Skip to main content

Singapura

AP WP persoal kurang anggota wanita dalam pasukan khas ekonomi COVID-19, peranan Presiden guna rizab

Sebuah pasukan bertindak yang ditubuhkan untuk membantu ekonomi Singapura bangkit dari kesan COVID-19 tidak mempunyai cukup perwakilan wanita, kata Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim pada Khamis (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
AP WP persoal kurang anggota wanita dalam pasukan khas ekonomi COVID-19, peranan Presiden guna rizab
Diterbitkan : 04 Jun 2020 11:29PM Dikemas Kini : 04 Jun 2020 11:44PM

SINGAPURA: Sebuah pasukan bertindak yang ditubuhkan untuk membantu ekonomi Singapura bangkit dari kesan COVID-19 tidak mempunyai cukup perwakilan wanita, kata Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim pada Khamis (4 Jun).

Pasukan bertindak Bangkit Lebih Teguh itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Desmond Lee dan ketua eksekutif kumpulan PSA International, Encik Tan Chong Meng.

Dalam kalangan17 anggotanya, hanya dua adalah wanita.

Pembentukan pasukan khas itu, pertama kali diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada 7 April. Ia akan melakar strategi dan mengkaji bagaimana Singapura dapat kekal berdaya bingkas dan bangkit pasca-COVID-19.

Berucap di Parlimen semasa perbahasan mengenai Belanjawan Kecekalan, Cik Lim mempersoal sama ada pasukan bertindak itu dapat menangani dengan baik masalah yang lebih menjejas wanita akibat pandemik itu.

Cik Lim berkata antaranya ialah isu berkaitan sama ada skim bantuan COVID-19 untuk pekerja sendiri dan warga tua adalah mencukupi.

Anggota AP WP Aljunied, Faisal Manap bertanya, jika golongan bergaji rendah boleh mendapatkan lebih banyak bantuan bagi bayaran sewa dan kos Internet.

"Saya yakin bahawa kita mahu setiap rakyat Singapura, tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka, untuk maju bersama dan tidak ketinggalan dalam usaha pendigitalan ini," katanya.

Encik Faisal juga ingin tahu peranan Presiden Halimah Yacob dalam meluluskan penggunaan rizab negara. Beliau merujuk kepada tiga Belanjawan terbaru yang melakukan sedemikian.

"Adakah Presiden diberi maklumat atau jumlah baki yang ada dalam rizab negara?" soal beliau. "Maklumat kritikal seperti itu sangat penting bagi Presiden dalam membuat penilaian agar dapat membuat keputusan."

SUARA WANITA DAN PELBAGAI KAUM

Memulakan ucapannya menyentuh tentang Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Teguh, Cik Lim berkata ada "ketidakseimbangan jantina" dan keanggotaan lebih ramai wanita akan dapat memberi lebih manfaat kepada pasukan itu.

"Mana-mana agensi yang meneliti pemulihan jangka panjang perlu melibatkan pelbagai suara," katanya. "Sangat penting sekali untuk menyertakan mereka yang mengenali segmen terjejas terjejas lebih teruk akibat penularan virus tersebut."

Cik Lim memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9 April yang mendedahkan bahawa pandemik COVID-19 telah memburukkan lagi ketidaksamarataan jantina, dalam hal meningkatnya keganasan rumah tangga dan pengangguran.

"Salah satu saranan utama PBB adalah untuk memastikan perwakilan wanita yang saksama dalam semua perancangan tindak balas dan keputusan COVID-19."

"Juga, ada kurang perwakilan suara berbilang kaum, kerana tidak ada anggota Melayu dalam pasukan bertindak itu," katanya, sambil menarik perhatian juga tiada perwakilan dari perusahaan kecil dan sederhana (SME).

"Tanpa keseimbangan yang mencukupi, apakah laporan akhir dan saranan yang dibentangkan akan punyai risiko mencegah kita daripada benar-benar bangkit lebih teguh sebagai sebuah negara?"

PEKERJA SENDIRI

Beralih kepada golongan pekerja sendiri, Cik Lim ingin tahu bagaimana Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) menentukan sama ada untuk menerima atau menolak rayuan di bawah Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS).

Cik Lim berkata bahawa NTUC membantu Pemerintah menguruskan rayuan bagi mereka yang tidak termasuk secara automatik di bawah skim ini, dengan 60,000 rayuan diterima sejauh ini.

Bagi beberapa rayuan, kata Cik Lim NTUC mengurangkan pembayaran tunai kepada S$800 sebulan, sementara yang lain ditolak bulat-bulat.

Cik Lim juga bertanya mengapa Kementerian Tenaga Manusia (MOM) perlu melantik NTUC untuk menguruskan rayuan.

"Apakah ini akan menjadi amalan bagi Pemerintah untuk melantik pihak luar untuk menguruskan skim-skimnya?" tanya beliau. "Apakah kesannya ke atas kebertanggungjawaban Pemerintah?"

Menjawab, setiausaha agung NTUC Ng Chee Meng berkata kesatuan sekerja itu mempunyai keupayaan untuk menawarkan bantuan kepada pekerja bebas secepat mungkin, merujuk contoh kepada bagaimana NTUC mengendalikan dana bantuan bagi pemandu teksi.

Berhubung syarat rayuan, Encik Ng berkata NTUC melakukannya mengikut rangka kerja dasar serta panduan oleh MOM. "Menteri (Tenaga Manusia) Josephine Teo boleh menerangkan aturan ini pada waktu yang sesuai," tambah Encik Ng.

PERANAN PRESIDEN

Berhubung peranan Presiden dalam penggunaan rizab, Encik Faisal berkata bahawa Pemerintah perlu memberikan Presiden "penjelasan terperinci yang disokong oleh maklumat dan fakta".

"Presiden kemudian akan berunding dan mempertimbangkan dengan bantuan dan nasihat dari Majlis Penasihat Presiden sama ada untuk meluluskan permintaan Pemerintah atau sebaliknya," katanya.

Encik Faisal berkata dengan mengetahui berapa baki dalam rizab akan membolehkan Presiden membuat "keputusan yang tepat" untuk meluluskan perbelanjaan atau mengizinkan penggunaan dana itu.

"Saya harap Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dapat menjelaskan sama ada Presiden telah diberi maklumat mengenai jumlah itu ... apabila Pemerintah menyampaikan maklumat dan fakta untuk menyokong permintaannya untuk mendapatkan persetujuan Presiden," katanya.

Perbahasan Belanjawan Kecekalan disambung pada Jumaat. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita