Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP saran lebih banyak bantuan, bonus khas bagi iktiraf kerja keras guru semasa pandemik

Anggaran Waktu Membaca:
AP saran lebih banyak bantuan, bonus khas bagi iktiraf kerja keras guru semasa pandemik

Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Abdul Samad Abdul Wahab (kiri), Penolong Setiausaha Agung NTUC Patrick Tay (PAP-SMC Pioneer) (kanan)

SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) menyarankan agar banyak lagi perlu dilakukan untuk menyokong para guru termasuk memberikan bonus khas bagi menghargai dan mengiktiraf kerja keras mereka sepanjang pandemik COVID-19.

Berucap di Parlimen pada Isnin (12 Sep) semasa usul penangguhan dikemukakan, Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Abdul Samad Abdul Wahab mengatakan bahawa beliau memutuskan untuk mengemukakan usul itu selepas menyaksikan video pelajar Sekolah Menengah St Andrew's yang mengugut seorang guru menggunakan kekerasan.

Kesatuan-kesatuan yang mewakili para guru di merata Singapura menyatakan bahawa mereka menerima lebih 1,000 aduan setiap tahun.

Kes-kes tersebut terdiri daripada menguruskan tingkah laku pelajar, cemuhan daripada ibu bapa dan isu-isu yang berhubung kait dengan kesihatan mental ataupun kemajuan dalam kerjaya, kata Encik Samad.

"Kesatuan-kesatuan itu mengakui bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) telah menyokong mereka dalam usaha menghuraikan konflik dan mengumpul maklum balas secara positif mengenai tangga gaji dan kemajuan kerjaya," tambah beliau sambil merujuk kepada kenaikan gaji yang diumumkan baru-baru ini untuk para pegawai MOE.

Sungguhpun demikian, kesatuan-kesatuan itu percaya bahawa MOE boleh melakukan lebih lagi untuk melaksanakan dasar-dasar bagi menangani keprihatinan para guru termasuk yang akan "menetapkan asas" untuk amalan-amalan sekolah, kata Encik Abdul Samad yang merupakan naib presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Penolong Setiausaha Agung NTUC Patrick Tay (PAP-SMC Pioneer) mengatakan bahawa meskipun beliau mengalu-alukan kenaikan gaji untuk para pegawai MOE, beliau berharap kenaikan gaji dan faedah untuk mengekalkan tenaga kerja pendidik yang lebih baik dapat diperluaskan kepada semua guru termasuk di politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

"Saya berasa gembira untuk berkongsi bahawa sesetengah syarikat berkesatuan dalam sektor pendidikan swasta juga sudah menyemak dan membuat penyesuaian pada gaji guru masing-masing," tambah beliau.

"Kami berharap syarikat-syarikat lain dalam sektor privet termasuk pendidikan awal kanak-kanak, penjagaan pelajar, Universiti Berautonomi dan PEI (Institut Pendidikan Privet) juga akan menyemak semula gaji bagi memastikan pakej gaji keseluruhan kekal berdaya saing dan bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan untuk menangani kenaikan kos sara hidup."

Encik Abdul Samad juga menyarankan kepada MOE supaya mempertimbangkan pemberian bonus khas kepada guru bagi mengiktiraf usaha mereka dalam "menguruskan beban kerja dan tekanan luar biasa semasa pandemik".

MENGURUS BEBAN KERJA GURU

Menjawab pertanyaan Encik Tay dan Encik Abdul Samad, Menteri Negara Pendidikan Gan Siow Huang (PAP-SMC Marymount) menarik perhatian bahawa menguruskan beban guru adalah 'bidang tumpuan yang penting' bagi MOE.

"MOE sudah mengurangkan kerja-kerja pentadbiran dengan mengukuhkan khidmat bertumpu dan memanfaatkan teknologi," tambah beliau.

MOE juga akan mempertimbangkan cara lain untuk memberikan ruang kepada para guru termasuk cadangan Encik Tay untuk menetapkan kertas peperiksaan biasa di semua sekolah bagi memastikan para guru mempunyai masa untuk berehat secukupnya.

Sekolah dan institusi pendidikan juga sudah memperkenalkan aturan kerja lebih fleksibel untuk para pendidik selagi boleh dilaksanakan.

Politeknik dan ITE kini sedang menjalankan semakan gaji dan hasil daripada semakan itu akan dikongsi dengan kakitangan masing-masing apabila selesai kelak, kata Cik Gan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Abdul Samad atas cadangan beliau untuk memberikan bonus khas kepada para guru.

Beliau juga menekankan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan para guru.

Beliau menggesa ibu bapa supaya bekerjasama dengan guru untuk mewujudkan "kerjasama yang positif dan menetapkan jangkaan yang sesuai" terhadap tanggungjawab guru.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan