Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apa yang kita tahu tentang subvarian COVID-19 BA.2.75 atau 'Centaurus'

Anggaran Waktu Membaca:
Apa yang kita tahu tentang subvarian COVID-19 BA.2.75 atau 'Centaurus'

Gambar: CNA/Calvin Oh

Diterbitkan : 22 Jul 2022 09:40PM Dikemas Kini : 22 Jul 2022 09:41PM
SINGAPURA: Ketika Singapura bergelut dengan gelombang terbaru jangkitan COVID-19 disebabkan subvarian Omicron BA.4 dan BA.5, muncul subvarian terbaru, BA.2.75 atau Centaurus yang membuatkan bukan sahaja negara ini, malah seluruh penduduk dunia panik.

Varian tersebut pertama kali dikesan di India pada Mei dan sudah merebak ke negara-negara di Asia, Eropah, Amerika Utara dan Australia.

Singapura melaporkan dua kes import pertama varian tersebut pada Khamis (14 Jul).
Dalam catatan Twitter bulan lalu, seorang pakar virologi di Imperial College London berkata subvarian itu harus "dipantau rapi" disebabkan mempunyai bilangan mutasi yang lebih tinggi, mudah berjangkit dan menular di lebih banyak negara.

Meskipun varian tersebut nampaknya menular dengan pantas, para saintis berkata masih terlalu awal untuk menentukan dengan pasti jika subvarian BA.2.75 itu benar-benar mampu mengelak antibodi dengan lebih mudah daripada vaksin sedia ada serta jangkitan terdahulu.

Berikut ini apa yang kita tahu tentang subvarian baru BA.2.75 sejauh ini:

APAKAH BA.2.75 ATAU "CENTAURUS"?


BA.2.75 adalah subvarian Omicron BA.2 yang bertanggungjawab menyebabkan penularan jangkitan di negara-negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong awal tahun ini.

Anda boleh ibaratkan virus itu sebagai sebuah pokok.

COVID-19 adalah batang pokok dan salah satu dahannya ialah Omicron. Dari dahan Omicron, ada beberapa ranting termasuk subvarian BA.2. Subvarian BA.2.75 pula bercabang daripada BA.2.

Subvarian itu diberi gelaran "Centaurus" namun ia bukan nama rasminya. Nama gelaran itu dipercayai diberikan seorang pengguna Twitter yang sering mengongsikan berita mengenai COVID-19 di akaun beliau.

WHO belum lagi memberi nama khusus bagi BA.2.75 sama seperti subvarian BA.4 dan BA.5.

DI MANA VARIAN TERSEBUT SUDAH MEREBAK?

BA.2.75 menular dengan pantas sejak ia dikesan di India dengan laporan menyatakan subvarian itu sedang bersaing dengan subvarian BA.5 sebagai varian dominan.

Penularan Centaurus sudah dilaporkan di sekurang-kurangnya 10 negara lain termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan Kanada.

Dua kes import yang dilaporkan di Singapura dijangkiti virus itu selepas melakukan perjalanan ke India.

ADAKAH BA.2.75 LEBIH CEPAT MEREBAK ATAU LEBIH MEMUDARATKAN?

Meskipun ada beberapa tanda yang menunjukkan bahawa subvarian BA.2.75 menular dengan lebih pantas ataupun dikaitkan dengan penyakit yang lebih teruk berbanding varian Omicron terdahulu, buktinya adalah lemah atau belum lagi dinilai.

Oleh itu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah menetapkan varian BA.2.75 sebagai "varian dalam pemantauan" pada 7 Jul.

Berdasarkan statistik yang diberikan pangkalan data GISAID dan A*STAR, BA.2.75 mempunyai sembilan mutasi baru kepada protein pepaku (spike protein) berbanding subvarian asal BA.2. Ia merujuk kepada bahagian virus yang melekat pada reseptor sel manusia.

Dalam catatan Twitter bulan lalu, Makmal Bloom di institut penyelidikan Fred Hutch menyatakan varian itu harus dipantau disebabkan "perubahan antigenik yang ketara" berbanding subvarian BA.2.
Ia menarik perhatian dua mutasi iaitu G446S dan R493Q yang berpotensi untuk membantu virus itu elak daripada antibodi yang terkandung dalam vaksin sedia ada yang masih berkesan melawan subvarian BA.2.

R493Q khususnya meningkatkan keupayaan virus tersebut unutk melekat pada sel manusia.

Pun begitu, berdasarkan angka dari laman web Worldometer, pakar penyakit berjangkit, Paul Tambyah berkata subvarian itu tidak menyumbang kepada jumlah kes kematian yang dilaporkan di India.

ADAKAH SUNTIKAN VAKSIN DAN PENGGALAK MAMPU BERI PERLINDUNGAN?

Dengan suntikan vaksin dan dos penggalak sedia ada dihasilkan berdasarkan
virus SARS-CoV-2 yang muncul di Wuhan pada lewat 2019, ada kebimbangan jumlah mutasi yang besar dalam protein pepaku boleh membantu virus itu menembusi sistem imun individu dan boleh menjangkiti lebih ramai orang.

Meskipun begitu, para pakar berkata suntikan vaksin masih memberikan perlindungan kukuh terhadap penyakit COVID-19 yang teruk dan kematian.

Prof Paul Tambyah berkata "imuniti hibrid" yang melibatkan individu mendapatkan suntikan vaksin dan kemudian mendapat jangkitan ringan COVID-19 akan juga memberi perlindungan jangka panjang yang terbaik.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan