Skip to main content

Singapura

AP usul sokongan bagi belia pada hari ketiga perbahasan Ucapan Presiden

Anggaran Waktu Membaca:
AP usul sokongan bagi belia pada hari ketiga perbahasan Ucapan Presiden

Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 25 Sep 2025 12:14AM Dikemas Kini : 25 Sep 2025 12:15AM

SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) mengemukakan cadangan yang disasarkan kepada belia Singapura semasa hari ketiga perbahasan Ucapan Presiden, termasuk menyediakan sokongan untuk ibu bapa muda dan mengajar sikap empati di sekolah.

Seramai 18 Anggota Parlimen, termasuk Perdana Menteri Lawrence Wong dan empat pemegang jawatan politik lain, berucap dalam perbahasan lebih enam jam pada Rabu (24 Sep).

Dalam ucapannya pada 5 September, Presiden Tharman Shanmugaratnam menekankan keperluan untuk pemikiran "masyarakat diutamakan bukan individu" di tengah-tengah ketidakpastian global, yang sekali lagi dirujuk oleh perdana menteri dalam ucapannya semasa perbahasan pada Rabu.

Encik Wong berikrar untuk membina negara dengan memberi tumpuan kepada belia dan generasi masa depan.

Pemerintah juga mahu mengukuhkan mobiliti sosial dan jaringan keselamatan serta memupuk perpaduan, katanya, sambil berkata bahawa Singapura sedang menghadapi cabaran yang lebih besar.

Pada perasmian Parlimen ke-15 pada awal September, Encik Tharman juga menyeru pelaburan berterusan ke dalam kanak-kanak, laluan kerjaya yang lebih kukuh bagi pekerja dan sokongan yang lebih besar untuk keluarga berpendapatan rendah.

SERUAN UNTUK LEBIH BANYAK BERBUAT BAIK

Pada Rabu, AP Charlene Chen (PAP-Tampines) berkata bahawa semasa Singapura mengamalkan teknologi baharu, termasuk AI, individu mesti menjaga "kekuatan manusia" - pertimbangan, gerak hati dan belas kasihan.

Menetapkan peraturan atau garis panduan tidak boleh menjadi satu-satunya respons terhadap teknologi, katanya, sambil menekankan kepentingan membentuk pemikiran.

Cara pemikiran "masyarakat diutamakan bukan individu" yang diketengahkan oleh Encik Tharman harus bermula dengan berbuat baik, kata Profesor Pembantu Chen.

"Berbuat baik mungkin dianggap mudah, tetapi ia adalah asas kepada sikap empati, daya tahan dan pandangan perspektif. Kemahiran insaniah yang sangat diperlukan oleh anak muda kita bagi mengharungi era AI."

Pelajar harus diajar sikap empati di sekolah, bersama dengan pengetahuan dan kemahiran yang akan membantu mereka menguruskan tekanan dan emosi, kata beliau.

Menteri Negara Pendidikan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital Jasmin Lau (PAP-Ang Mo Kio), sementara itu, menyeru untuk menjadikan sikap berbuat baik sebagai satu kebiasaan.

Menurutnya, ia adalah cara terbaik untuk "menangani' tindakan buli, sambil menambah bahawa beliau memandang serius peranan semakan usaha menentang kes buli di Kementerian Pendidikan (MOE).

"Revolusi sebenar bukan menentang buli, tetapi untuk menyemai kebaikan.

"Jangan hanya suruh anak-anak kita untuk berbuat baik antara satu sama lain. Marilah kita, sebagai orang dewasa, berbuat baik dan menghormati antara satu sama lain, supaya anak-anak kita di Singapura melihat, belajar dan meniru generasi yang paling baik," tambahnya.

PENGGUNAAN TEKNOLOGI

Sedang Singapura mendakapi teknologi dan menyediakan belia untuk masa depan yang dipacu AI, orang ramai mesti ingat supaya tidak hilang nilai-nilai kemanusiaan mereka, kata Cik Lau.

Tiada algoritma yang boleh menggantikan "keupayaan manusia" seperti empati, kebaikan dan pertimbangan moral, tambahnya.

"Jadi sedang kita maju, marilah kita berpegang teguh kepada nilai-nilai yang menjadikan kita manusia. Kerana nilai-nilai inilah yang akan membimbing bagaimana kita menggunakan teknologi dan memastikan ia berkhidmat kepada manusia, dan bukan sebaliknya," katanya.

Menteri Negara Pertahanan merangkap timbalan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Desmond Choo berkata pemerintah mesti menimbangkan untuk meluaskan skim Elaun Latihan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture kepada pekerja lebih muda.

Program penukaran kerjaya juga mesti diperluaskan dan dikembangkan untuk melengkapkan pekerja muda dengan model berkaitan AI dan kemampanan, tambahnya.

Mempersiapkan belia untuk dunia di mana AI sedang mengubah tempat kerja memerlukan lebih daripada meningkatkan kurikulum atau menyemak semula sistem pemarkahan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), kata NCMP Parti Pekerja (WP) Eileen Chong.

AP Rachel Ong (PAP-GRC Tanjong Pagar) mencadangkan agar akses media sosial untuk kanak-kanak ditangguhkan sehingga mereka berusia sekurang-kurangnya 16 tahun, sambil menekankan bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan dan buli siber boleh menyebabkan keresahan, dan tekanan yang teruk dalam kalangan belia.

"Media sosial hari ini bukan sekadar gangguan; ia telah menjadi pengaruh yang besar dalam pembentukan identiti, hubungan dan kesejahteraan mental dan fizikal belia kita. (Ia) mempengaruhi bagaimana mereka melihat diri mereka sendiri, dan bagaimana mereka berhubung dengan orang lain dan bagaimana mereka mengukur nilai diri mereka sendiri," tambahnya.

AP Nadia Ahmad Samdin (PAP-Ang Mo Kio) juga membincangkan bahaya yang meningkat daripada pendedahan digital.

Kanak-kanak terdedah kepada "algoritma" yang direka untuk mengekalkan perhatian mereka dengan catatan yang sensasi atau menimbulkan emosi, katanya.

Media sosial memaksa kanak-kanak untuk membesar terlalu cepat, tambahnya.

Cik Nadia mencadangkan agar pemeriksaan kesihatan mental kanak-kanak juga menjadi sebahagian daripada pelan kesihatan di bawah program Sihat Membesar SG, dan perkhidmatan oleh Pasukan Pendampingan Masyarakat Belia boleh diperluaskan untuk merangkumi kanak-kanak bawah 12 tahun.

SOKONGAN UNTUK IBU BAPA MUDA

Singapura kini semakin menjadi masyarakat lampau tua (super-aged) di mana orang ramai bakal mendapati diri mereka tergolong dalam "generasi sanwic", di mana mereka harus menjaga ibu bapa mereka sambil membesarkan anak-anak dan menguruskan kerjaya mereka sendiri.

Lebih banyak perlu dilakukan untuk menyokong penjaga, kata Cik Chong.

Oleh itu beliau menyarankan agar subsidi-subsidi prasekolah yang sama rata untuk semua kanak-kanak tanpa mengira keadaan pekerjaan ibu mereka.

"Setiap kanak-kanak berhak mendapat permulaan terbaik dalam hidup dan setiap keluarga berhak mendapat sokongan untuk mengaksesnya, sama ada ibu bekerja di pejabat atau menguruskan rumah tangga sambil menjaga ahli keluarga lain," tambahnya.

Beliau turut mencadangkan bahawa cuti penjagaan berbayar akan menjadi "satu lagi langkah bermakna ke hadapan".
 

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita