AP WP Faisal Manap usul COE motosikal ikut kapasiti enjin
Menggolongkan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi motosikal berdasarkan kapasiti enjinnya adalah antara usul yang dikemukakan oleh Anggota Parlimen Faisal Manap (WP-Aljunied) ketika beliau menggesa sistem COE sedia ada bagi kenderaan dua roda itu disemak semula.

Gambar fail motosikal. (Gambar: Nisha Karyn Sreenivasan)
SINGAPURA: Menggolongkan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi motosikal berdasarkan kapasiti enjinnya adalah antara usul yang dikemukakan oleh Anggota Parlimen Faisal Manap (WP-Aljunied) ketika beliau menggesa sistem COE sedia ada bagi kenderaan dua roda itu disemak semula.
Berucap semasa satu usul penangguhan di Parlimen pada Selasa (5 Okt), Encik Faisal berkata saranannya bertujuan untuk membuat pemilikan motosikal lebih dimampui bagi mereka yang bergantung kepada kenderaan tersebut untuk menyara kehidupan.
Gesaan beliau dibuat ketika premium COE bagi motosikal meningkat sepanjang tahun lalu, mencecah paras rekod S$9,689 buat julung-julung kalinya bagi pusingan pertama pada bidaan bulan lalu.
Encik Faisal mengusulkan COE motosikal diasingkan berdasarkan kapasiti enjinnya, sebagaimana lesen motosikal dikategorikan.
Jumlah COE bagi setiap kategori yang diusulkan ini seharusnya diperuntukkan berdasarkan jumlah setiap motosikal di jalan raya, tambah beliau.
Buat masa ini, semua COE motosikal jatuh dalam satu kategori manakala COE bagi kereta dibahagikan kepada Kategori A bagi kereta sehingga 1600cc dan Kategori B untuk kereta melebihi 1600cc.
Naib Pengerusi Parti Pekerja (WP) berkenaan sebelum ini menyarankan perkara sama pada tahun 2016, yang menggesa mantan Menteri Negara Kanan Pengangkutan Ng Chee Meng untuk memberikan respons ketika itu bahawa perbezaan seumpama itu akan menyebabkan lebih banyak naik turun pada harga COE motosikal.
"Ketidakstabilan ini sudah berlaku seperti yang kita lihat daripada harga COE untuk motosikal terutama beberapa bulan lalu," kata Encik Faisal. Beliau menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mempertimbangkan kembali usulnya bagi "peruntukan yang betul dan lebih adil" kuota COE motosikal.
PENGENALAN SISTEM UNDI
Encik Faisal juga meminta MOT mempertimbangkan untuk memansuhkan bidaan COE bagi motosikal Kelas 2B - yang mempunyai kapasiti enjin 200cc dan ke bawah - dan sebaliknya menggantikannya dengan satu sistem undi serupa dengan yang digunakan bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO).
Encik Faisal menarik perhatian bahawa pada 2013, Cik Josephine Teo - ketika itu Menteri Negara Pengangkutan - berkata sistem undi bagi COE kereta akan menggalak sebuah pasar gelap. Beliau juga berkata ia mustahil untuk menetapkan satu harga bagi COE yang diundi yang akan menghalang spekulator tetapi kekal munasabah bagi pembeli.
“Bagaimanapun, saya yakin pengenalan sebuah sistem undi dengan syarat-syarat dikenakan, serupa dengan apa yang dilakukan bagi flat BTO, boleh menjadi satu cara untuk mengawal selia jumlah motosikal Kelas 2B," ujarnya.
“Seperti pembeli BTO, bakal pemilik motosikal 2B berkemungkinan besar adalah pembeli kali pertama dengan keperluan yang sebenar."
Sekiranya pihak berkuasa memilih untuk mengekalkan sistem bidaan bagi motosikal lebih kecil, AP Aljunied itu berkata pembeli motosikal seharusnya dibenarkan untuk membida COE di bawah nama mereka sendiri dan bukannya melalui pengedar seperti yang berlaku sekarang ini.
Ini akan menghalang spekulasi oleh pengedar, jelasnya.
Encik Faisal menarik perhatian Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sudahpun menyatakan tiada bukti spekulasi seumpama itu.
“Bagaimanapun, jumlah COE Kategori D yang sudah luput tarikhnya atau tidak digunakan dan hakikatnya harga COE meningkat dengan mendadak pada Mei 2021 walaupun terdapat lebih banyak COE motosikal yang ditawarkan adalah isyarat yang menunjukkan LTA mungkin perlu mengemas kini maklumatnya," kata beliau.
PERBAIKI SYARAT
Encik Faisal juga menggesa MOT untuk membenarkan COE motosikal, yang diperbaharui untuk lima tahun, diperbaharui bagi tempoh tambahan lima tahun selepas itu.
COE - yang biasanya sah bagi tempoh awal selama 10 tahun - boleh diperbaharui untuk sama ada lagi tambahan lima atu 10 tahun. Bagaimanapun, mereka yang memperbaharui COE buat lima tahun tidak dibenarkan untuk memperbaharui sijil itu bagi lagi lima tahun sebaik sahaja tempoh pembaharuan pertama tamat.
“Memandangkan terdapat satu segmen dalam penduduk kita yang bergantung kepada motosikal mereka untuk bekerja, saya meminta kelonggaran yang sama ditawarkan kepada pemilik kenderaan muatan dan bas untuk dilanjutkan kepada penunggang motosikal juga," ujarnya.
Encik Faisal juga mengulangi gesaannya bagi rebat Yuran Pendaftaran Tambahan Pilihan (PARF) - diberikan kepada kereta berusia tidak lebih 10 tahun yang membatalkan pendaftaran - untuk dilanjutkan kepada motosikal dengan Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF). Beliau juga meminta kawasan diperuntukkan bagi pekerja penghantaran untuk meletakkan motosikal mereka buat sementara waktu ketika membuat penghantaran di kawasan seperti Daerah Pusat Perniagaan.
PERMINTAAN KUKUH BAGI MOTOSIKAL
Memberi respons kepada Encik Faisal, Setiausaha Parlimen Kanan Pengangkutan Baey Yam Keng berkata harga tinggi bagi COE motosikal baru-baru ini menandakan "permintaan yang kukuh".
Sekitar 99 peratus daripada COE sementara - yang mesti digunakan untuk mendaftarkan motosikal dalam tempoh enam bulan untuk mengelakkan kehilangan wang cengkeram S$200 - sudahpun dimanfaatkan sejak bidaan COE disambung semula pada Julai tahun lalu, kata Encik Baey. Beliau menarik perhatian purata sejarah adalah sekitar 91 peratus.
Beliau menambah bekalan COE lebih rendah bagi tempoh tiga bulan sekarang ini, berserta permintaan tinggi, berkemungkinan menyumbang kepada premium COE lebih tinggi.
Namun, beliau berkata membahagikan COE motosikal kepada beberapa kategori tidak akan berkesan kerana kuotanya "agak kecil"
Memperuntukkan kuota COE berdasarkan kapasiti enjin motosikal pula, tambah beliau, juga akan menimbulkan cabaran.
“Peratusan motosikal Kelas 2B yang didaftarkan naik turun sepanjang tahun dan malahan dari bulan ke bulan. Maka itu, ia akan menjadi amat sukar bagi kami untuk memilih dasar peruntukan secara sewenang-wenangnya."
Sementara itu, kata Encik Baey, memperkenalkan satu sistem undi bagi motosikal lebih kecil juga akan memerlukan pihak berkuasa menetapkan satu harga "secara sewenang-wenangnua".
Jika harganya terlalu rendah, ia akan meningkatkan permintaan dan menyingkirkan mereka yang benar-benar memerlukan motosikal untuk menyara kehidupan dan yang bersedia untuk membayar lebih sedikit bagi nilai yang dibawa kepadanya," ungkap beliau.
Tentang membenarkan pembeli motosikal membida COE mereka sendiri, Encik Baey menarik perhatian walaupun ini sudahpun boleh dilakukan di ATM, ramai memilih untuk menggunakan khidmat pengedar kerana mereka boleh mendapatkan motosikal mereka serta-merta dengan menggunakan COE sementara.
Menggugurkan pilihan seumpama itu memerlukan kajian teliti kerana ia mungkin mempunyai kesan tidak diingini pada pembeli, katanya.
PANTAU RAPI KEADAAN
Setiausaha Parlimen Kanan itu juga memberi respons kepada saranan-saranan lain Encik Faisal.
Membenarkan penunggang motosikal untuk memperbaharui COE mereka bagi dua tempoh lima tahun akan "menjejas keseimbangan semasa antara pemilik kenderaan sedia ada dengan bakal pemilik" kerana ini akan menyebabkan lebih kurang COE yang dikitar semula untuk dibida, katanya.
Selain itu, tiada rancangan untuk melanjutkan rebat PARF kepada jenis kenderaan lain, kata beliau sambil menarik perhatian bahawa penunggang motosikal membayar ARF yang jauh lebih rendah berbanding pembeli kereta.
Berhubung isu kawasan meletakkan motosikal buat sementara waktu bagi pekerja penghantaran, Encik Baey berkata peruntukan meletak kenderaan bergantung kepada sifat zon pembangunan dan geografik tersebut.
"Kami sedia maklum sektor penghantaran makanan sudah berkembang dengan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan bangunan komersil mempunyai keadaan serta keperluannya juga," kata beliau.
Pemilik bangunan komersil amat digalakkan untuk memperuntukkan petak meletak motosikal bagi pekerja penghantaran makanan dan menyediakan tempoh percuma meletak kenderaan yang munasabah bagi mereka."
MOT memahami keprihatinan mereka yang menunggang motosikal untuk menyara kehidupan dan memperhatikan keperluan pemilik motosikal, tambah Encik Baey.
"Saya ingin meyakinkan Dewan bahawa kami sedang memantau rapi keadaan ini dan akan mengambil tindakan jika perlu," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.