Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apa diketahui sejauh ini tentang 8 kelompok aktif COVID-19 selain TTSH

Sebanyak 44 kes terkait dengan lapan kelompok selain TTSH.

Anggaran Waktu Membaca:
Apa diketahui sejauh ini tentang 8 kelompok aktif COVID-19 selain TTSH

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 May 2021 01:59PM Dikemas Kini : 05 May 2021 02:02PM

SINGAPURA: Lebih 80 kes COVID-19 di Singapura terkait dengan kelompok-kelompok aktif - kelompok di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) adalah yang terbesar, dengan 40 kes setakat Selasa (4 Mei).

Lagi 44 kes pula terkait dengan lapan kelompok lain. Berikut ini yang kita tahu sejauh ini:

KELOMPOK TERKAIT PEGAWAI ICA

Setakat Selasa, terdapat 11 kes yang terkait dengan kelompok itu. Kes pertama yang dikesan dalam kelompok itu adalah seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang dikerahkan bertugas di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.

Rakyat Singapura berusia 38 tahun itu mengalami batuk pada 23 April dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik pada keesokan harinya, di mana beliau diberikan cuti sakit selama dua hari.

Beliau juga menjalani ujian rutin berjadual sehari sebelum itu dan keputusannya negatif.

Pada 25 April, pegawai itu berkumpul bersama dengan tujuh anggota keluarganya.

Keesokan harinya, beliau demam dan mengalami anosmia, iaitu hilang deria bau, serta sengal-sengal badan.

Beliau kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 27 April dan diuji bagi COVID-19.

Hasil ujiannya positif pada hari yang sama. ICA mengesahkan pegawai berkenaan sebelum ini sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin tetapi didapati tidak sesuai untuk berbuat demikian disebabkan oleh alahannya pada ubat-ubatan.

Pada 29 April, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan tujuh anggota keluarga pegawai ICA itu turut diuji positif, termasuk anak saudaranya yang berusia tiga tahun.

Mereka semua sudah dikuarantin lebih awal setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat pegawai itu.

Antara anggota keluarganya adalah isteri pegawai itu, iaitu jururawat TTSH.

Pihak berkuasa menyatakan "tiada kaitan jelas" antara isteri pegawai ICA itu dengan kelompok TTSH.

Pada 2 Mei, seorang pegawai ICA berusia 32 tahun yang dikerahkan ke Akademi Home Team dikaitkan dengan kelompok tersebut.

Keesokan harinya, lagi dua orang, iaitu seorang suri rumah Filipina berusia 37 tahun dan anaknya warga Singapura berusia tiga tahun dikaitkan dengan kelompok itu.

Suami suri rumah berkenaan, yang sebelum ini diuji positif, adalah salah seorang daripada tujuh anggota keluarga yang makan bersama dengan kes pertama yang dikesan dalam kelompok tersebut.

KELOMPOK TERKAIT KEMUDAHAN JAGAAN MASYARAKAT

Terdapat empat kes yang terkait dengan kelompok kemudahan jagaan masyarakat.

Kes pertama yang dikesan adalah seorang wanita Vietnam berusia 39 tahun, yang merupakan pekerja pembersihan di kemudahan jagaan masyarakat di Tuas South. Beliau disahkan dijangkiti COVID-19 pada 28 April.

Baki kes, adalah seorang kontak di tempat kerja manakala lagi dua adalah kontak serumah. Kaitan terbaru dalam kelompok itu adalah pada 2 Mei.

KELOMPOK TERKAIT PENGKAJI NUS

Terdapat lima kes yang terkait dengan kelompok pengkaji di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Kes pertama dikesan adalah seorang warga India berusia 34 tahun yang bertugas sebagai zamil kanan di NUS.

Beliau berada di India dari 28 Disember hingga 21 Mac, menurut MOH.

Beliau mula mengalami simptom pada 12 April, termasuk rasa letih, sakit tekak, sengal badan dan demam. Beliau duduk di rumah pada 13 April, sebelum mendapatkan rawatan di sebuah poliklinik pada keesokan harinya, di mana beliau diuji bagi COVID-19.

Beliau disahkan dijangkitii virus itu pada 15 April. Lagi tiga kes dalam kelompok itu, termasuk seorang budak perempuan berusia empat tahun, manakala baki satu lagi kes adalah kontak di tempat kerja.

Kes terbaru yang dikaitkan dengan kelompok itu dilaporkan pada 29 April.

KELOMPOK TERKAIT DORMITORI WESTLITE WOODLANDS

Terdapat tujuh kes yang terkait dengan kelompok itu, iaitu satu-satunya kelompok aktif di dormitori.

Daripada tujuh kes, lima adalah kes jangkitan semula, menurut MOH.

Kes pertama dikesan pada seorang pekerja Bangladesh berusia 35 tahun yang menetap di Dormitori Westlite Woodlands dan bertugas sebagai penyelia binaan di Sembcorp Marine Admiralty Yard. Beliau disahkan terjangkit COVID-19 pada 19 April.

Kes-kes lain adalah rakan sebiliknya di dormitori itu.

Antara kes jangkitan semula, dua tiba dari Bangladesh pada 6 April. Siasatan MOH mendapati mereka mungkin terjangkit semasa berada di luar negara dan mungkin menularkan jangkitan itu kepada orang lain di bilik tersebut.

KELOMPOK TERKAIT PELAWAT DARI INDA

Terdapat tiga kes dalam kelompok terkait pelawat dari India.

Kes pertama dikesan pada seorang pemegang pas lawatan jangka pendek berusia 79 tahun, yang tiba dari India untuk menziarahi keluarganya yang merupakan Penduduk Tetap (PR) di sini. Beliau diuji positif COVID-19 semasa menjalani ujian swab sebaik tiba di sini.

Salah satu kes dalam kelompok itu adalah anak lelaki warga India itu, yang merupakan Penduduk Tetap (PR) Singapura.

Ibu bapanya tiba dari India pada 15 April. Ibunya dikuarantin dari 16 hingga 30 April di sebuah kemudahan kuarantin pemerintah. Anak lelakinya meminta untuk menjaga ibunya di kemudahan itu dan berpindah ke dalam bilik yang sama pada 16 April.

Beliau kemudian mengalami simptom-simptom pada 23 April dan dihantar ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada keesokan harinya, di mana beliau disahkan dijangkiti COVID-19.

Beliau sudahpun selesai menerima kedua-dua dos vaksin pada 19 Mac.

Ibunya diuji positif pada 27 April, sekali gus menjadi kes terbaru yang terkait dengan kelompok itu.

KELOMPOK TERKAIT ANAK KAPAL

Terdapat enam kes yang terkait dengan kelompok ini.

Kes pertama dikesan pada seorang anak kapal warga Indonesia yang berusia 39 tahun. Beliau disahkan dijangkiti COVID-19 pada 16 April.

Lagi lima kes adalah rakan-rakan sejawatannya di dalam kapal yang sama. Kes terbaru dikaitkan dengan kelompok itu adalah pada 26 April.

KELOMPOK TERKAIT AKAUNTAN

Terdapat empat kes yang terkait kelompok akauntan.

Kes pertama dikesan pada seorang Penduduk Tetap berusia 41 tahun yang bertugas sebagai akauntan di firma perdagangan global OM Universal. Beliau disahkan positif COVID-19 pada 16 April.

Kes-kes lain yang terkait dengan kelompok itu adalah kontak serumah dengannya. Kes terbaru dalam kelompok itu disahkan positif pada 21 April.

KELOMPOK TERKAIT PENGUNJUNG DARI PAPUA NEW GUINEA

Terdapat empat kes yang terkait dengan kelompok pengunjung dari Papua New Guinea.

Kes pertama dikesan pada seorang warga Colombia berusia 50 tahun yang tiba dari Papua New Guinea bagi satu projek kerja di Singapura dan disahkan positif COVID-19 pada 30 Mac.

Dua daripada kes dalam kelompok itu dikenal pasti sebagai kontak rapat warga Colombia itu semasa dalam perjalanan ke Singapura.

Seorang kontak rapat di tempat kerja kedua-dua kes tersebut adalah baki jangkitan dalam kelompok itu.

Kes terbaru yang disahkan positif COVID-19 dalam kelompok itu adalah pada 13 April. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan