Apa yang dilakukan ISD jika seseorang disyaki menjadi radikal?
Dalam keadaan di mana seseorang disyaki menjadi radikal, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menyatakan pada Khamis (17 Mac) bahawa ia akan melakukan beberapa temu bual dan penilaian psikologi untuk menilai jika individu itu merupakan ancaman kepada keselamatan.
(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Dalam keadaan di mana seseorang disyaki menjadi radikal, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menyatakan pada Khamis (17 Mac) bahawa ia akan melakukan beberapa temu bual dan penilaian psikologi untuk menilai jika individu itu merupakan ancaman kepada keselamatan.
Ia adalah sebahagian daripada proses soal siasat yang dijalankan ISD terhadap kes yang mungkin terbabit dengan kegiatan radikal dan mengambil kira sebarang tanda disyaki radikal yang ditonjolkan individu tersebut.
Dalam kes membabitkan Fadhil Yusop, 37 tahun, lelaki yang didakwa sengaja menyebabkan kecederaan setelah dia dilihat menghayunkan pedang dan menyerang seorang lelaki di Buangkok, ISD menyatakan "siasatan awal sejauh ini tidak menunjukkan bahawa ia satu tindakan pengganasan".
ISD menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan dan memberikan perkembangannya dalam masa terdekat.
Menyusuli laporan bahawa ISD pernah menyiasat Fadhil sebanyak dua kali - sekali pada 2016 dan sekali lagi pada 2020 - dan menilai bahawa dia tidak menjadi radikal, sesetengah orang menyoal di media sosial bagaimana keadaan itu dinilai pihak berkuasa.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, ISD menyatakan dalam keadaan di mana sebarang tanda radikal dikesan, ia akan menemu bual suspek dan mereka dalam lingkungannya untuk mengumpul maklumat lanjut.
Penilaian psikologi juga mungkin dijalankan, jika perlu untuk menilai "kecenderungan individu itu terhadap keganasan" dan jika dia mudah terdedah kepada pengaruh radikal.
"Berdasarkan maklumat yang diperolehi menerusi pelbagai wadah, satu penilaian kemudian akan dibuat sama ada individu itu menimbulkan sebarang ancaman keselamatan," menurut ISD.
Namun tambahnya, ia tidak boleh mendedahkan secara terperinci proses saringan disebabkan ia satu operasi yang sensitif dan setiap kes adalah unik.
TANDA-TANDA DISYAKI RADIKAL
Sebagai sebahagian daripada siasatan ISD terhadap kes seseorang itu mungkin telah menjadi radikal, ISD akan menentukan jika terdapat sebab untuk mengesyaki jika individu itu mungkin sudah menjadi radikal.
Ini mengambil kira sebarang tanda disyaki radikal yang ditonjolkan oleh individu itu seperti:
- Kerap melungsuri laman berkaitan fahaman radikal
- Memuat naik atau berkongsi fahaman pelampau di wadah media sosial, seperti menunjukkan sokongan atau kagum terhadap kumpulan pengganas atau pengganas, serta keganasan
- Berkongsi pandangan pelampau bersama teman-teman dan sanak saudara
- Membuat komen yang menggalakkan rasa kebencian atau buruk sangka terhadap individu yang berlainan kaum atau agama
- Meluahkan hasrat untuk mengambil bahagian dalam tindakan ganas di luar negara atau di Singapura, menghasut orang lain untuk mengambil bahagian dalam keganasan, atau kedua-duanya sekali
"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang individu yang menjadi radikal dan/atau terlibat dalam tingkah laku pengganas," menurut ISD.
Ini termasuk sesiapa yang menyokong, menggalakkan, melakukan atau membuat persiapan untuk melakukan keganasan bersenjata, tidak kira bagaimana mereka mewajarkan keganasan itu, menurut ISD.
ISD juga bekerja rapat dengan agensi-agensi awam dan rakan kongsi masyarakat yang lain untuk mengatasi sebarang ancaman keselamatan, termasuk kes disyaki radikal, tambahnya.
Sebagai contoh, ISD mungkin merujukkan kes sedemikian kepada agensi-agensi awam yang lain untuk disiasat dan siasatan lanjut, jika terdapat petunjuk bahawa individu itu mungkin sudah melakukan kesalahan lain.
ISD juga mungkin bekerjasama dengan agensi-agensi awam dan rakan kongsi masyarakat yang lain untuk menjalankan campur tangan sesuai bagi individu itu, termasuk kaunseling.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.