Skip to main content

Singapura

Apa yang diketahui tentang Omicron setakat ini & apa maknanya bagi pembukaan semula S'pura?

Anggaran Waktu Membaca:
Apa yang diketahui tentang Omicron setakat ini & apa maknanya bagi pembukaan semula S'pura?

(Gambar fail: Ong Ye Kung/Facebook)

Diterbitkan : 30 Dec 2021 10:02AM Dikemas Kini : 30 Dec 2021 01:07PM

SINGAPURA: Pada Isnin (27 Dis), pengurusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19, Encik Lawrence Wong, berkata bahawa Singapura akan menangani kes-kes Omicron seperti mana varian Delta ditangani, memandangkan dapatan awal antarabangsa menunjukkan bahawa varian Omicron lebih mudah berjangkit tetapi menyebabkan penyakit kurang serius berbanding Delta. 

Ini bermakna para pesakit yang dijangkit varian Omicron boleh mengasingkan diri di rumah sementara sekatan sempadan akan ditarik balik bagi negara-negara seperti Botswana, Ghana dan juga Afrika Selatan di mana varian tersebut sudah menular, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media pada Ahad (26 Dis). 

Ini berbeza dengan sebulan lalu apabila varian Omicron baru saja dikesan dan pihak berkuasa memperketatkan lagi langkah kawalan sempadan dan mengarahkan mereka yang disahkan atau disyaki dijangkiti varian tersebut supaya mengasingkan diri di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) untuk membendung kes-kes Omicron di Singapura. 

Sejauh mana perbezaan varian Omicron berbanding Delta dan sama ada pendekatan terkini Singapura dalam menangani kes-kes Omicron bermakna ia boleh meneruskan perancangan untuk membuka semula negara.

PERBEZAAN OMICRON DAN DELTA 

Pakar penyakit berjangkit yang diwawancara Mediacorp mengatakan varian Omicron lebih mudah berjangkit berbanding Delta. 

Dr Ling Li Min, perunding kanan di Klinik Rophi, mengatakan jumlah kes Omicron naik dua kali ganda setiap dua hingga empat hari, iaitu tempoh yang lebih pendek berbanding varian Delta. 

Dr Ling menukil kajian oleh Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom yang menunjukkan mutasi Omicron adalah 3.2 kali ganda lebih berkemungkinan dijangkiti dalam kalangan anggota serumah berbanding dengan Delta. 

Sungguhpun demikian, kajian awal menunjukkan varian Omicron menyebabkan jangkitan yang kurang serius berbanding Delta. 

Misalnya, kajian awal oleh para saintis di Universiti Edinburgh mendapati pesakit yang dijangkiti Omicron hampir 60 peratus kurang kemungkinan untuk dirawat di hospital berbanding dengan pesakit yang dijangkiti Delta. 

Bagaimanapun, Dr Duane Gubler daripada Sekolah Perubatan Duke-NUS mengatakan jangkitan setakat ini kelihatan kurang serius dalam kalangan para pesakit disebabkan perlindungan yang ditawarkan vaksin dan juga jangkitan COVID-19 dalam pesakit sebelum itu. Beliau menambah bahawa kajian lanjut diperlukan untuk mengenal pasti betapa serius varian Omicron itu. 

Dr Ling juga mengatakan masih awal lagi untuk mengesahkannya kerana penyakit serius biasanya akan muncul beberapa minggu kemudian. 

BOLEHKAH VAKSIN MELAWAN OMICRON? 

Menerusi akaun Facebooknya pada Isnin (27 Dis), Encik Wong, yang juga menyandang jawatan sebagai Menteri Kewangan, menyatakan bahawa suntikan vaksin dan juga dos penggalak kekal sebagai "strategi utama" melawan varian Omicron. 

Profesor Madya Ashley St John daripada Sekolah Perubatan Duke-NUS mengatakan terdapat "petanda kuat" daripada negara-negara yang lain bahawa suntikan vaksin sangat berkesan untuk mengelak penyakit-penyakit serius yang berpunca daripada semua varian COVID-19 yang sudah dikesan. 

Untuk mengehadkan lonjakan kes COVID-19 dalam kalangan antara mereka yang sudah divaksin, Professor Madya St John berkata bahawa suntikan dos penggalak digalakkan kerana ia dapat mengurangkan lagi kemungkinan penyakit serius dan juga gejala-gejalanya. 

Dr Francis Collins, pengarah agensi kajian kesihatan awam Amerika Syarikat, Institut Kesihatan Nasional, menukil kajian oleh penghasil vaksin Pfizer yang menunjukkan dos penggalak vaksin Pfizer-BioNTech meningkatkan lagi antibodi terhadap Omicron ke paras setara dengan rejimen dua dos terhadap varian asal koronavirus itu.

HARUSKAH KITA TANGANI OMICRON SEPERTI DELTA? 

Professor Madya St John mengatakan ia "munasabah" untuk menangani Omicron dengan cara yang sama seperti Delta. Ini kerana kebanyakan penduduk Singapura sudah divaksin dan vaksin didapati "sangat berkesan" untuk melindungi diri daripada penyakit serius yang berpunca daripada Omicron. 

Tambah beliau, virus itu boleh dikawal melalui langkah-langkah yang lain seperti memakai pelitup dengan betul, diuji bagi COVID-19 dan juga mengasingkan mereka yang boleh menjangkiti orang lain. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Asia Basifik bagi Mikrobiologi Klinikal dan Jangkitan, Dr Paul Tambyah, menyifatkan pendekatan yang diambil Pemerintah baru-baru ini sebagai "keputusan yang betul".  

Beliau berkata pihak berkuasa menyedari dengan pantas bahawa ia tidak praktikal untuk mengadakan strategi sifar-Omicron dan mengubah strategi asal, iaitu hidup dengan COVID-19, menyusuli data yang boleh diyakini daripada Selatan Afrika dan United Kingdom mengenai tahap serius varian Omicron.

BOLEHKAH SINGAPURA DIBUKA SEMULA SEPERTI DIRANCANG? 

Dengan MOH menyatakan pada Ahad (26 Dis) bahawa ia menjangkakan gelombang baru penularan kes tempatan COVID-19 pada minggu-minggu yang akan datang akibat varian Omicron yang mudah menular dan dijangkiti, bolehkan Singapura melonggarkan sekatan dan dibuka semula seperti dirancang? 

Pakar penyakit berjangkit berkata Singapura boleh melangkah ke arah hidup dengan COVID-19, namun menambah bahawa pihak berkuasa harus tetap mengawal jumlah pesakit yang dirawat di hospital. 

Dr Dale Fisher, pakar perunding penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH), berkata dengan adanya lebih banyak maklumat, Singapura kini "lebih yakin" bahawa Omicron tidak akan mengancam negara dan sekatan-sekatan boleh dilonggarkan. 

Beliau juga menyatakan bahawa kes COVID-19 yang perlu dirawat di hospital atau di ICU kini paling rendah dalam tempoh berbulan lamanya dan jumlah kes yang kini rendah, di samping kadar vaksinasi yang tinggi, menyokong potensi untuk mempercepatkan lagi pembukaan semula negara ini. 

"Pembukaan semula Singapura akan membawa manfaat nyata dari segi sosial dan ekonomi dan juga merangsang semangat penduduk," tambah beliau lagi. 

Profesor Madya Hsu Li Yang dari Sekolah Kesihatan Awam Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS) mengatakan terdapat maklumat yang mencukupi untuk menyedari bahawa tiada sebab untuk langkah-langkah yang lebih ketat dikuatkuasakan berbanding dengan varian-varian lain. 

Sekalipun demikian, beliau memberi amaran bahawa sejumlah besar kakitangan jagaan kesihatan ataupun pekerja barisan hadapan mungkin dijangkiti Omicron dalam tenpoh yang sama menerusi jangkitan dalam masyarakat. 

Ini akan mengurangkan kapasiti jagaan kesihatan serta menjejas khidmat asas yang lain buat sementara waktu. 

Beliau menambah juga bahawa pihak berkuasa mungkin akan menanti dan melihat kesan lonjakan Omicron di Singapura dalam beberapa minggu akan datang untuk mengesahkan sama ada penduduk dilindung daripada kesan-kesan buruk varian tersebut.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita