Apa yang dipersetujui PM Malaysia dan SG untuk hurai isu ruang udara, sempadan maritim?
Malaysia dan Singapura sudah bersetuju dengan "garis masa anggaran" untuk menentukan lokasi tepat sempadan maritim masing-masing di Selat Johor, dengan kerja-kerja teknikal yang dijalankan bersama bermula tahun ini.
This audio is generated by an AI tool.
Dalam isu berasingan mengenai pengurusan ruang udara, kedua-dua negara juga bersetuju bahawa aturan tanggungjawab bagi peruntukan khidmat trafik udara di Selatan Semenanjung Malaysia tidak menjejas kedaulatan.
Ini antara perkara yang dipersetujui oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkait isu-isu dua hala yang tertunggak, menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan awal Rabu (8 Jan).
Kenyataan para pemimpin itu dibuat selepas Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya, di mana para pemimpin tersebut berkata kedua-dua negara komited untuk mencari "huraian berdaya tahan dan saling menguntungkan" bagi isu-isu dua hala.
Bagi isu maritim, yang menurut kedua-dua pemimpin, sudah "menunjukkan kemajuan baik", sempadan-sempadannya sedang diteliti oleh sebuah kumpulan kerja teknikal dari kedua-dua negara.
Kumpulan itu sedang berusaha "menentukan dengan tepat" sempadan perairan menurut Perjanjian Negeri Selat dan Perairan Wilayah Johor 1927 (Perjanjian 1995) serta sudah bertemu sebanyak empat kali sejak Jun 2023.
Mesyuarat keempat itu diadakan di Singapura pada 11 November dan 12 November 2024, dan kedua-dua negara bersetuju dan menandatangani syarat-syarat rujukan dan skop kerja bagi kumpulan kerja teknikal tersebut.
"Sehubungan itu, kedua-dua negara juga bersetuju dengan satu garis masa anggaran, dan kerja-kerja teknikal yang dijalankan bersama bermula pada 2025," menurut kenyataan bersama itu.
"Kedua-dua pemimpin menggesa kumpulan kerja teknikal tersebut supaya meneruskan usaha mereka untuk menentukan lokasi tepat sempadan antarabangsa di Selat Johor di bawah Perjanjian 1995."
Pertikaian maritrim antara Malaysia dengan Singapura tercetus pada 2018 apabila Malaysia secara sepihak meluaskan Batasan Pelabuhan Johor Bahrunya di Tanjung Piai, bertindih dengan sempadan pelabuhan Singapura di Tuas.
Singapura membantah tindakan Malaysia itu pada Oktober 2018, sambil menyatakan tindakan itu adalah membawa kepada pencerobohan berulang kali oleh kapal-kapal kerajaan Malaysia ke dalam perairan Singapura. Sebagai tindak balas, Singapura kemudian meluaskan sempadan pelabuhannya sendiri, sambil menyatakan kawasan itu masih dalam perairannya.
Pada 2019, kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantung langkah meluaskan sempadan perairan mereka dan kembali kepada sempadan sebelumnya. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantung serta tidak meluluskan semua kegiatan komersil di kawasan tersebut, dan tidak membiarkan kapal-kapal mana-mana pemerintah atau kerajaan berlabuh di kawasan tersebut.
Kedua-dua pihak juga bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji isu-isu perundangan dan operasi berkait pertikaian maritim itu dan menyediakan asas bagi rundingan.
PENGURUSAN RUANG UDARA
Bagi isu ruang udara, Encik Anwar dan Encik Wong berkata mereka sudah mengesahkan semula komitmen untuk menyemak aturan tanggungjawab bagi peruntukan khidmat trafik ruang udara di Selatan Semenanjung Malaysia.
Aturan-aturan itu disarankan dan diluluskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada 1973 dan pelaksanaan menerusi Surat Perjanjian Operasi 1974 antara Pusat Kawalan Kuala Lumpur dan Singapura membabitkan Ketibaan, Pelepasan dan Penerbangan Rentas Udara dari Singapura.
"Kedua pemimpin itu bersetuju bahawa aturan tanggungjawab tersebut tidak menjejas kedaulatan dan semakan itu harus dilakukan berdasarkan syarat-syarat ICAO bagi pengurusan ruang udara secara selamat dan cekap selain memenuhi keperluan operasi kedua-dua negara baik yang sekarang atau pada masa akan datang," menurut kenyataan itu lagi.
"Kedua-dua pemimpin mengerahkan para menteri pengangkutan untuk memimpin penguasa-penguasa penerbangan awam untuk melanjutkan rundingan, dan sering mengadakan pertemuan untuk saling bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama."
Pada 2018, Malaysia menolak prosedur-prosedur baharu pendaratan yang diusulkan bagi Lapangan Terbang Seletar Singapura, sambil menyatakan ia akan menjejas pembangunan dan operasi perkapalan di Pasir Gudang Johor. Ia juga mewujudkan "kawasan sekatan tetap" di ruang udara di Pasir Gudang, sekali gus memperkenalkan zon larangan penerbangan dalam laluan ke Lapangan Terbang Seletar.
Kementerian Pengangkutan Singapura kemudian memberi respons dengan menyatakan prosedur-prosedur baharu pendaratan bagi Lapangan Terbang Seletar tidak mengenakan sekatan ketinggian.
Singapura juga menyatakan ia menghormati kedaulatan Malaysia dan pengurusan ruang udara rentas sempadan "tidak bertentangan dengan kedaulatan".
Meskipun kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantung tindakan mereka pada Januari 2019, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata semasa satu persidangan bersama dengan rakan sejawatannya pada waktu itu, iaitu Encik Khaw Boon Wan, pada April tahun itu bahawa Malaysia sudah ada keupayaan untuk menguruskan ruang udaranya sendiri.
"Itu adalah kedaulatan ruang udara kami yang sudah menjadi isu berpanjangan dan kami mahu menguruskan ruang udara kami sendiri," kata beliau, dipetik oleh Malay Mail.
"Kami rasa selepas 45 tahun membahagikan tanggungjawab menguruskan ruang udara itu dengan Singapura, kini sudah tiba masa untuk kami menyemak aturan tersebut."
Semasa rahat pemimpin ke-10 di Singapura pada Oktober 2023, Encik Anwar dan Perdana Menteri Singapura pada waktu itu Lee Hsien Loong, mengalu-alukan pengunduran prosedur-prosedur sistem pendaratan Singapura bagi Lapangan Terbang Seletar dan penggantungan "tanpa batas waktu" Malaysia ke atas kawasan larangan tetap di Pasir Gudang.
Kedua-dua pihak juga menarik perhatian bahawa sebuah jawatankuasa tertinggi sudah ditubuhkan untuk menyemak Surat Perjanjian Operasi 1974 antara Pusat Kawalan Kuala Lumpur dan Singapura membabitkan Ketibaan, Pelepasan dan Penerbangan Rentas Udara dari Singapura.
PEDRA BRANCA, MIDDLE ROCKS & SOUTH LEDGE
Kedua-dua pemimpin juga memberi kemas kini mengenai pelaksanaan keputusan Mahkamah Keadlian Antarabangsa (ICJ) mengenai Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge, iaitu pulau-pulau di gerbang timur ke Selat Singapura.
Encik Anwar dan Encik Wong berkata para peguam Malaysia dan Singapura sudah menyerahkan laporan bersama mengenai isu tersebut, dan memuji usaha-usaha oleh wakil kedua-dua pihak dalam satu mesyuarat bersama pada 14 Mac 2019, mengenai pelaksanaan peraturan dan penetapan sempadan.
"Kedua-dua pihak komited untuk menghuraikan isu-isu sempadan maritim yang tertunggak antara kedua-dua negara," kata para pemimpin itu.
Pada 2008, ICJ memuktamadkan bahawa Pedra Branca adalah milik Singapura manakala Middle Rocks pula milik Malaysia. ICJ juga memutuskan bahawa South Ledge adalah milik negara di mana ia terletak dalam perairan wilayahnya.
Malaysia membantah keputusan Singapura untuk membangunkan Pedra Branca, sambil menekankan bahawa tindakan itu akan menjejas persekitaran dan juga sempadan Malaysia dengan Singapura. Ia juga melancarkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat keputusan kerajaan pada 2018 untuk menggugurkan permohonan menyemak keputusan ICJ.
Dalam responsnya, Singapura menyatakan bahawa kerja-kerja pembangunan di Pedra Branca diperlukan untuk mempertingkat keselamatan maritim serta keupayaan mencari dan menyelamat di kawasan itu. Ini walaupun Singapura sudah bersetuju untuk menghentikan sementara kerja-kerja itu untuk mendengar keprihatinan Malaysia atas dasar kerjasama dan niat baik.
Semasa rahat pemimpin sebelum ini di Singapura, Encik Anwar berkata beliau menerima persetujuan Encik Lee "untuk mendengarkan hujah-hujah kami dalam masa terdekat".
Dalam satu jawapan bertulis parlimen pada Selasa (7 Jan), Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan juga berkata bahawa suruhanjaya siasatan diraja adalah urusan dalam negara bagi Malaysia, dan tidak harus menjejas hubungan baik dua hala antara kedua-dua negara.
ZON EKONOMI KHAS JOHOR-SG
Mengulas tentang Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Encik Anwar dan Encik Wong berkata pada Rabu bahawa JS-SEZ merupakan "pencapaian penting" dalam hubungan Malaysia-Singapura.
Zon itu akan "membolehkan kedua-dua negara memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk mendorong inovasi, mempertingkat produktiviti, bersaing bagi mendapatkan pelaburan global, mewujudkan pekerjaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi", kata mereka.
Untuk mencapai matlamat JS-SEZ, Kementerian Ekonomi Malysia dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura menyatakan dalam satu kenyataan bersama pada Rabu bahawa kedua-dua negara sudah bersetuju untuk "saling memanfaatkan kelebihan masing-masing".
"Di bawah perjanjian ini, Malaysia dan Singapura akan bekerjasama berdasarkan manfaat bersama untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, memudahkan pergerakan rentas sempadan bagi rakyat dan barangan, mempertingkat kemudahan untuk melakukan perniagaan dan menyokong pembangunan bakat dalam JS-SEZ untuk bersaing dengan lebih baik bagi meraih pelaburan global," menurut kenyataan itu lagi.
JS-SEZ, yang pertama kali diperkenalkan pada Julai 2023, akan meliputi bidang-bidang yang "ditetapkan" dalam perjanjian itu dan termasuk Daerah Pembangunan Iskandar dan Pengerang di tenggara Johor, menurut kedua-dua kementerian.
Malaysia sudah menyatakan bahawa JS-SEZ akan meliputi kawasan seluas 3,571 kilometer persegi dan merangkumi sembilan "kawasan utama" yang memenuhi keperluan sektor ekonomi berbeza.
Selain daerah Iskandar dan Pangerang, ia termasuk pusat bandar Johor Bahru, Tangjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, Sedenak, Forest City dan Desaru.
Malaysia dan Singapura akan menggalak dan memudahkan pelaburan dalam 11 sektor ekonomi: Pengilangan, logistik, jaminan makanan, pelancongan, tenaga, ekonomi digital, ekonomi hijau, khidmat kewangan, khidmat perniagaan, pendidikan dan kesihatan.
Pelaburan-pelaburan ini akan mempertingkat tahap kompleks ekonomi, menggalak dan memajukan pengembangan digital serta pelaksanaan teknologi, serta mencapai aspirasi sifar bersih dalam JS-SEZ, tambah kedua-dua kementerian.
Malaysia dan Singapura juga akan memudahkan pembangunan projek-projek tenaga boleh diperbaharui untuk mempercepat perdagangan tenaga boleh diperbaharui antara kedua-dua pihak, dan mempertimbangkan pembangunan dalam bidang-bidang baharu bagi zon-zon bebas dan membantu permohonan bagi gudang-gudang pengilangan berlesen dalam JS-SEZ, tambahnya.
Dalam satu kenyataan bersama pada Rabu, Menteri Kewangan Malaysia dan kerajaan negeri Johor menyatakan pakej insentif cukai bagi JS-SEZ direka untuk mendorong kemasukan pelaburan-pelaburan bernilai tinggi ke Johor, yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan berubah-ubah para pelabur global dan domestik.
Berkuat kuasa 1 Januari, ini termasuk kadar cukai korporat khas 5 peratus bagi sehingga 15 tahun untuk syarikat yang menerima pelaburan baharu untuk melayakkan diri menjalankan kegiatan pengilangan dan perkhidmatan, seperti kecerdasan buatan dan kuantum rantaian bekalan pengkomputeran, peranti perubatan dan pengilangan aeroangkasa.
"Para pekerja berpengetahuan" yang digajikan dalam JS-SEZ juga akan menerima kadar cukai peribadi khas 15 peratus bagi 10 tahun, manakala insentif tambahan akan diperuntukan kepada perniagaan yang beroperasi di kawasan-kawasan utama tertentu dalam JS-SEZ.
Maklumat terperinci mengenai insentif cukai dan zon-zon utama itu akan diumumkan "apabila tiba waktunya", menurut kenyataan itu.
Singapura dan Malaysia juga akan bekerjasama untuk menarik bakat-bakat yang sejajar dengan keperluan industri untuk bekerja dalam JS-SEZ, menurut kementerian kedua-dua negara, termasuk dengan mempertingkat program latihan dan pendidikan kemahiran bagi mempersiap diri berdasarkan industri dan menjalankan inisiatif-inisiatif ini dengan kerjasama Majlis Pembangunan Bakat Johor dan institusi lain yang relevan.
Ini termasuk kerjasama untuk mengukuhkan usahasama dalam inisiatif pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional untuk memenuhi keperluan industri, seperti Memorandum Persefahaman (MOU) antara Politeknik Singapura dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, dan Khidmat Pendidikan ITE Singapura dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Johor.
Encik Anwar dan Encik Wong dalam kenyataan bersama pada Rabu menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin mengiktiraf prospek menjanjikan bagi kerjasama lanjut dalam pembangunan Iskandar Malaysia, khususnya dengan penubuhan JS-SEZ.
Zon itu akan menetapkan asas bagi "ekosistem perniagaan dinamik dan mampan", kata mereka, sambil mengesahkan rundingan berterusan diadakan untuk menyuntik kesegaran dalam Jawatankuasa Kementerian Bersama bagi platform Iskandar Malaysia untuk memberi sokongan lebih baik kepada cita-cita dan pelaksaan JS-SEZ, di samping mengkukuhkan kerjasama dua hala dalam aspek-aspek lain, seperti pengangkutan dan sekitaran.
Di rahat pemimpin itu, Malaysia dan Singapura juga memeterai MOU bagi kerjasama dalam bidang-bidang pendidikan tinggi, pembangunan bandar, pembangunan keluarga, dan penyimpanan karbon, kredit karbon selain mencegah dan membanteras jenayah rentas sempadan.
Selain itu, kedua-dua negara memeterai Surat Niat bagi Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia-Singapura. Ini susulan kepada saranan Encik Anwar semasa pertemuan pertamanya dengan Encik Wong pada Jun tahun lalu.
Yayasan Guru Tun Hussein Onn Malaysia dan Yayasan Antarabangsa Singapura sedang berunding untuk mengadakan program perintis dalam tahun ini.
Di bawah program itu, para sukarelawan dari Singapura akan membantu mengajar bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dan negeri-negeri tertentu di Malaysia.
PENDIDIKAN TINGGI
Singapura dan Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, dan membuka laluan bagi lebih banyak kerjasama institusi, antara rakyat kedua negara, serta perkongsian maklumat antara Malaysia dengan Singapura.
Di bawah MOU ini, kedua-dua pihak akan menggalak kerjasama pendidikan tinggi antara institusi pendidikan tinggi dalam aspek pertukaran kakitangan dan pelajar, pertukaran maklumat dan pengalaman, program latihan kakitangan, pertukaran biasiswa, dan penganjuran bersama kegiatan dan program.
PEMBANGUNAN BANDAR
MOU mengenai pembangunan bandar pula menyasarkan untuk memperkukuh pembangunan bandar antara Kementerian Pembangunan Bandar Singapura dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia.
Di bawah MOU ini, para pegawai kementerian kedua negara akan memperdalam pembelajaran bersama dalam bidang seperti perancangan penggunaan tanah untuk mewujudkan bandar-bandar yang boleh dijadikan tempat tinggal, mewujudkan rumah-rumah bijak yang bermutu, serta pengurusan perbandaran. Perkongsian pengetahuan dalam topik-topik ini akan dilakukan menerusi inisiatif seperti lawatan belajar dan pertukaran teknikal.
PEMBANGUNAN KELUARGA
MOU bagi kerjasama dalam bidang kebajikan sosial, memperkasa wanita dan orang kurang upaya, pembangunan keluarga, kanak-kanak dan masyarakat bertujuan memperkukuh dan menggalak kerjasama pembangunan sosial antara Singapura dengan Malaysia. memandangkan kedua-dua negara "mempunyai nilai-nilai dan kepentingan serupa" dalam bidang berkait keluarga, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura.
Bidang kerjasama ini termasuk memupuk hubungan antara institusi pemerintah dan pertubuhan melibatkan pembangunan sosial, pertukaran maklumat mengenai dasar-dasar dan program, lawatan ke institusi bagi menjalin hubungan kerjasama dan kerjasama teknikal, mengadakan bengkel, seminar dan program latihan bersama untuk membangun modal insan dalam kerja sosial serta pembangunan masyarakat.
PENYIMPANAN KARBON DIOKSIDA
Di bawah MOU ini, Singapura dan Malaysia akan mengadakan rundingan untuk mengupaya penyimpanan karbon (CCS) dan membincangkan komponen-komponen perjanjian antara pemerintah.
Kedua-dua negara juga akan berkongsi amalan terbaik dan maklumat mengenai CCS, dan memudahkan projek-projek kajian industri yang relevan. Satu jawatankuasa bersama yang terdiri daripada para wakil dari kedua pihak akan ditubuhkan untuk memudahkan pelaksanaan MOU itu.
CCS adalah proses penyimpanan tetap dan pengangkutan karbon dioksida yang sekali gus mengelak pelepasannya ke dalam atmosfera. Proses itu boleh meleburkan pengeluaran karbon yang sukar dihapuskan, yang sebelum ini tiada huraian alternatif, dalam sektor-sektor seperti tenaga dan kimia, tenaga dan sisa.
KREDIT KARBON
Pemeteraian MOU dalam kerjasama kredit karbon di bawah Perkara 6 Perjanjian Paris memberi isyarat kepada niat Singapura dan Malaysia untuk menjalankan kerjasama secara sukarela untuk mencapai sasaran mengurangkan pelepasan karbon seperti yang ditetapkan oleh Sumbangan Ditentukan Kebangsaan (NDC), menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura.
Di bawah MOU itu, Singapura dan Malaysia akan berusaha untuk mencapai Perjanjian Pelaksanaan yang mengikat secara sah. Perjanjian ini akan mewujudkan rangka kerja dua hala untuk penjanaan dan pemindahan antarabangsa kredit karbon yang diselaraskan dengan Perkara 6 Perjanjian Paris.
Perjanjian Pelaksanaan itu akan mengupaya pembangunan projek kredit karbon yang membuka peluang bagi tambahan potensi mitigasi, menggalak pembangunan mampan dan menyampaikan manfaatnya kepada masyarakat tempatan.
JENAYAH RENTAS SEMPADAN
Di bawah MOU itu, Singapura dan Malaysia akan mempertingkat kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan seperti pengedaran dadah, pengganasan, jenayah siber dan penipuan.
Kementerian ehwal dalam negeri kedua negara juga akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama untuk mengenal pasti dan membangunkan kegiatan, dasar-dasar atau program untuk dijalankan di bawah rangka kerja MOU tersebut.
"Kedua pemimpin menggalak para pegawai masing-masing supaya mengambil tindakan pantas di bawah MOU-MOU ini untuk memastikan komitmen yang dibuat dijalankan dan membuahkan hasil," kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Rabu.
"Kedua pemimpin menzahirkan rasa yakin bahawa dengan mengekalkan pendekatan proaktif dan berorientasikan keputusan, inisiatif-inisiatif yang digariskan dalam MOU berbilang aspek itu akan dilaksanakan dengan berjaya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.