AP Murali Pillai, rakan sekerja Cina bantu pekerja pembersihan ini bertekad miliki flat sendiri; bina hidup baru
Selepas bercerai pada 2006, beliau kehilangan tempat berteduh. Kedudukan kewangan dan latar belakangnya pada ketika itu juga tidak memungkinkan dirinya untuk menyewa atau membeli rumah sendiri.
BERITAmediacorp: Selepas bercerai pada 2006, beliau kehilangan tempat berteduh. Kedudukan kewangan dan latar belakangnya pada ketika itu juga tidak memungkinkan dirinya untuk menyewa atau membeli rumah sendiri.
Hari ini, lebih 10 tahun kemudian, Encik Kamsani Bin Nas, 49 tahun boleh tersenyum bangga kerana akhirnya berjaya memiliki rumahnya sendiri, berkat kesungguhan beliau untuk terus memperbaiki kedudukan kewangannya.
Menerusi bantuan Anggota Parlimen (AP) SMC Bukit Batok, Murali Pillai, yang memfailkan petisyen bagi mendapatkan kuantum pinjaman Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang lebih tinggi. Encik Kamsani kini memiliki sebuah flat flexi 2 bilik.
Namun, yang lebih mengagumkan adalah bagaimana sebelum itu, sahabat dan rakan sekerja Encik Kamsani yang bukan berbangsa Melayu, Cik Bay Geck Hiok atau lebih dikenali sebagai Jane, tidak teragak-agak membuka pintu rumahnya demi membantu seorang rakan yang sedang memerlukan. Malah, keperluan lain seperti makanan halal juga diuruskan buat sahabat baiknya itu.
Perjalanan hidup Encik Kamsani dan persahabatannya dengan Cik Jane menjadi contoh terbaik kehidupan inklusif dan muhibah dalam masyarakat yang berbilang agama, kaum, budaya dan adat resam di Singapura.
HILANG TEMPAT BERTEDUH SETELAH BERCERAI
Nasib Encik Kamsani berubah sekelip mata setelah mahligai yang dibina selama lebih 20 tahun terlerai. Encik Kamsani mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa disebabkan penceraian dengan isterinya, beliau terpaksa menjual rumah keluarganya.
Disebabkan penceraiannya itu, beliau seolah-olah ‘tersepit’ kerana tidak layak untuk menyewa flat dan wang CPF yang dimilikinya pula tidak mencukupi untuk membeli flat HDB. Bagaimanapun, beliau berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau amat bersyukur kepada rakan baiknya, Cik Jane sekeluarga yang mempelawanya tinggal bersama dengan mereka.
“Saya amat tersentuhlah dengan Cik Jane kerana tidak sangka, beliau begitu ikhlas menjemput saya tinggal bersamanya dan ibunya. Malah, keluarga Cik Jane menganggap saya sebahagian daripada keluarga mereka. Bahkan hubungan saya dengan Jane seperti adik-beradik,” dedah Encik Kamsani kepada BERITAmediacorp.
BANTUAN ENCIK MURALI PILLAI
Selain berasa amat beruntung kerana mempunyai sahabat yang berhati mulia seperti Cik Jane, Encik Kamsani turut bersyukur kerana Encik Murali bersungguh-sungguh membantunya dalam memfailkan petisyen kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
“Sudah beberapa kali permohonan saya untuk membeli rumah ditolak. Ini sehinggakan pada satu ketika itu, saya sendiri sudah putus harapan tetapi, Encik Murali tidak. Bahkan, beliau sering menggesa saya supaya jangan putus asa dan menggalak saya untuk mencuba lagi,” dedah Encik Kamsani kepada BERITAmediacorp.
Encik Murali memaklumkan kepada BERITAmediacorp bahawa beliau memfailkan permohonan kepada HDB berdasarkan pendapatan Encik Kamsani dan bagaimana ia meningkat sedikit demi sedikit. Beliau mengemukakan perbezaan antara jumlah simpanan yang dimiliki Encik Kamsani dalam akaun CPFnya dengan perbezaan harga flat flexi 2 bilik yang ditawarkan.
Menurut Encik Murali, salah satu sifat Encik Kamsani yang perlu disanjungi adalah sikapnya yang sentiasa positif. Meskipun permohonannya untuk membeli rumah sudah banyak kali ditolak, beliau terus berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan kedudukan kewangannya bertambah baik. Oleh itu, tahun demi tahun wang pendapatannya naik sedikit demi sedikit.
Encik Murali turut berkongsi bahawa beliau amat gembira apabila pihak HDB mempertimbangkan kes Encik Kamsani dan memberi peluang kepadanya untuk membina semula kehidupannya.
Nasihat Encik Murali: “Bagi mereka yang mungkin mengalami cabaran hidup seperti Encik Kamsani, jangan teragak-agak untuk mendapatkan sokongan daripada para anggota parlimen, pertubuhan masyarakat, mahupun pemerintah. Ini penting kerana secara usaha bersama, mereka boleh membina kehidupan baru.”
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kes Encik Kamsani istimewa bukan sahaja disebabkan beliau memiliki tekad yang kuat dan kebulatan hati untuk membina semula kehidupannya tetapi, juga keihsanan Cik Jane terhadapnya.
SALING HORMAT-MENGHORMATI ANTARA SATU SAMA LAIN
Semasa Encik Kamsani menetap di rumahnya, Cik Jane berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau prihatin terhadap makanan-makanan yang boleh dimakan rakannya itu. Beliau sedar bahawa sebagai seorang yang beragama Islam, Encik Kamsani hanya boleh memakan makanan yang halal sahaja.
Justeru, Cik Jane memberitahu BERITAmediacorp bahawa sekiranya beliau memasak, beliau hanya akan masak ikan dengan sayur sahaja. Ini supaya Encik Kamsani boleh makan bersama.
Bagaimanapun, lazimnya Encik Kamsani akan membeli sahaja makanan bungkus dan makan malam bersama Cik Jane dan ibunya di rumah.
“Jane dan ibunya sangat menghormati agama saya, jika beliau memasak beliau akan memastikan semua bahan yang akan saya makan adalah halal,” ujar Encik Kamsani lagi.
BANTU TIDAK KIRA KAUM, AGAMA
Cik Jane berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau amat terkesan apabila mendapat tahu bahawa Encik Kamsani tiada tempat tinggal dan hidup merempat.
“Setiap hari apabila Kamsani datang ke kerja, beliau sering kelihatan penat dan kadangkala juga lewat ke kerja. Selain itu, saya mula menyedari bahawa beliau sudah beberapa hari tidak menukar pakaiannya. Dari situlah saya mula mendapat tahu keadaan Encik Kamsani,” ujar Cik Jane.
Cik Jane menambah, kepercayaan terhadap Encik Kamsani tidak menjadi isu baginya kerana sudah begitu mengenali keperibadian rakannya itu. Sungguhpun demikian, oleh kerana beliau tinggal bersama ibunya yang berusia lebih 90 tahun, beliau berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu dan memutuskan untuk mengajak Encik Kamsani untuk makan malam bersama.
Peluang berinteraksi dengan Encik Kamsani membuatkan adik-beradik serta ibu Cik Jane sebulat suara bersetuju untuk mengajaknya tinggal bersama mereka.
PENGALAMAN TINGGAL BERSAMA
Sejak tinggal serumah, Cik Jane mendedahkan bahawa Encik Kamsani turut membantu menjaga ibu beliau yang sudah uzur serta membantu dengan kerja-kerja rumah. Bahkan, Encik Kamsani melayan ibu Cik Jane seakan-akan ibunya sendiri.
Encik Kamsani sangat prihatin terhadap ibu Cik Jane. Menurut Cik Jane, sekiranya Encik Kamsani berada di rumah, beliau akan menemani ibu Cik Jane berjalan ke tandas dan menunggu di luar.
Setiap kali pulang dari kerja, Encik Kamsani akan duduk di hujung katil ibu Cik Jane untuk berbual-bual dengannya sebelum tidur. Layanan dan kasih sayang yang dicurahkan Encik Kamsani terhadap ibu Cik Jane adalah sesuatu yang amat dihargai, Cik Jane memberitahu BERITAmediacorp.
Malah, walaupun kini Encik Kamsani tidak lagi tinggal sebumbung dengan Cik Jane, beliau masih lagi menziarahi Cik Jane sekeluarga. Sekali-sekala Cik Jane dan ibunya pula akan menziarahi Encik Kamsani di rumah barunya kerana ingin bertukar angin.
Bak pepatah Melayu, hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati.
Encik Kamsani turut memaklumkan BERITAmediacorp bahawa beliau amat terhutang budi kepada Cik Jane dan ibunya kerana berada di sisi beliau sewaktu benar-benar dalam kesusahan. Tanpa sokongan moral mereka, Encik Kamsani tidak mungkin dapat membina semula kehidupannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.