AP Rahayu Mahzam sokong tingkatkan hukuman ke atas pendera golongan lemah
Anggota Parlimen bagi GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam menyuarakan sokongannya terhadap pindaan rang undang-undang untuk membantu melindungi golongan yang lemah di sini.
SINGAPURA: Anggota Parlimen bagi GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam menyuarakan sokongannya terhadap pindaan rang undang-undang untuk membantu melindungi golongan yang lemah di sini.
Bercakap di Parlimen hari ini (6 Mei) Cik Rahayu memberikan contoh dua kes penderaan yang dilakukan ke atas golongan sedemikian.
Yang pertama ialah kes tragik yang menimpa Annie Ee. Beliau yang kurang daya intelek meninggal dunia setelah diseksa dan didera oleh teman-teman serumahnya.
Kedua ialah kes penganiayaan anak kecil, Muhamad Daniel Muhamad Nasser yang berusia dua tahun. Daniel ditendang dan ditampar oleh ibu serta teman lelakinya malah dipaksa makan cili kering sebelum meninggal disebabkan oleh kecederaan di kepala.
HUKUMAN YANG DIJATUHKAN TIDAK SETIMPAL
"Kes-kes sebegini menggoncang naluri kita sebagai manusia. Mereka yang melakukan kekejaman kepada mangsa-mangsa yang kurang mampu mempertahankan diri mereka memang sepatutnya menerima hukuman yang lebih keras.
"Ini mencerminkan prinsip kita sebagai satu masyarakat yang mengutuk keras perbuatan yang tidak berperi-kemanusiaan terhadap mereka yang lemah," tekan Cik Rahayu.
Tambah beliau menyusuli hukuman yang dikenakan ke atas kedua-dua mangsa tersebut ramai yang berpendapat bahwa hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan.
SESUATU PERLU DILAKUKAN
Lantaran itu, beliau menyokong saranan-saranan yang diusulkan untuk meningkatkan hukuman ke atas mereka yang melakukan tindakan yang mencederakan golongan lemah di sini.
"Sesuatu perlu dilakukan dan saya gembira melihat adanya saranan dalam rang undang-undang ini untuk mempertingkatkan hukuman buat mereka yang mendera dan menyeksa mangsa yang kurang mampu mempertahankan diri mereka disebabkan keadaan diri dan juga kerana hubungan rapat dengan yang bersalah.
"Ada juga saranan untuk kesalahan baru berkenaan penderaan yang membawa kepada kematian si mangsa. Saya rasa ini baik dan saya menyokong saranan-saranan dalam pindaan ini," kata Cik Rahayu lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.