AP Murali Pillai pertahankan keputusan penganjur adakan majlis makan malam warga emas
Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok Murali Pillai berkata langkah berjaga-jaga dilaksanakan semasa majlis makan malam untuk warga emas hujung minggu lalu, selepas anggota politik pembangkang Chee Soon Juan mengkritik acara tersebut sebagai berpotensi mencetuskan penularan COVID-19.

(Gambar: Facebook/Bukit Batok Community Club)
SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok Murali Pillai berkata langkah berjaga-jaga dilaksanakan semasa majlis makan malam untuk warga emas hujung minggu lalu, selepas anggota politik pembangkang Chee Soon Juan mengkritik acara tersebut sebagai berpotensi mencetuskan penularan COVID-19.
Encik Murali berkata beliau "menghargai pengawasan" itu, namun memberitahu Mediacorp pada Ahad malam (15 Mac) bahawa adalah penting untuk memahami keadaan pada ketika itu dalam menilai sama ada penganjuran majlis makan malam oleh Kelab Penuaan Aktif Bukit Batok itu adalah munasabah.
Majlis jamuan malam pada 7 Mac itu, yang meraikan ulang tahun kelapan kelab tersebut, diadakan sebelum Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan penggantungan semua kegiatan melibatkan warga emas dikendalikan oleh agensi-agensi pemerintah selama 14 hari dari 11 Mac. Ia juga diadakan sebelum gesaan Pemerintah pada 13 Mac untuk membatalkan atau menangguhkan acara yang dihadiri oleh lebih 250 orang.
"Dalam menilai sama ada wajar atau tidak keputusan Kelab Penuaan Aktif untuk meneruskan majlis jamuan malam yang dikecilkan skalanya, tidak adil untuk mengambil kira fakta-fakta yang berlaku kemudian, kerana perkara-perkara ini tidak ada dalam pengetahuan mereka pada masa itu," kata Encik Murali di Facebook pada Ahad petang.
Awal dari itu, menulis di laman Facebook, ketua Parti Demokrat Singapura (SDP), Dr Chee - yang kalah kepada Encik Murali semasa pilihan raya kecil 2016 di Bukit Batok - mempersoalkan mengapa Encik Murali membenarkan warga emas berkumpul ketika penularan COVID-19 berada di tahap "paling kritikal".
Beliau berkata berdasarkan gambar-gambar majlis makan malam itu, para peserta duduk rapat antara satu sama lain dan "tidak mengamalkan jarak sosial" - amalan kesihatan awam yang bertujuan untuk menghadkan hubungan antara orang yang sihat dengan yang sakit.
Dr Chee berkata bahawa Encik Murali, sebagai Anggota Parlimen dan pemimpin masyarakat, sepatutnya menasihati pihak penganjur untuk membatalkan acara itu. "Sekiranya berlaku penularan akibat kejadian ini, semua penduduk di Bukit Batok dan luarnya, akan menghadapi risiko," katanya.
LANGKAH BERJAGA-JAGA DILAKSANAKAN
Bercakap kepada Mediacorp menerusi panggilan telefon pada Ahad malam, Encik Murali berkata beliau sudah berbincang dengan Encik Ong Chai, Pengerusi Jawatankuasa Penuaan Aktif Bukit Batok, pada petang 7 Mac, sebelum jamuan malam itu bermula kira-kira pukul 7.00 malam di Kelab Masyarakat Bukit Batok.
Beliau telah bertanyakan kepada Encik Ong mengenai langkah berjaga-jaga dan bagaimana kemunculan kelompok penularan SAFRA Jurong akan menjejas keputusan penganjur untuk mengadakan majlis makan malam yang dihadiri oleh lebih 300 orang.
Encik Ong telah meminta sesiapa yang pergi ke majlis makan malam SAFRA Jurong agar tidak menghadiri majlis di Bukit Batok. Beliau juga menyingkatkan acara itu. Ia berakhir pada 9.00 malam dan bukan pada 10.30 malam, kata Encik Murali, yang menghadiri majlis makan malam itu sebagai penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi Bukit Batok.
"Saya faham mengapa beliau meneruskan acara dengan mengurangkan skalanya seperti yang disebutkan," kata Encik Murali.
Dalam catatan Facebook pada Ahad, Encik Ong menggariskan langkah-langkah waspada yang diambil di acara tersebut.
Ini termasuk pemeriksaan wajib suhu badan untuk semua peserta, serta nasihat perjalanan dan kesihatan. Pihak penganjur juga memantau mereka yang tidak sihat untuk menasihati mereka supaya berjumpa doktor dan berehat di rumah.
Para penganjur juga menambah ruang meja makan di kawasan lapang untuk mewujudkan lebih banyak ruang antara kumpulan-kumpulan tersebut. Senduk berasingan disediakan untuk setiap hidangan, kata Encik Ong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.