Skip to main content

Singapura

Apa yang boleh SG lakukan untuk elak kes pengubahan wang haram daripada berulang

Anggaran Waktu Membaca:
Apa yang boleh SG lakukan untuk elak kes pengubahan wang haram daripada berulang

(Gambar: Singapore Police Force)

Diterbitkan : 22 Sep 2023 11:35AM Dikemas Kini : 22 Sep 2023 11:43AM
SINGAPURA: Serbuan yang dijalankan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) baru-baru ini menyaksikan rampasan serta pembekuan aset dan wang tunai bernilai S$2.4 bilion. Dakwaan pengubahan wang haram dan pemalsuan juga dikenakan ke atas suspek.

Ia dilaporkan bahawa institusi-institusi kewangan mendapati beberapa laporan urus niaga yang difailkan mencurigakan dan memaklumkan pihak berkuasa mengenai aktiviti-aktiviti yang mencurigakan. Dengan bantuan selanjutnya oleh institusi-institusi kewangan ini, pihak berkuasa berjaya mengesan jumlah wang itu, dan membuat penahanan.

Namun, ada yang mungkin terfikir bagaimana kegiatan-kegiatan haram sebegitu boleh berlaku di persekitaran yang mana wujudnya undang-undang ketat dan proses pematuhan yang tegas.

Pengubahan wang haram biasanya isu yang rumit, dijalankan secara berperingkat dan melalui beberapa pihak dan urus niaga, yang menjadikan pengesanannya sukar. Teknologi baharu dari segi aset digital seperti wang kripto, menyediakan wadah tambahan buat si pelaku.

Dalam kes baru-baru ini, suspek didakwa mengubah wang hasil kegiatan jenayah di luar negara termasuk penipuan dan perjudian dalam talian, memalsukan dokumen sebagai bukti kepada sumber dana dalam berbilang akaun bank, dan akhirnya, menggunakan hasil jenayah itu untuk membeli aset.

Ini berlaku melalui berbagai transaksi melibatkan akaun bank dengan jumlah anggaran nilai melebihi S$1.1 bilion, dan pembelian 110 hartanah, 62 kenderaan dan banyak lagi.

Individu yang sabit kesalahan pengubahan wang haram boleh didenda sehingga S$500,000, dipenjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. Walaupun hukuman yang berat mungkin menghalang penjenayah kewangan, peraturan antipengubahan wang haram sahaja tidak dapat menghalang jenayah kewangan sepenuhnya.

Seringkali, penjenayah sedemikian memerlukan nasihat dan bantuan profesional. Oleh itu, akauntan, peguam dan penasihat kewangan menjadi sebahagian daripada barisan pertahanan pertama dalam memerangi jenayah kewangan.

BAGAIMANA AKAUNTAN MEMAINKAN PERANAN PENTING

Di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Serius Lain, adalah wajib untuk mana-mana karyawan memfailkan laporan transaksi yang mencurigakan jika mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki kelakuan jenayah seperti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan menggunakan hasil jenayah.

Akauntan awam yang menyediakan atau menjalankan transaksi berisiko tinggi, contohnya, membeli dan menjual hartanah dan pengurusan aset pelanggan, perlu mematuhi Peraturan Akauntan (Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan) 2023 yang ditetapkan oleh Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA).

Bagi khidmat yang berisiko tinggi, akauntan perlu memeriksa pelanggan terhadap pengubahan wang haram dan sumber maklumat pembiayaan keganasan. Ini boleh dilakukan berdasarkan senarai sekatan yang disediakan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Akauntan juga perlu menjalankan semakan sewajarnya ke atas pelanggan atau bakal pelanggan mereka. Ini membolehkan mereka mengenali pelanggan dan mengimbangi risiko pengubahan wang haram, sekali gus membantu mengenal pasti dan melaporkan aktiviti yang mencurigakan secara berkesan.

Akauntan juga perlu melakukan pemeriksaan yang lebih menyeluruh dan pemantauan yang lebih kerap ke atas pelanggan dari negara berisiko tinggi yang diketahui tidak mempunyai langkah-langkah yang mencukupi untuk membuat pengesanan dan pencegahan pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan.

Namun, penjenayah kewangan juga boleh mengelak daripada dikesan dengan mengeksploitasi sifat manusia. Sebagai contoh, tujuh orang didakwa di mahkamah pada 17 Ogos kerana menyerahkan akaun bank atau bukti kelayakan Singpass yang kemudian digunakan oleh sindiket penipuan bagi pengubahan wang haram.

Dalam satu kes, seorang wanita berusia 18 tahun bersetuju sertai skim pelaburan dalam talian di Telegram yang menawarkan sekurang-kurangnya S$10,000 sebagai membolehkan mereka menggunakan dua akaun banknya. Salah satu akaunnya didapati digunakan untuk hasil jenayah pengubahan wang haram.

Oleh itu, menangani isu pengubahan wang haram turut memerlukan usaha bersepadu daripada orang ramai, yang mungkin secara tidak sengaja akan terpalit sama.

PENDEKATAN TANPA TOLERANSI

Pihak berkuasa Singapura mengambil pendekatan tanpa toleransi terhadap jenayah kewangan.

Singapura mempunyai rangka kerja perundangan dan institusi yang kukuh untuk memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Apabila penjenayah kewangan menjadi lebih canggih dan terus menggunakan teknologi untuk melakukan pengubahan wang haram, perniagaan perlu berwaspada terhadap tanda-tanda yang mencurigakan, seperti syarikat yang ditubuhkan tanpa tujuan perniagaan yang jelas, pembelanjaan wang tunai yang tinggi dan pelanggan dengan lonjaka nilai bersih yang luar biasa melalui perjudian dan keuntungan loteri.

Ini akan sangat membantu untuk mengelak berulangnya - dalam kata-kata Timbalan Pendakwa Raya Eric Hu - "salah satu kes pengubahan wang haram yang paling serius, jika bukan yang paling teruk, di Singapura".
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita