

Sama seperti mengundi di Singapura, stesen mengundi di luar negara akan dibuka selama 12 jam, antara 8.00 pagi dan 8.00 malam.

Bagi yang tidak tinggal berhampiran mana-mana pusat mengundi, mereka boleh mengundi melalui pos.
Jika anda tinggal di luar negara tetapi akan pulang ke Singapura pada Hari Mengundi, anda boleh mengundi di pusat mengundi yang diperuntukkan di Singapura.

APAKAH MASA TERBAIK UNTUK MENGUNDI?

Pengundi boleh memeriksa keadaan di pusat mengundi dengan mengakses pautan VoteQ melalui kad ePoll mereka pada aplikasi Singpass dan di laman web ELD. Mereka juga boleh mengimbas kod QR pada kad undi mereka.

ELD juga menggantikan pen-X, yang diperkenalkan pada 2020, dengan Cap-X.
BAGAIMANA DENGAN PENGUNDI WARGA EMAS, PENJAGA?

Pusat mengundi akan mempunyai tempat menurunkan khas untuk kenderaan yang membawa pengundi warga emas dan mereka yang berkeperluan khas.

Kawasan itu bebas halangan, dengan kerusi roda disediakan untuk pengundi yang memerlukannya.

Golongan pengundi ini juga akan diberi keutamaan beratur untuk mendapatkan kertas undi.

Seorang penjaga akan dibenarkan menunggu dalam barisan keutamaan dengan pengundi sedemikian, dengan syarat mereka adalah pengundi sah. Mereka yang tidak layak, tidak dibenarkan masuk ke pusat mengundi.

Sekiranya bantuan diperlukan, pegawai pilihan raya akan membantu pengundi. Mereka kemudiannya akan dibawa berjumpa dengan penjaga mereka di pintu keluar.

Pegawai pilihan raya juga akan dapat membantu mereka yang tidak dapat menandakan kertas undi sendiri. Pegawai-pegawai ini sudah mengangkat sumpah merahsiakan pilihan pengundi.

Pengundi kurang daya penglihatan pula akan dibekalkan dengan stensil untuk membolehkan mereka mengundi secara bebas.
BAGAIMANA DENGAN MEREKA DI RUMAH JAGAAN?

Kira-kira 25 hingga 30 rumah jagaan di merata Singapura telah mengambil bahagian dalam program perintis di mana stesen mengundi akan disiapkan di kemudahan itu dan sebuah pasukan bergerak dikerahkan untuk membawa peti undi dan kertas kepada pengundi yang tidak dapat bergerak.

Aturan baharu itu disediakan susuli pindaan kepada undang-undang pilihan raya Singapura yang diluluskan di Parlimen pada Mac tahun ini.

ELD telah mengumpul maklum balas daripada pengendali rumah jagaan, selain pihak berkepentingan lain, mengenai usaha memperkenalkan aturan mengundi khas itu.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita