Skip to main content

Singapura

AP WP gesa sokongan tambahan bagi ruang seni bebas, usul cara tingkatkan bekalan flat sewa

Anggaran Waktu Membaca:
AP WP gesa sokongan tambahan bagi ruang seni bebas, usul cara tingkatkan bekalan flat sewa

Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Dennis Tan, Gerald Giam dan Abdul Muhaimin Abdul Malik berucap di Parlimen pada 25 September 2025.

Diterbitkan : 25 Sep 2025 11:15PM Dikemas Kini : 25 Sep 2025 11:16PM
  • Cadangan mereka termasuk meningkatkan sokongan pemerintah untuk ruang seni bebas, meningkatkan bekalan flat sewa awam melalui skim beli balik HDB, dan memperkenalkan skim "kredit SkillsFuture Junior" untuk sesetengah anak muda Singapura di bawah usia 18 tahun.
  • Encik Tan berkata aspirasi sedemikian mesti menjangkaui metrik ekonomi.
  • Encik Abdul Muhaimin berkata bahawa pemilikan rumah kini di luar jangkauan buat sesetengah keluarga berpendapatan rendah.
  • Dalam ucapannya, Encik Giam menggesa agar kredit pembangunan kemahiran diberikan kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah untuk membantu memberi mereka peluang yang setara.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Tiga Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) menyuarakan kebimbangan mengenai pelbagai isu daripada ketidaksamaan kekayaan hingga ke kehilangan ruang budaya pada Khamis (25 Sep).

Berucap semasa hari keempat perbahasan Ucapan Presiden, mereka juga mencadangkan langkah-langkah baharu untuk menangani cabaran-cabaran ini.

Cadangan mereka termasuk meningkatkan sokongan pemerintah untuk ruang seni bebas, meningkatkan bekalan flat sewa awam melalui skim beli balik HDB, dan memperkenalkan skim "kredit SkillsFuture Junior" untuk sesetengah anak muda Singapura di bawah usia 18 tahun.

AP tersebut ialah Encik Gerald Giam (WP-Aljunied), yang bercakap mengenai ketidaksamaan sosial; Encik Dennis Tan (WP-Hougang), yang memberi tumpuan kepada tindakan iklim dan seni; dan AP kali pertama Abdul Muhaimin Abdul Malik (WP-Sengkang), yang menyuarakan kebimbangan mengenai akses perumahan dan jurang pendidikan.

Encik Giam dalam ucapannya berkata: "Walaupun perjalanan kita sebagai sebuah negara cukup luar biasa, ukuran sebenar kejayaan kita bukan terletak pada puncak kekayaan kita, tetapi pada peluang yang berkekalan yang kita sediakan kepada semua rakyat."

RUANG UNTUK PENGGIAT SENI BERKEMBANG MAJU

Memberi respons kepada seruan Presiden Tharman Shanmugaratnam untuk mendidik rakyat mengikut konsep "masyarakat diutamakan bukan individu", di mana tiada sesiapa yang ketinggalan, Encik Tan berkata aspirasi sedemikian mesti menjangkaui metrik ekonomi.

Rakyat Singapura harus dibenarkan untuk mengejar minat mereka dan membina negara yang kaya dengan budaya, katanya.

"Adalah penting bahawa terdapat ruang untuk penggiat seni berkembang maju dan untuk semangat kolektif terus dipupuk."

Beliau merujuk kepada penutupan The Projector baru-baru ini sebagai "peringatan jelas" tentang cabaran yang dihadapi oleh beberapa masyarakat dalam bidang kreatif.

Ruang seni bebas tidak mempunyai kestabilan jangka panjang untuk bertahan dalam tekanan ekonomi, pembangunan semula bandar dan dasar-dasar yang kurang menyokongnya, katanya.

Beliau mencadangkan untuk mewujudkan dasar-dasar yang menawarkan kestabilan jangka panjang bagi ruang seni bebas dan meningkatkan sokongan pemerintah "dalam bidang-bidang yang memerlukannya".

MENINGKATKAN BEKALAN FLAT SEWA

Encik Abdul Muhaimin berkata bahawa pemilikan rumah kini di luar jangkauan buat sesetengah keluarga berpendapatan rendah.

Beliau menyatakan bahawa harga sewa pasaran terbuka adalah tinggi, manakala permintaan untuk flat sewa pemerintah melebihi bekalan, menjadikannya sukar diakses.

Lebih banyak perlu dilakukan untuk membantu kumpulan yang terjejas oleh kekurangan ini, seperti ibu bapa yang belum berkahwin dan anak-anak mereka, serta individu yang tidak dapat tinggal bersama ahli keluarga, tambahnya.

"Kita mesti membina sistem yang memperkasakan individu dan keluarga dengan peluang sama rata demi keselamatan dan kestabilan melalui perumahan asas yang stabil," katanya.

Beliau menambah bahawa beliau bercadang untuk berucap di parlimen mengenai usaha meningkatkan bekalan flat sewa dan menilai semula halangan untuk pendaftaran.

Beliau mencadangkan agar dinamik hubungan dengan keluarga turut dipertimbangkan semasa menilai permohonan bagi flat sewa dan menyeru Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk "membuat komitmen secara terbuka" bagi berpegang teguh pada pendekatan ini.

Pasaran flat sewa awam juga boleh diperluaskan melalui skim beli balik universal untuk flat HDB lama, katanya.

Flat milik HDB ini kemudian boleh disewakan kepada rakyat Singapura pada kadar antara harga sewa komersil dan harga sewa awam HDB," kata AP baharu itu.

KREDIT SKILLSFUTURE UNTUK PELAJAR

Dalam ucapannya, Encik Giam menggesa agar kredit pembangunan kemahiran diberikan kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah untuk membantu memberi mereka peluang yang setara.

Bagi tujuan ini, skim 'Kredit SkillsFuture Junior' boleh dilancarkan untuk kanak-kanak Singapura bawah 18 tahun dari isi rumah dalam kumpulan pendapatan 40 peratus terendah, katanya.

Walaupun ketidaksamaan pendapatan mungkin kini bertambah baik, Encik Giam berkata kekayaan juga diwariskan dalam bentuk modal sosial, maklumat dan kewangan.

Beliau akur dengan respons Menteri Negara Pendidikan Jasmin Lau terhadap cadangan serupa oleh Encik David Hoe (PAP-Jurong East-Bukit Batok), di mana beliau menyatakan bahawa sekolah mempunyai banyak aktiviti kokurikulum untuk pelajar.

"Ini tentunya harus diteruskan," katanya.

"Apa yang saya minta adalah kredit berasingan yang memberi ibu bapa dan kanak-kanak kuasa untuk memilih program pengayaan yang tidak tersedia di sekolah mereka."

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita