Skip to main content

Singapura

Apa anda perlu tahu tentang varian XBB

Anggaran Waktu Membaca:
Apa anda perlu tahu tentang varian XBB

(Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (11 Okt) menyangkal khabar angin bahawa Singapura sedang menyaksikan kenaikan besar jumlah kes teruk COVID-19 dan kematian disebabkan varian XBB.

MOH turut menyatakan, walaupun terdapat kenaikan kes tempatan akibat XBB, termasuk lonjakan kes selepas hujung minggu kepada 11,732 kes pada Selasa (11 Okt), jumlah kes teruk kekal agak rendah.
Justeru, adakah varian COVID-19, XBB ini berbahaya dan adakah vaksin berkesan mencegahnya? Mediacorp bertemu dengan beberapa pakar.

BUKAN "VARIAN SINGAPURA"

Varian XBB, juga dikenali sebagai BA.2.10 adalah subvarian Omicron yang dilaporkan di beberapa negara seperti Australia, Bangladesh, Denmark, India, Jepun dan Amerika Syarikat sejak Ogos.

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai gambaran media asing yang menyifatkan XBB sebagai "varian Singapura" atau mencadangkan bahawa ia pertama kali dikesan di Singapura, Dr Sebastian Maurer-Stroh, Pengarah Eksekutif Institut Bioinformatik A*STAR menekankan bahawa dakwaan itu sama sekali tidak benar.

Jelas beliau, kes pertama varian XBB yang dicatat di GISAID adalah di negara-negara lain, "beberapa minggu sebelum kes-kes pertama dilaporkan di Singapura".

"Jumlah genom yang dikenali bagi sesuatu varian amat berbeza antara negara disebabkan kekuatan strategi pemantauan genom dan pengambilan sampel," tambah Dr Maurer-Stroh.

Beliau juga berkata Singapura adalah antara negara dunia yang pantas mengatur genom virus dan "dengan cara bijaksana, memilih mutu berbanding jumlah".

"Ini menyebabkan varian baru pantas dikesan."

PATUT JADI KEPRIHATINAN?

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (12 Okt) menyentuh mengenai varian tersebut, sambil menambah bahawa MOH sedang memantaunya dengan "teliti".

"XBB menunjukkan ciri-ciri bahawa ia sedang menjadi dominan berbanding semua subvarian lain. Ia sudahpun dikesan di sebilangan besar dunia, namun di Singapura, ia sedang meningkat dengan pantas sekali - dalam tempoh tiga minggu, daripada sifar, ia kini dikesan pada lebih separuh jumlah kes harian," tambah Encik Ong.

Dr Maurer-Stroh memberitahu Mediacorp bahawa "virus itu bertindak seperti yang dijangkakan" dan bahawa "varian baru akan selalu menggantikan yang lama".

Tambah Dr Maurer-Stroh, kepantasan penggantian berlaku bergantung pada pelbagai faktor dan tidak unik kepada Singapura.

Dalam pada itu, Dr Leong Hoe Nam, seorang pakar penyakit berjangkit di Hospital Mount Elizabeth Novena berkata varian itu berpotensi menggantikan varian BA.4 dan BA.5.

Dr Leong berkata, varian itu akan menyebabkan lebih banyak jangkitan kerana "ia boleh kekal lebih lama dan mengelak dengan lebih baik lagi berbanding varian yang ada sekarang".

Namun, Dr Leong juga berkata ia bukan punca keprihatinan kerana jumlah penyakit teruk "hanya meningkat dengan sedikit" dan "dalam jangkaan".

Encik Ong turut berkata pada Selasa (11 Okt): "Namun setakat ini, apa yang baik adalah tiada bukti yang ia menyebabkan penyakit yang lebih teruk.

Menurut data tempatan awal, kes XBB bukan lebih serius berbanding subvarian Omicron lain, dedah MOH.

ADAKAH XBB SENANG MEREBAK?

Dr Leong berkata, tidak jelas setakat ini berapa mudah varian XBB merebak, tetapi ia lebih mudah berjangkit dan "menjangkiti lebih ramai orang berbanding BA.5".

MOH pada Isnin (10 Okt) menyatakan bahawa jumlah pesakit yang dijangkiti varian XBB sedang meningkat, dengan 55 peratus kes jangkitan dijangkiti varian tersebut. Ini adalah peningkatan 22 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Dr Maurer-Stroh berkata seperti varian lain sebelum ini, "ciri unik varian baru seperti XBB adalah penimbunan perubahan protein permukaan pepaku".

"Ia seperti virus tersebut mempunyai lapisan baru dan sistem imun kita harus belajar untuk mengesannya.

"Ini membuatnya lebih sukar dikesan, tetapi lazimnya tidak lebih mudah berjangkit," tambahnya.

SEJAUH MANA KEBERKESANAN VAKSIN BIVALEN?

Dr Leong berkata, suntikan bivalen dijangka "lebih berkesan berbanding vaksin mRNA berdasarkan varian lama, yang digunakan sebelum ini".

"Keberkesanan harus diukur berdasarkan risiko menyebabkan penyakit teruk," tambah Encik Leong.

Profesor Lisa Ng, pengarah eksekutif di makmal penyakit berjangkit A*STAR, juga mempunyai pendapat yang sama. Katanya, "suntikan bivalen akan lebih berkesan berbanding vaksin asal dalam mencetuskan tindak balas imun terhadap varian-varian baru COVID-19".

MOH mempercepatkan pelaksanaan vaksin bivalen Moderna/Spikevax kepada 14 Oktober, iaitu tiga hari lebih awal daripada tarikh yang diumumkan sebelum ini.

"Vaksin bivalen Moderna/Spikevax berdasarkan vaksin sama sebelum ini, dengan dos yang sama bagi dos penggalak," menurut MOH.

"Versi yang diperbaharui juga menyasarkan varian Omicron dan tidak hanya menyasarkan virus asal COVID-19. Justeru, ia akan memberikan perlindungan lebih baik terhadap varian-varian baru COVID-19. Ia terbukti selamat dan berkesan," tambah MOH.
ADAKAH ANDA DILINDUNGI SUNTIKAN VAKSIN YANG DISARANKAN?

Dr Leong berkata, model vaksin tiga suntikan mRNA atau Novovax atau empat dos Sinovac-CoronaVac "masih amat berkesan untuk mencegah penyakit serius", tetapi tambahnya, golongan yang tidak divaksin berdepan risiko.

Profesor Ng juga berkata, "vaksinasi akan mengurangkan kemungkinan penyakit teruk", sambil menambah bahawa "seperti semua vaksinasi, akan terdapat kesan-kesan perlindungan".

Mereka yang berusia 50 tahun ke atas juga harus menerima tambahan dos penggalak antara lima bulan hingga setahun daripada dos terakhir mereka, untuk mengemas kini vaksinasi COVID-19 mereka, kata MOH.

MOH pada minggu lalu mengumumkan bahawa vaksin mRNA yang ditawarkan sekarang akan digantikan dengan vaksin bivalen, seperti yang disarankan jawatankuasa pakar bagi vaksinasi COVID-19.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita