AP PAP Tan Wu Meng selar ketua WP Pritam Singh atas komen "pengkritik membina"
Setiausaha Parlimen Kanan Tan Wu Meng menyelar Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh atas komen-komen yang dibuat di Parlimen awal bulan ini.

Dr Tan Wu Meng (kiri) dan Encik Pritam Singh (kanan).
SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Tan Wu Meng menyelar Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh atas komen-komen yang dibuat di Parlimen awal bulan ini tentang "rakyat yang merupakan pengkritik membina".
Dalam satu rencana yang ditulis beliau di laman Parti Tindakan Rakyat (PAP) hari ini (19 Jun), Dr Tan yang juga Anggota Parlimen GRC Jurong - merujuk kepada ucapan Encik Singh pada 5 Jun semasa Dewan membahaskan Belanjawan Kecekalan. Dr Tan berkata pemimpin parti pembangkang itu bersuara untuk "menyokong" penulis drama, Alfian Sa'at.
Dalam ucapannya pada 5 Jun, Encik Singh - AP GRC Aljunied, berkata: "Kita bernasib baik kerana mempunyai rakyat yang merupakan pengkritik dalam kalangan kita dan sebahagian daripada mereka pernah dipersoalkan dalam Dewan ini oleh Pemerintah penggal ini.
"Anggota Dewan ini mungkin masih ingat puisi karya seorang rakyat yang dijadikan bahan untuk memberikan gambaran negatif mengenai keperibadiannya, meskipun individu tersebut tidak ada di sini untuk mempertahankan perwatakannya."
Dr Tan, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan hari ini menyatakan: "Beliau (Encik Singh) memberikan contoh, tanpa menyebut nama, tetapi jelas beliau merujuk kepada Alfian Sa'at."
Tahun lalu, satu modul di Kolej Yale-NUS bertajuk 'Dialogue and Dissent in Singapore', yang sepatutnya diajarkan oleh Encik Alfian, dibatalkan.
Laporan oleh Universiti Yale menyatakan bahawa terdapat kebimbangan terhadap modul yang diusulkan itu. Ini termasuk ketegasan akademik, risiko undang-undang terhadap mahasiswa disebabkan oleh "simulasi" bantahan serta keseimbangan politik dalam sukatan modul tersebut.
Apabila ditanya di Parlimen mengapa modul itu dibatalkan, Menteri Pendidikan Ong Ye Kung memetik puisi yang ditulis Encik Alfian pada 1998 bertajuk 'Singapore You Are Not My Country', termasuk bait-bait yang menyatakan "Singapore, I assert you are not a country at all".
Encik Ong berkata Encik Alfian "terus mempamerkan sikap sedemikian secara konsisten dalam aktivisme" yang dipegangnya.
Duta Kelana Profesor Tommy Koh menggunakan perkataan "loving critic" (pengkritik) dalam tulisannya yang diterbitkan dalam akhbar The Straits Times pada bulan Oktober tahun lalu, di mana beliau berkata golongan intelek, anak seni dan penulis yang lantang bersuara terhadap Pemerintah atau berpandangan bertentangan dengan Pemerintah tidak seharusnya disenarai hitam.
"Apa yang Singapura perlukan bukanlah pengampu sebaliknya pengkritik yang membina dan mereka yang berfikiran kritis," tambah Profesor Koh dalam catatan di laman Facebooknya.
Dalam tulisannya di laman PAP hari ini, Dr Tan berkata: "Terdapat ramai rakyat Singapura yang mengkritik negara ini dari lubuk hati yang patriotik dan ikhlas, termasuk pemimpin pembangkang seperti Encik Chiam See Tong dan Encik Low Thia Kiang. Namun Alfian Sa'at bukanlah "pengkritik membina".
Dr Tan menambah Encik Alfian "secara konsisten memuji Malaysia untuk menggambarkan cemuhannya terhadap Singapura."
AP PAP itu merujuk kepada komen-komen yang dibuat oleh Encik Alfian pada 2018, apabila kapal-kapal Malaysia berlabuh di perairan Singapura dan menyatakan terdapat "isu-isu serius" berhubung penggunaan ruang udara antara kedua-dua negara.
"Rakyat Singapura bersatu. Encik Low Thia Kiang berucap di Parlimen, seperti yang akan dilakukan oleh seseorang yang mencintai tanah airnya," kata Dr Tan.
"Tapi Alfian? Beliau mengejek pendekatan yang diambil oleh Singapura sebagai 'jingoisme' (meskipun kapal-kapal Malaysia berlabuh di perairan kita) dan ia bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat Singapura terhadap 'masyarakat tidak bertamadun' di bahagian utara sedangkan ia tidak wujud lagi, dan bahawa rakyat Malaysia mungkin menjadi huraian bagi Singapura," kata Dr Tan, sambil merujuk kepada catatan Facebook Encik Alfian.
Encik Alfian juga mempertikaikan warisan dan sumbangan mantan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dalam satu catatan Facebook dua hari selepas pemergian Encik Lee pada tahun 2015, kata Dr Tan.
"Kita tahu pandangan Alfian terhadap Encik Lee Kuan Yew, tetapi adakah ini sikap seorang "pengkritik membina" Singapura?" tanya Dr Tan.
Dr Tan juga merujuk kepada satu wawancara antara Encik Alfian dengan akhbar TODAY pada 2012 di mana beliau berkata beliau "sudi menjadi rakyat Malaysia".
"Lelaki ini membesar di Singapura. Singapura memberikan beliau pendidikan dan beliau meraih pendapatan di sini. Pendidikan dan kehidupan yang tidak diberikan kepada ramai golongan minoriti di rantau ini," tegas Dr Tan.
"Dan beliau terus-menerus mengkritik Singapura dan berkata beliau bersedia menjadi rakyat Malaysia dan tidak ada salahnya menerima dasar-dasar Bumiputera di negara ini, sedangkan timbul ketegangan antara Malaysia dengan Singapura," tulis Dr Tan.
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, Dr Tan berkata Encik Alfian memihak kepada Malaysia dan bukan Singapura dalam pelbagai perkara.
"Jadi apabila pemimpin pembangkang menyokong Alfian sebagai 'pengkritik yang membina', penting untuk kita semua faham apa yang menjadi pegangan Alfian dan bertanya sama ada sokongan tersebut adalah berdasarkan pilihan yang berhemah," kata Dr Tan.
Dr Tan juga berkata Encik Singh "mungkin belum membaca semua yang pernah ditulis Alfian".
"Saya sarankan kepada beliau supaya membacanya dengan teliti dan kemudian beritahu kami jika beliau masih berpendapat bahawa Alfian adalah 'pengkritik membina' Singapura," kata Dr Tan lagi.
"Jika ya, mungkin Encik Singh menganggap dirinya juga sebagai 'pengkritik membina' Singapura?"
Dalam catatan di laman Facebook Encik Singh, beliau berkongsi catatan yang dikongsi PAP mengenai tulisan Dr Tan itu.
Encik Singh kemudian berkata: "Pengkritik membina. Anak watan Singapura. Tidak sempurna seperti anda dan saya, Dr Tan. Mungkin lebih, mungkin kurang."
Menyuarakan responsnya di laman Facebook, Encik Alfian berkata tulisan Dr Tan itu "satu bentuk serangan yang buruk untuk menyerang saya sebagai alasan untuk menyerang seorang anggota daripada parti pembangkang".
Beliau menambah komen-komennya berhubung Malaysia sebelum ini merupakan respons kepada apa yang dilihatnya sebagai satu bentuk nasionalisme Singapura yang berdasarkan "rasa tinggi dirik, yang kadangkala hampir condong kepada rasa benci terhadap negara jiran", sambil menambah beliau juga pernah menulis bagi lakonan teater yang bersifat kritikal terhadap politik Malaysia.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.