Skip to main content

Singapura

AP saran dakapi AI, tingkatkan sokongan pekerjaan pada hari terakhir perbahasan Ucapan Presiden

Para Anggota Parlimen pada Jumaat (26 Sep) sekali lagi membangkitkan topik hangat mengenai kecerdasan buatan (AI) dan sokongan pekerjaan demi mengukuhkan ekonomi Singapura, menjelang penghujung perbahasan Ucapan Presiden.

Anggaran Waktu Membaca:
AP saran dakapi AI, tingkatkan sokongan pekerjaan pada hari terakhir perbahasan Ucapan Presiden

Para pekerja pejabat berjalan di Daerah Pusat Perniagaan Singapura. (Gambar fail: iStock/3yephotography)

SINGAPURA: Para Anggota Parlimen pada Jumaat (26 Sep) sekali lagi membangkitkan topik hangat mengenai kecerdasan buatan (AI) dan sokongan pekerjaan demi mengukuhkan ekonomi Singapura, menjelang penghujung perbahasan Ucapan Presiden.

Pada hari terakhir perbahasan lima hari itu, 13 Anggota Parlimen (AP) – termasuk empat pemegang jawatan politik – berucap selama lebih lima jam sebagai maklum balas kepada ucapan Presiden Tharman Shanmugaratnam mengenai masyarakat di mana “masyarakat didahulukan” awal bulan ini.

Antara pemegang jawatan politik yang berucap pada Jumaat ialah Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sun Xueling yang turut menyentuh isu perumahan yang lebih mudah diakses untuk semua rakyat Singapura.

Cik Sun menarik perhatian bahawa sebuah Jawatankuasa Penyelaras BTO (Bina Ikut Tempahan) antara agensi sudah ditubuhkan tahun lalu untuk mengkaji pengalaman penduduk di kawasan BTO berskala besar seperti Punggol dan Tengah.

Antara perkara yang sedang dikaji jawatankuasa itu termasuk pembinaan lebih banyak laluan berbumbung, memastikan khidmat jagaan kanak-kanak bermula lebih awal selepas penduduk pertama berpindah, serta menambah pilihan makanan di kawasan kejiranan tersebut.

Perbahasan pada Jumaat dimulakan dengan ucapan AP Poh Li San (PAP–Sembawang) yang menyatakan bahawa banyak perusahaan kecil dan sederhana (SME) mahu mengubah perniagaan mereka tetapi tidak mahir menggunakan alat AI dan tidak mempunyai dana untuk mengupah perunding.

Beliau mencadangkan agar pemerintah menyediakan dana untuk melatih golongan muda menggunakan alat AI yang dapat membantu perniagaan mengurangkan kos, mengautomasikan proses kerja dan meningkatkan usaha pemasaran.

"Ejen perubahan" AI ini boleh menjalankan tugasan berasaskan projek untuk membantu syarikat, tambah beliau.

Sebagai contoh, mereka boleh memperkenalkan dan menyesuaikan alat AI bagi sebuah syarikat sebelum membantu syarikat lain, atau diambil kerja secara tetap jika syarikat mendapati mereka “berharga”.

Beliau turut mencadangkan satu program latihan AI, bermula dengan kumpulan kecil dengan seramai 1,000 pencari kerja yang dilatih untuk menguasai alat AI dalam masa dua hingga empat minggu. Individu-individu itu kemudiannya boleh dipadankan dengan SME yang ingin mengautomasikan proses perniagaan mereka, kata Cik Poh.

Enterprise Singapore (ESG) boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat untuk mengenal pasti mereka yang mahu menyertai program itu, sambil mencadangkan agar lembaga berkanun itu menampung antara 70 hingga 80 peratus gaji "ejen perubahan" AI tersebut sehingga enam bulan.

“Dan jika syarikat membuat keputusan untuk menggajikan mereka secara tetap, ESG boleh membiayai antara 50 hingga 60 peratus gaji mereka, sehingga setahun,” kata beliau.

AP merangkap Setiausaha Agung Kedua Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Desmond Tan (PAP-Pasir Ris-Changi) menggesa majikan supaya melabur dalam pekerja lebih berusia: “Jangan pilih antara AI dan usia. Pilih kedua-duanya.”

Beliau juga meminta pemerintah agar terus menyokong NTUC, khususnya dalam gerakan AI Ready SG yang diumumkan Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng pada Isnin lalu.

“Kepada pekerja berusia, marilah kita berani mendakap teknologi dan AI, serta menyesuaikan diri supaya kita bersedia menghadapi ekonomi AI yang baharu,” kata Encik Tan, yang juga Menteri Negara Kanan Pejabat Perdana Menteri.

SOKONGAN PEKERJAAN DIPERTINGKAT

Menteri Negara Kanan Undang-Undang dan Pengangkutan Murali Pillai menggariskan tiga strategi untuk membina sistem pengangkutan yang kukuh di Singapura – daya tahan, teknologi dan tenaga kerja.

Pemerintah akan menambah baik infrastruktur yang semakin uzur untuk menjadikan sistem lebih teguh dan fleksibel, kata beliau. Ini akan memenuhi keperluan penduduk Singapura yang semakin bertambah dan kompleks.

Ia juga akan merebut peluang daripada teknologi baharu sambil melindungi sistem daripada risiko keselamatan siber dan terus membina tenaga kerja pengangkutan yang profesional dan mudah menyesuaikan diri, kata Encik Murali.

Tenaga kerja tersebut merupakan “satu-satunya bahagian penting” dalam landskap pengangkutan yang dapat memastikan sistem Singapura kekal relevan “jauh ke masa depan”.

Penolong Setiausaha Agung NTUC Patrick Tay merupakan antara yang menggesa sokongan lebih besar buat para pekerja, termasuk menerusi peluasan pelbagai skim dan pembentukan kumpulan kerja untuk menangani kesan AI terhadap pekerja.

Encik Tay (PAP-Pioneer) berkata Akta Pekerjaan harus meliputi lebih ramai profesional, pengurus dan eksekutif (PME) dengan menaikkan had gaji bagi pekerja dan bukan pekerja. Ia juga harus memberikan lebih kejelasan mengenai pemindahan yang menjejaskan pekerja semasa peralihan syarikat, serta mewajibkan majikan memberi alasan yang jelas bagi penghentian kerja jika diminta pekerja.

Encik Tay berkata sudah "tiba masanya" untuk menyemak semula rangka kerja Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) Singapura demi mengutamakan kemahiran dan kebolehan berbanding sijil kelayakan.

“Ekonomi Berasaskan Kemahiran ... berpotensi besar merangkumi para pelajar bukan tradisional yang memperoleh kemahiran melalui pengalaman dan memperluaskan laluan kerjaya mereka di luar skop kelayakan formal,” tambah beliau.

Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, program penukaran kerjaya harus diperluas untuk merangkumi lebih banyak sektor agar ia lebih relevan bagi PME.

Encik Liang Eng Hwa (PAP–Bukit Panjang) pula mengutarakan cadangan untuk memadankan pekerjaan dengan lebih baik, khususnya bagi peranan profesional kanan, pengurus, eksekutif dan juruteknik.

Selain memberi nasihat berhubung kerjaya, bantuan menulis resume dan persediaan kerjaya, kaunselor pekerjaan juga boleh menunjukkan kepada para pencari kerja cara untuk mengetengahkan pencalonan mereka dengan lebih berkesan dan secara langsung kepada syarikat, tambahnya.

Pengurus sumber manusia dan syarikat pencarian bakat merupakan “saluran penting” dan harus sehaluan dalam memberi peluang kepada para calon di luar rangkaian mereka, kata Encik Liang.

Beliau mengulangi cadangannya supaya tempoh iklan pekerjaan di bawah Rangka Kerja Pertimbangan Adil dilanjutkan daripada 14 hari kepada 28 hari bagi memberi syarikat “masa yang mencukupi” untuk mempertimbangkan semua calon dengan adil.

KERJASAMA SERANTAU

Di pihak pembangkang, AP Kenneth Tiong (WP-Aljunied) menekankan keperluan Singapura untuk bekerjasama dengan negara Asia Tenggara lain bagi menyepadukan ekonomi serantau dengan lebih kukuh, sambil menjadikan syarikat penerbangan Airbus sebagai contoh.

Airbus ditubuhkan pada 1970 sebagai konsortium industri rentas sempadan bagi memelihara industri penerbangan Jerman, Perancis dan United Kingdom daripada dominasi syarikat gergasi Amerika dalam pasaran penerbangan awam.

Encik Tiong berkata Singapura harus memperjuangkan pembentukan konsortium komersial baharu “seumpama Airbus” dengan rakan kongsi yang bersedia untuk melakukan sedemikian.

“Dalam abad ke-21, ini tidak semestinya dijadikan sebuah syarikat milik pemerintah yang besar, tetapi menjadi pelanggan utama dan pemacu industri bagi seluruh ekosistem SME.”

Beliau berkata dalam hal tersebut, negara tidak sepatutnya bersaing secara langsung dengan SME.

“Ramai usahawan tempatan memberitahu saya bahawa apabila mereka mencapai tahap tertentu, pesaing terbesar mereka ialah negara Singapura dan entiti yang berkaitan dengannya.

“Terlalu lama, cita-cita negara berpaling ke dalam negara, sering kali menyebabkannya bersaing secara langsung dengan SME kita. Cukuplah. Peranan negara perlu ditakrif semula – sebagai pemudah cara terbesar untuk perusahaan tempatan – dan bukannya pesaing mereka.”

Komen Encik Tiong mencetuskan beberapa pusingan penjelasan daripada AP Foo Cexiang (PAP–Tanjong Pagar).

Encik Foo bertanya tentang sektor yang dimaksudkan Encik Tiong di mana pemerintah boleh memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem SME tanpa menjejaskan mereka. Encik Tiong menyebut sektor penjagaan kesihatan dan semikonduktor sebagai contoh.

Encik Foo kemudian bertanya negara atau pemerintah mana yang patut digandingkan dengan Singapura. Encik Tiong merujuk kembali kepada ucapannya di mana beliau menyebutkan sebuah entiti di Malaysia.

“Saya katakan itu merupakan satu kemungkinan berhubung semikonduktor. Tetapi sudah tentu, saya tidak mahu terlalu menetapkan bentuk industri itu. Saya fikir ada banyak bidang berpotensi yang boleh dibangunkan.

“Tetapi sebagai prinsip umum, ini adalah instrumen dasar yang saya tidak fikir pemerintah ini pernah pertimbangkan, atau ia hanya dipertimbangkan sekali pada 1980-an dan saya percaya ia patut dihidupkan semula.”

Sebagai maklum balas, Encik Foo bertanya sama ada terdapat pemerintah serantau yang boleh bekerjasama “secara bermakna” dengan Singapura dalam usaha sebegitu, dengan mengambil kira sumber, tenaga kerja dan kemahiran mereka.

Encik Tiong berkata terdapat banyak sumber kekuatan industri di rantau ini, seperti Vietnam, dalam bidang pengilangan.

“Seperti yang saya katakan, saya fikir pemerintah mempunyai kuasa untuk memutuskan bidang-bidang itu dan memikirkan cara terbaik untuk membangunkannya. Tetapi saya tidak mahu terlalu preskriptif dalam menetapkan bentuknya,” tambah beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita