Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apa yang perlu anda tahu sebelum lintas sempadan Singapura-Malaysia mulai 1 Apr

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat pertama kalinya dalam tempoh dua tahun, mereka yang sudah lengkap divaksin di Singapura dan Malaysia boleh menyeberang sempadan darat kedua-dua negara dengan pengangkutan sendiri.

Kedua-dua negara mula melonggarkan sekatan perjalanan Jumaat ini (1 Apr) dengan membenarkan pelawat memandu kereta mereka atau menunggang motosikal melalui Koswe dan Linkedua.

Mereka juga boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan bas perjalanan bagi penumpang sudah divaksin sementara Singapura dan Malaysia berusaha memulihkan perkhidmatan bas awam rentas sempadan.

Berikut adalah perkara yang perlu anda siapkan sebelum membuat perjalanan anda:

Soalan: Apakah dokumen, aplikasi mudah alih yang saya perlukan?

Jawapan: Pastikan pasport anda sah untuk sekurang-kurangnya enam bulan.

Untuk ke Malaysia, anda perlu memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera.Ia serupa dengan aplikasi TraceTogether di Singapura .

Bagi penduduk bukan Singapura yang belum ada TraceTogether, pastikan profil anda pada aplikasi tersebut mengandungi nombor pengenalan, kewarganegaraan dan tarikh lahir yang sama seperti yang ditunjukkan dalam pasport yang anda gunakan untuk masuk Singapura.

Soalan: Mengapa saya perlukan aplikasi tersebut?

Jawapan: Aplikasi tersebut mengandungi bukti status vaksinasi COVID-19 yang diperlukan di imigresen untuk memasuki negara itu.

Ia juga diperlukan untuk mendaftar masuk ke tempat-tempat seperti pusat beli-belah, restoran dan hotel.

Soalan: Adakah saya perlu kad kemasukan negara?

Jawapan: Ya. Untuk memasuki Singapura, semua pelawat - termasuk warga Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang - dikehendaki mengisi kad ketibaan Singapura (SG) mereka dalam tempoh tiga hari sebelum tiba di pusat pemeriksaan, menurut laman web SafeTravel.

Kad ketibaan SG, bersama dengan perisytiharan kesihatan elektronik, akan memudahkan penyerahan maklumat peribadi, butiran perjalanan dan perisytiharan kesihatan semua pelawat yang ingin masuk Singapura.

Untuk masuk Malaysia pula, kad kemasukan tidak diperlukan di sempadan darat.

Soalan: Bagaimana cara saya sahkan status vaksinasi saya?

Jawapan: Bagi pelawat ke Malaysia dengan sijil vaksinasi digital yang dikeluarkan di luar negara, pastikan anda sudah mengesahkan sijil vaksinasi COVID-19 digital anda di portal MySafeTravel Malaysia sebelum berlepas.

(Tip: Selepas menerima emel pengesahan, disarankan untuk membuat salinan cetak sekiranya anda dikehendaki menyerahkan di pusat pemeriksaan.)

Sebaik sahaja anda sudah mengesahkan status vaksinasi anda pada portal MySafeTravel, pastikan butiran tersebut ditunjukkan pada aplikasi MySejahtera.

Sebagai alternatif, anda boleh mengemas kini status vaksinasi anda pada aplikasi MySejahtera melalui ikon "pelawat"

Soalan: Apakah vaksin dan sijil COVID-19 yang diterima Malaysia?

Jawapan: Pelawat mesti lengkap disuntik vaksin COVID-19 yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk dibenarkan masuk ke Malaysia.

Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah akan dibenarkan memasuki Malaysia tanpa perlu menunjukkan bukti vaksinasi, kata Kementerian Perdagangan dan Industri negara itu.

Pelawat yang menerima vaksin COVID-19 Sinovac atau Sinopharm hanya dianggap sudah lengkap divaksin jika mereka mendapatkan tiga dos.

Butiran vaksin COVID-19 yang diterima dan dos yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia adalah seperti berikut:

(Gambar: Facebook/Malaysia Ministry of health)

Di Malaysia, bagi mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas dianggap sudah lengkap divaksin dengan dua dos vaksin Pfizer, Moderna atau AstraZeneca - walaupun tanpa dos penggalak.

Bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, bagaimanapun, perlu mendapatkan dos untuk mengekalkan status sudah lengkap divaksin.

Soalan: Apakah vaksin dan sijil COVID-19 yang diterima Singapura?

Jawapan: Pelawat mesti lengkap disuntik vaksin COVID-19 yang diiktiraf WHO untuk memasuki Singapura. Mereka juga perlu memenuhi tempoh dos minimum sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tiba di negara ini.

(Gambar: Immigration and Checkpoints Authority)


"Pelawat yang memasuki Singapura dengan Sinovac/Sinopharm sebagai sebahagian daripada vaksinasi mereka akan dikehendaki mempunyai tiga dos vaksinasi untuk layak bagi Langkah Pengurusan Selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS)
melebihi empat bulan dari tarikh dos kedua mereka," menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di laman webnya.

Senarai penuh gabungan tiga dos vaksin yang diluluskan melibatkan Sinovac/Sinopharm dan vaksin-vaksin lain diluluskan WHO boleh didapati di sini, https://file.go.gov.sg/sinovac-mixed-vac-combi.pdf.

Soalan: Caj Jalan - berapakah bayaran untuk masuk ke Malaysia?

Jawapan: Kementerian Pengangkutan Malaysia mengesahkan bahawa semua pemandu kenderaan berdaftar Singapura dikehendaki membayar caj jalan (RC) sebanyak RM20 (S$6.40) untuk masuk di pusat pemeriksaan darat Malaysia - sama ada melalui Koswe di Woodlands atau Linkedua Tuas.

Bagaimanapun, antara 1 dengan 7 April, kenderaan Singapura diberi pengecualian bayaran RC.

Pelawat dari Singapura juga boleh mempertimbangkan untuk membeli kad EZ-Link x Touch 'n Go, yang merupakan kad dwi-mata wang yang direka untuk pemandu Singapura yang memasuki Malaysia. (ezlink.com.sg)

Harap maklum bahawa mulai 8 April, pelawat mesti memastikan kad Touch 'n Go mereka masih sah diguna dengan cukup wang untuk membuat pembayaran bagi mengelakkan kesesakan di pusat pemeriksaan.

Soalan: Perlukah saya mohon Permit Masuk Kenderaan Malaysia (VEP)?

Jawapan: Pada masa ini belum lagi diwajibkan untuk memohon Permit Masuk Kenderaan (VEP), walaupun Kementerian Pengangkutan Malaysia mengingatkan pemandu kenderaan Singapura untuk mendaftarkan VEP di https://vep.jpj.gov.my

Kenderaan yang sudah didaftarkan kemudiannya akan dipasang dengan tag pengenalan frekuensi radio (RFID) yang dihubung pada aplikasi e-dompet Touch 'n Go .

Kenderaan Singapura yang sudah dipasang RFID dan VEP mesti memastikan terdapat baki yang mencukupi dalam e-dompet mereka untuk membayar RC.

Soalan: Bagaimana dengan VEP Singapura?

Jawapan: Bagi mereka yang memandu kenderaan berdaftar asing ke Singapura mesti memastikan mereka mempunyai kad VEP/Autopass yang sah dan emel kelulusan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Permohonan boleh dibuat secara online, di laman web OneMotoring Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA), https://onemotoring.lta.gov.sg/content/onemotoring/home.html.

Pemandu kenderaan berdaftar asing mesti menerima emel kelulusan VEP LTA sebelum mereka melakukan perjalanan.

Mereka yang tidak mempunyai kad Autopass mesti mengambil kad mereka di cawangan LTA di Pusat Perkhidmatan Johor Bahru (34, Jalan Tun Abdul Razak Susur 1, 80000 Johor Bahru, Johor) sebelum memasuki Singapura.

"Mereka tidak akan dibenarkan memohon kad VEP/Autopass atau mengemas kini cukai jalan dan insurans motor mereka untuk kad Autopass sedia ada mereka di pusat pemeriksaan Singapura," menurut LTA.

Soalan: Adakah saya perlu membeli insurans perjalanan?

Jawapan: Menurut laman web MySafeTravel Malaysia, semua pelawat asing jangka pendek yang memasuki Malaysia mulai 1 April dikehendaki memiliki insurans perjalanan COVID-19 untuk kos rawatan perubatan dan kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19 di Malaysia.

Mereka harus mempunyai perlindungan sekurang-kurangnya AS$20,000 (S$27,096).

Ini termasuk semua pelawat jangka pendek tanpa mengira status vaksinasi COVID-19 atau status pemulihan mereka. Insurans itu hendaklah dibeli sebelum datang ke Malaysia sama ada dari syarikat insurans yang berpangkalan di Malaysia atau luar negara.

Begitu juga bagi semua pelawat jangka pendek ke Singapura. Mereka harus membeli insurans perjalanan bagi kos rawatan perubatan dan hospital berkaitan COVID-19.

Insurans perjalanan itu mesti menyediakan perlindungan sekurang-kurangnya S$30,000 (AS$22,000).

Rakyat Singapura dan penduduk tetap tidak perlu membeli insurans perjalanan COVID-19 kerana mereka boleh mengakses subsidi pemerintah dan pelan MediShield Hayat dalam Pelan Perlindungan Bersepadu mereka untuk membantu membayar bil perubatan mereka, jika mereka mengalami gejala dalam masa 14 hari selepas mereka pulang.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan