Skip to main content

Singapura

Apa sebabnya harga flat jualan semula HDB semakin tinggi?

Pada April lalu, Kementerian Pembangunan Negara (MND) memberi amaran bahawa sekitar 85 peratus projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) sekitar enam hingga sembilan bulan di belakang jadual.

Anggaran Waktu Membaca:
Apa sebabnya harga flat jualan semula HDB semakin tinggi?

Gambar hiasan: CNA

Diterbitkan : 10 Jul 2021 09:15AM Dikemas Kini : 10 Jul 2021 09:23AM

SINGAPURA: Pada April lalu, Kementerian Pembangunan Negara (MND) memberi amaran bahawa sekitar 85 peratus projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) sekitar enam hingga sembilan bulan di belakang jadual.

Penangguhan itu mencetuskan permintaan lebih tinggi bagi flat-flat jualan semua dalam kalangan pembeli rumah, kata Ketua Kajian dan Perundingan ERA Nicholas Mak.

"Terdapat permintaan tinggi bagi flat jualan semula tetapi bekalan flat jualan semula tidak berubah.

"Maka itu, kami menyaksikan permintaan lebih tinggi berbanding bekalan lantas harga lebih tinggi," terang Encik Mak.

HARGA JUALAN SEMULA MELONJAK

Harga flat-flat jualan semula semakin meningkat dengan perangkaan yang dikeluarkan portal hartanah SRX pada Khamis (8 Jul) menunjukkan harga bagi flat sedemikian naik sepanjang 12 bulan berturut-turut setakat Jun tahun ini.

Terdapat peningkatan 13.2 peratus pada harga flat jualan semula pada Jun tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut perangkaan SRX.

Harga flat tiga bilik mencatat kenaikan paling tinggi iaitu 14.8 peratus manakala harga flat empat bilik melonjak 12 peratus sementara harga flat lima bilik naik 11.6 peratus dan harga flat eksekutif pula bertambah 12.3 peratus.

Malah, harga flat jualan semula di estet matang meningkat 10.9 peratus manakala yang terletak di estet belum matang pula naik 14.9 peratus berbanding setahun lalu, menurut SRX.

Para pemerhati industri mengemukakan beberapa sebab di sebalik harga yang semakin meningkat itu.

"Dari segi permintaan, permintaan tinggi dalam pasaran perumahan privet juga menyebabkan sesetengah pembeli, terutamanya golongan pertengahan yang tidak mampu membeli rumah privet yang juga mencatat harga tinggi, untuk beralih mencari rumah dalam pasaran flat jualan semula pula," kata Profesor Sing Tien Foo, pengarah Institut Hartanah dan Kajian Bandar (IREUS) di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Profesor Sing juga menarik perhatian kepada kadar faedah "amat rendah" sebagai satu lagi sebab di sebalik permintaan tinggi dalam pasaran jualan semula flat HDB.

"Terdapat juga sejumlah flat yang sudah habis Tempoh Penginapan Minimum (MOP) lima tahun, di mana sesetengah pemilik rumah mungkin mahu menjual flat mereka dan mencari rumah baru dalam pasaran jualan semula atau pasaran kediaman privet," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Propnex Ismail Gafoor.

"Lebih 25,500 flat dijangka tamat MOP tahun ini, lantas layak untuk dijual dalam pasaran jualan semula. Flat-flat dengan tempoh sewa lebih lama dan dalam keadaan lebih baru juga mengundang harga jualan semula lebih tinggi," tambah beliau.

Ada kemungkinan harga jualan semula terus meningkat pada suku-suku mendatang.

"Bagi tahun 2021, kami mengunjurkan harga jualan semula naik 9 peratus hingga 10 peratus disebabkan permintaan berterusan bagi flat-flat jualan semula," kata beliau.

Malah, Encik Ismail mendapati harga purata bagi flat-flat jualan semula di estet-estet belum matang mencatat peningkatan sepanjang 10 suku berturut-turut, sejak suku pertama 2019.

"Sebab kemungkinan harga purata jualan semula terus meningkat di estet-estet belum matang, sedang estet-estet sedemikian terus membangun dari segi prasarana, keterhubungan dan kemudahan lebih baik, kadar pertumbuhan boleh lebih pantas berbanding estet-estet matang," jelas beliau.

"Di estet-estet matang pula di mana harga flat biasanya lebih mahal, ia mungkin meningkat lebih perlahan kerana terdapat rintangan kepada harga lebih tinggi." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita