AP Melayu alu-alukan sokongan jagaan kesihatan yang dimampui
Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan lebih banyak sokongan untuk memastikan jagaan kesihatan kekal dimampui.
SINGAPURA: Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan lebih banyak sokongan untuk memastikan jagaan kesihatan kekal dimampui.
Setengah juta rakyat Singapura yang dilahirkan pada tahun 1950an akan mendapat lebih banyak bantuan di bawah satu skim baru dipanggil Pakej Generasi Merdeka.
Selain itu, sebuah program yang memberi subsidi bagi lawatan ke doktor biasa (GP) akan diluaskan bagi meliputi semua warga tempatan dengan penyakit kronik.
Di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS), rakyat Singapura yang berpendapatan rendah dan pertengahan boleh menerima subsidi sehingga $120 setiap kali mereka berjumpa doktor GP.
PM Lee berkata program itu setakat ini berhasil. Misalnya, pesakit warga tua berjumpa doktor lebih awal untuk mendapatkan rawatan.
Kini, skim itu akan meliputi semua warga tempatan dengan penyakit kronik, tidak kira pendapatan mereka.
PM Lee berkata: "Kami mahu semua warga Singapura mendapat akses bagi penjagaan kesihatan dimampui dan bermutu tinggi. Tiada sesiapa harus dibiarkan tanpa rawatan perubatan^ hanya kerana mereka tidak mampu. Itulah komitmen saya kepada anda."
PM Lee turut menyentuh tentang rangka kerja pembiayaan penjagaan kesihatan negara.
Sedang MediShield Hayat melindungi warga Singapura dari bil perubatan yang tinggi, CareShield Hayat yang baru akan menangani keperluan jagaan jangka panjang bagi kes kurang upaya yang teruk.
Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Dr Fatimah Lateef, berkata ini terutamanya bagi masyarakat Melayu/Islam.
"Statistik kesihatan kita memang tidak sihat. Lebih banyak yang ada penyakit-penyakit kronik yang terpaksa menggunakan wang yang lebih banyak untuk dapatkan rawatan. Jadi dengan pakej ini, ianya dapat membiayai segelintir daripada kos-kos kesihatan mereka," kata beliau.
PM Lee menarik perhatian bahawa penjagaan khas sudah diberikan kepada generasi perintis yang menerima subsidi penjagaan pesakit luar dan pembayaran bagi jagaan jangka panjang.
PM Lee turut mengumumkan bahawa faedah ini akan diperluaskan kepada golongan yang dilahirkan pada 1950-an di bawah pakej Generasi Merdeka.
AP GRC Pasir Ris-Punggol, Zainal Sapari berkata: "Ramai daripada mereka seperti yang dikongsi oleh Perdana Menteri, mereka mungkin sekarang sudah bersara. Perlu bantuan daripada segi kos perubatan, bantuan daripada kos untuk berjumpa doktor, Medishield Hayat."
Sekitar 500,000 rakyat Singapura tergolong dalam Generasi Merdeka dan PM Lee berkata, beliau berbangga menjadi salah seorang daripada mereka.
Bagaimanapun berbanding dengan generasi perintis, generasi itu mampu menyara hidup dan lebih berjimat.
Maka itu, Pakej Generasi Merdeka tidak akan sebesar generasi perintis.
Namun, beliau berharap skim itu akan mengurangkan kebimbangan jagaan kesihatan dan menunjukkan penghargaan negara atas sumbangan mereka.
Lebih banyak perincian mengenai skim tersebut akan diumumkan tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.