Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apa akan jadi jika anda ke doktor GP dan kemudiannya disyaki menghidap virus Wuhan?

Virus korona Wuhan yang melanda negara China mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk dunia. Kini ia juga sudah 'sampai' ke Singapura apabila satu kes disahkan di Singapura pada Khamis (23 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Virus korona Wuhan yang melanda negara China mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk dunia. Kini ia juga sudah 'sampai' ke Singapura apabila satu kes disahkan di Singapura pada Khamis (23 Jan).

Sejauh ini 17 orang maut dan lebih 600 orang dijangkiti di China.

Virus yang pada mulanya menular dari haiwan ke manusia, kini juga boleh merebak dari manusia ke manusia.

Berikut ini kami bawakan pelbagai nasihat daripada Kementerian Kesihatan (MOH) dan penjelasan dari dua orang doktor keluarga - Dr Elly Sabrina Ismail dan Dr Muhd Iqbal Abdullah.

6 NASIHAT DARI KEMENTERIAN KESIHATAN

Kementerian Kesihatan malam semalam (23 Jan) mengeluarkan enam nasihat dan panduan seperti berikut ini, untuk orang ramai yang ke luar negara atau orang awam di dalam negeri, demi mengelakkan daripada dijangkiti virus Wuhan:

1. Elakkan daripada menyentuh haiwan hidup termasuk ayam atau itik, atau makan daging mentah dan kurang masak

2. Elakkan daripada mendekati orang yang kurang sihat atau menunjukkan simptom-simptom sakit

3. Amalkan kebersihan peribadi yang baik

4. Amalkan selalu mencuci tangan dengan sabun (sebelum pegang makanan; selepas ke tandas; apabila tangan tercemar setelah batuk atau bersin)

5. Tutup mulut dengan kertas tisu jika bersin atau batuk dan segera buangnya dalam tong sampah selepas digunakan

6. Jumpa doktor segera jika anda berasa kurang sihat

JIKA ANDA ALAMI SIMPTOM DAN DISYAKI

Semasa ditemui BERITAmediacorp, Dr Elly Sabrina Ismail dari Banyan Clinic menggesa orang ramai supaya mula mengambil langkah berjaga-jaga.

Jika anda mengalami simptom seperti demam, batuk dan selesema serta baru pulang dari China 14 hari sebelum itu, anda harus memberitahu jururawat atau penolong klinik supaya langkah-langkah selanjutnya dapat diambil, kata beliau.

Anda akan didahulukan dan jika simptom-simptom itu benar, termasuk sukar bernafas, pihak klinik akan memaklumkan khidmat ambulans khusus dan talian khas untuk dihubungi.

Ambulans itu kemudian akan mengambil suspek kes wabak Wuhan itu untuk diperiksa dan diperhatikan di Hospital Tan Tock Seng. Kes tersebut adalah bagi mereka yang berusia 16 tahun ke atas.

Kanak-kanak bawah 16 tahun akan dibawa ke Hospital KK.

Bagaimanapun, jika seseorang itu dalam keadaan tidak stabil dan disyaki dijangkiti virus Wuhan, mereka akan dibawa terus ke Jabatan Kecemasan melalui ambulans 995.

SIKAP BERTANGGUNGJAWAB, GUNA PELITUP, ELAK TEMPAT SESAK

"Jika anda kurang sihat seperti batuk, selesema atau demam, tolong jangan pergi ke tempat yang sesak dengan orang ramai supaya tak ada jangkitan kuman.

"Jika anda perlu keluar dari rumah, mungkin pakai pelitup muka, supaya tak ada jangkitan kuman. Bukan sahaja untuk wabak Wuhan, tetapi untuk jangkitan kuman lain seperti influenza juga," kata beliau.

Dr Muhd Iqbal Abdullah dari rangkaian klinik The ClinIQ berkongsi sentimen yang sama: "Jadi bagi sesiapa yang sakit, pakai pelitup jadi virus itu tidak merebak kepada orang lain... Janganlah merebakkan virus itu kepada lebih ramai orang, walaupun hanya virus flu biasa ataupun influenza.

"Jadi kita haruslah bertanggungjawab ke atas diri kita, kesihatan kita dan juga kesihatan orang di sekeliling kita."

JUMPA DOKTOR DAN JAGA KEBERSIHAN

Dr Elly juga menasihatkan anda supaya berjumpa doktor jika berasa kurang sihat. Ini supaya penyakit itu dapat dirawat di peringkat awal.

"Kalau di luar, pastikan kita bertanggungjawab secara sosial. Kalau kita batuk atau bersin, cuba tutup muka dan basuh tangan, jangan lupa, itu penting," tambahnya.

Sebagaimana makluman nasihat dari Kementerian Kesihatan (MOH), Dr Elly juga menyarankan supaya orang ramai tidak pergi ke negara-negara terbabit seperti China.

"Kalau nak pergi juga, bawa pelitup muka agar dapat kurangkan risiko. Digalakkan juga kalau boleh, kurangkan pendedahan kepada haiwan hidup ataupun pergi ke tempat di mana ada banyak ayam itik, burung-burung atau haiwan lain-lain supaya dapat mengurangkan pendedahan kepada virus ini," kata Dr Elly.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan