Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP usul cara sokong keluarga S'pura yang bergantung pada amah bagi keperluan jagaan

Dalam usaha membantu keluarga berpendapatan pertengahan yang benar-benar memerlukan seorang pekerja pembantu rumah hijrahan untuk menjaga anggota keluarga yang lanjut usia, Pemerintah mungkin mempertimbangkan untuk mengadakan levi amah berperingkat berdasarkan tahap pendapatan dan kewarganegaraan.

Anggaran Waktu Membaca:
AP usul cara sokong keluarga S'pura yang bergantung pada amah bagi keperluan jagaan

Gambar: TODAYonline

Diterbitkan : 04 Nov 2021 04:07PM Dikemas Kini : 04 Nov 2021 05:28PM

SINGAPURA: Dalam usaha membantu keluarga berpendapatan pertengahan yang benar-benar memerlukan seorang pembantu rumah hijrahan untuk menjaga anggota keluarga yang lanjut usia, Pemerintah mungkin mempertimbangkan untuk mengadakan levi amah berperingkat berdasarkan tahap pendapatan dan kewarganegaraan.

Bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh penjaga dalam keluarga pula, gaji harian boleh dibayar sebagai satu bentuk sokongan.

Demikian antara cadangan yang dikemukakan oleh Cik Tin Pei Ling, Anggota Parlimen (AP) MacPherson dan Cik Nadia Samdin, AP GRC Ang Mo Kio.

Parlimen pada Rabu (3 Nov) mendengar usul berhubung peranan pembantu rumah dalam landskap penjagaan Singapura sidang ditangguhkan pada hari itu.

PEMBANTU RUMAH DIPERLUKAN SEBAGAI PENJAGA

Dalam hujah beliau, Cik Tin berkata kini "semakin penting" bagi keluarga untuk mempunyai akses kepada penjaga serta khidmat penjagaan disebabkan beberapa gabungan faktor seperti penduduk yang kian menua, saiz keluarga yang mengecil dan lebih ramai anggota keluarga serumah yang bekerja.

Menjawab satu soalan parlimen yang diajukan oleh Profesor Madya Jamus Lim dari GRC Sengkang, Menteri Tenaga Manusia (MOM) Tan See Leng berkata 86 peratus pembantu rumah hijrahan yang bekerja di Singapura sekarang digajikan oleh keluarga yang memerlukan khidmat penjagaan.

Prof Madya Lim mengemukakan soalan berkaitan pengambilan pembantu rumah memandangkan kesan sekatan kemasukan ekoran COVID-19.

Selain bergantung pada amah untuk keperluan penjagaan, Cik Tin berkata sesetengah penduduk di kawasan undinya terpaksa menangani masalah seperti jangkaan gaji lebih tinggi oleh pembantu rumah, dakwaan penganiayaan dan permintaan untuk dipindahkan ke majikan yang lain.

Semua cabaran itu sudah "timbul" malah sebelum pandemik melanda dan ia bertambah buruk akibat sekatan terhadap bekalan pekerja pembantu rumah disebabkan oleh sekatan perjalanan yang berterusan.

BANTU KELUARGA 'TERSEPIT'

Walaupun MOM sudah melonggarkan sekatan untuk membenarkan pembantu rumah sudah lengkap divaksin memasuki Singapura sejak 1 November, beberapa masalah sedia ada masih perlu dihuraikan, kata Cik Tin sebelum membentangkan cadangannya.

1. LEVI

Pertama ialah untuk meningkatkan akses kepada pembantu rumah bagi keluarga berpendapatan pertengahan atau "tersepit" yang perlu menjaga kedua-dua anggota keluarga yang kecil dan tua, dengan memperkenalkan tahap levi lebih tinggi bagi keluarga bukan penduduk yang bergaji tinggi.

Levi untuk mendapatkan seorang pembantu rumah ialah S$300 sebulan dan S$450 bagi amah selanjutnya.

Cik Tin berkata dengan memperkenalkan sistem berperingkat ini akan membantu  "mengurangkan ketidakseimbangan dalam kuasa membayar".

2. REKOD PRESTASI AMAH

Cadangan kedua melibatkan MOM menetapkan peraturan ke atas agensi pengambilan pekerja untuk menjelaskan sebab kontrak pekerjaan seseorang amah ditamatkan.

Maklumat sedemikian, kata beliau, berguna bagi membolehkan majikan menilai secara objektif pembantu rumah yang ingin diambil.

Beliau juga menyarankan agar hanya agensi pengambilan pekerja yang berdaftar di Singapura dibenarkan menjalankan pemadanan majikan dengan bakal pembantu rumah.

Dengan ini, pertukaran melalui wadah media sosial, yang tidak dikawal boleh dielakkan.

Bagaimanapun, beliau akur mungkin terdapat keprihatinan bahawa aturan seumpama itu akan memberikan agensi "terlalu banyak kuasa" dan berisiko menaikkan yuran agensi - satu pertimbangan yang perlu diberi perhatian oleh MOM, tambah Cik Tin.

Saranan lain termasuk menjalankan pemeriksaan lebih ketat ke atas pembantu rumah yang mempunyai rekod prestasi lemah apabila mereka memasuki semula Singapura untuk memulakan pekerjaan baru. Ini selain mengenakan satu had pada jumlah berpindah majikan yang dilakukan oleh pembantu rumah dalam setahun.

GAJI KEPADA PENJAGA, TINGKATKAN GERAN

Cik Nadia mencadangkan agar pihak berkuasa menimbangkan untuk memperkenalkan satu sistem berdasarkan mata bagi Geran Penjagaan Rumah.

Geran itu berupa bayaran tunai S$200 sebulan untuk menyokong penjaga bagi individu yang memerlukan bantuan untuk melakukan tiga atau lebih kegiatan kehidupan harian seperti makan dan menyalin pakaian.

Ia juga boleh digunakan untuk membiayai kos perbelanjaan penjagaan yang termasuk menggajikan seorang amah.

Untuk layak bagi geran itu, penerima jagaan mestilah seorang rakyat atau penduduk tetap Singapura di mana pendapatan per kapita bulanan (setiap orang) isi rumah adalah S$2,800 atau kurang, atau jika nilai hartanah tahunan keluarga tanpa pendapatan adalah S$13,000 atau lebih rendah.

Cik Nadia berkata kumpulan atau keluarga rentan mungkin terlepas mendapatkan bantuan di bawah syarat geran tersebut.

Misalnya, pasangan suami isteri yang bekerja dan menjaga seorang ibu lanjut usia serta dua anak kecil mungkin memerlukan seorang pembantu rumah.

Bagaimanapun, mereka mungkin tidak layak bagi geran itu kerana ibu mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik, memerlukan bantuan untuk melakukan hanya dua kegiatan kehidupan harian dan bukannya tiga atau lebih seperti yang ditetapkan.

“Walaupun khidmat seorang pembantu rumah mungkin satu pilihan kurang mahal (untuk membantu keluarga itu), golongan keluarga 'tersepit' ini akan membayar harga penuh (untuk berbuat sedemikian)," jelas Cik Nadia.

Pemerintah mungkin boleh meneroka satu sistem berdasarkan mata di mana jumlah kegiatan kehidupan seharian dan pendapatan bulanan per kapita isi rumah boleh dinilai secara sistem berperingkat.

Gabungan mata ini akan memberi "gambaran lebih lengkap" mengenai keluarga yang lebih memerlukan bantuan kewangan, tambah beliau.

Satu sistem gaji harian bagi penjaga separuh masa juga boleh diperkenalkan di bawah geran itu, usul beliau.

RESPONS KEPADA CADANGAN

Menyentuh saranan Cik Tin berhubung levi lebih tinggi bagi keluarga bukan penduduk yang berpendapatan lebih tinggi, Menteri Negara MOM, Cik Gan Siow Huang, berkata Pemerintah sudah memberi "perhatian khusus kepada keluarga tempatan" yang memerlukan khidmat penjagaan.

Inilah sebabnya keluarga dengan sekurang-kurangnya seorang anggota merupakan rakyat Singapura yang memerlukan jagaan, layak mendapat kadar levi konsesi bagi pembantu rumah sebanyak S$60 sebulan.

Semua keluarga bukan penduduk, dengan atau tanpa keperluan penjagaan, membayar kadar tanpa konsesi sebanyak S$300 sebulan.

Bagi cadangan lain seperti membolehkan hanya agensi berpangkalan di Singapura  melakukan pemadanan pekerjaan, Cik Gan berkata lebih 80 peratus majikan mengambil amah melalui agensi sedemikian.

Baki majikan katanya memilih untuk mendapatkan pembantu rumah secara langsung atau melalui kaedah lain untuk mengelak menanggung kos tambahan menerusi khidmat agensi pengambilan pekerja. Dengan tidak membenarkan mereka berbuat demikian akan secara tidak langsung meningkatkan kos pengambilan pembantu rumah.

Untuk memenuhi permintaan bagi pembantu rumah, Cik Gan berkata MOM akan mempelbagaikan negara sumber bagi pembantu rumah.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan