Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apa yang bakal berlaku jika COE diganti dengan ERP 2.0?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bolehkah generasi Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) seterusnya - dengan unit baharu dalam kenderaan dijangka dipasang mulai tahun ini - menggantikan skim Sijil Hak Memliki Kereta (COE) kelak?

Harga COE yang melambung tinggi, yang sekali lagi mencatat rekod baharu minggu lalu, menimbulkan persoalan sama ada sistem itu perlu dirombak semula.

Sistem ERP yang baharu, dikenali sebagai ERP 2.0, akan berlandaskan satelit dan boleh mengesan sama ada sesebuah kereta itu berada di kawasan yang sesak.

Ia juga mampu mengenakan bayaran ke atas pemandu berdasarkan jarak perjalanan atau penggunaan kenderaan, kata Menteri Pengangkutan ketika itu, Ong Ye Kung pada 2020.

Beliau bagaimanapun menyatakan pemerintah "teragak-agak" untuk beralih kepada langkah mengenakan bayaran berdasarkan jarak, memandangkan dasar sedemikian mempunyai banyak implikasi dan perlu dikaji dengan teliti.

COE mengawal pemilikan kereta di Singapura, sementara ERP menyasar untuk menghadkan kesesakan dengan mengenakan bayaran bagi mereka yang memandu ke kawasan yang sesak semasa waktu sibuk.

Jika pengguna jalan raya dikenakan bayaran bagi jarak perjalanan di bawah ERP 2.0, bolehkah itu menjadi alternatif yang berdaya maju kepada COE? Bagaimana sistem sedemikian berfungsi? CNA bertanya kepada para pakar.

KEHIDUPAN TANPA COE

ERP 2.0 secara teknikal boleh menggantikan pemilikan kereta di Singapura, tetapi akan ada kesan ke atas tempat letak kereta dan kesesakan, kata para pakar.

Pertama, kesesakan akan bertambah teruk, ujar Profesor Madya Raymond Ong dari Universiti Nasional Singapura (NUS). Ini lebih-lebih lagi kerana harga ERP mungkin tidak meningkat banyak pada mulanya disebabkan tentangan daripada orang ramai.

Profesor Madya Walter Theseira, yang mengajar ekonomi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata bahawa kos lain yang berkaitan dengan memandu akan meningkat sekiranya pembeli tidak lagi perlu untuk mendapatkan COE.

KEKURANGAN PRASARANA LETAK KERETA

Satu lagi masalah ialah kekurangan tempat letak kereta jika jumlah kereta di Singapura naik menyusuli pemansuhan sistem COE, kata Prof Madya Theseira.


Sebilangan flat dan estet kediaman privet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) "sudah dibelenggu dengan masalah penyediaan tempat letak kereta yang tidak mencukupi", katanya.


"Ia berkemungkinan bahawa pengawalan ke atas pemilikan kenderaan akan hanya sebaliknya beralih kepada pengawalan letak kereta."


MASA DEPAN COE

Idea untuk menggunakan ERP berbanding COE dibangkitkan oleh para penggubal dasar pada ketika dahulu, menurut Prof Madya Theseira. Tanggapannya adalah bahawa kesesakan boleh dikawal dengan mengenakan bayaran ke atas pemandu bagi kegunaan mereka, dan jumlah kenderaan boleh melonjak.


"Namun, sejak itu, dasar kelihatan beralih dari pengawalan kenderaan, dan sebaliknya kepada menggalakkan mobiliti bandar dengan kurangnya penggunaan kereta (car-lite)," katanya, merujuk kepada dasar pertumbuhan sifar yang diperkenalkan pada akhir 2010an.


"Lantaran itu, meskipun selama ini ia boleh dilaksanakan untuk menggunakan bayaran jalan raya sebagai alternatif kepada cukai pemilikan kenderaan - dari segi teknologi dan juga dari perspektif pengurusan lalu lintas - saya rasa ini tidak lagi diutamakan kerana ingin menggalakkan mobiliti bandar dengan kurangnya penggunaan kereta," katanya.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan