AP Sharael Taha seru lebih banyak restoran tampil bantu keluarga memerlukan Ramadan ini
Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha berharap lebih banyak perniagaan makanan akan tampil membantu keluarga memerlukan sempena bulan Ramadan ini.
SINGAPURA: Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha berharap lebih banyak perniagaan makanan akan tampil membantu keluarga memerlukan sempena bulan Ramadan ini.
Antara yang menyahut seruan memberi golongan fakir miskin berbuka puasa secara percuma di restoran pada bulan puasa ini ialah Restoran Asli Village.
Restoran Asli Village baru sahaja membuka pintunya secara rasmi di lokasi barunya di Downtown East Ahad lalu (11 Apr).
Dilancarkan oleh AP Sharael Taha dua hari sebelum Ramadan, restoran itu bukan sahaja mengalu-alukan kedatangan orang ramai, tetapi juga 16 buah keluarga memerlukan yang diberi penghormatan untuk berbuka puasa secara percuma di sini.

Setiap minggu, empat buah keluarga tersebut akan berbuka puasa di restoran Asli Village ini pada setiap hari Selasa.
Kesemuanya sekitar 70 anggota keluarga dari golongan memerlukan meraih manfaat berbuka puasa secara percuma sepanjang Ramadan.
"Bagi kami, dalam rezeki itu ada rezeki orang lain. Kami sentiasa mencari wadah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat," kata pemilik Asli Village, Cik Samsiah Suliman.
GALAK RESTORAN LAIN ORAK LANGKAH SERUPA
Anak syarikat Jumain Sataysfaction ini bekerjasama dengan Kelab Masyarakat Pasir Ris East sebagai sebahagian daripada kempen 'Ramadan Care' di Pasir Ris-Punggol.
Jelas, pendekatan ini disambut baik Encik Sharael yang malah mahu lebih banyak lagi restoran supaya mengorak langkah serupa.
"Ini sebagai satu contoh bagaimana perniagaan-perniagaan boleh bekerja dengan masyarakat dan juga menolong penduduk-penduduk di kawasan mereka.
"Saya mengharapkan banyak perniagaan akan cuba sebagaimana Puan Samsiah mencuba dengan Asli Village, terlibat dengan masyarakat atau menolong masyarakat, terutama sekali di masa sekarang, di masa COVID-19 ini, yang banyak masyarakat kita telah terjejas dengan pendapatannya atau pekerjaannya dan memerlukan bantuan," kata Encik Sharael kepada BERITAmediacorp.
Restoran berusia 11 tahun itu juga berhasrat mengembangkan usaha Ramadan tersebut pada masa hadapan.
"Saya rasa ini tempat baru bagi kami, lebih besar daripada sebelumnya. Insya-Allah kita akan dapat menambah lagi keluarga yang berbuka di sini," ujar Cik Samsiah.
Sempena Ramadan ini juga, Asli Village menyediakan makanan bungkus dan minuman bagi rakan-rakan khidmat penghantaran berbuka puasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.