Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP Louis Ng tidak akan didakwa kerana pegang poster tanpa permit sebagai sokongan kepada penjaja

Anggaran Waktu Membaca:
AP Louis Ng tidak akan didakwa kerana pegang poster tanpa permit sebagai sokongan kepada penjaja

(Gambar: Louis Ng Kok Kwang/Facebook)

SINGAPURA: Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Louis Ng, tidak akan berdepan tuduhan jenayah kerana memegang poster sebagai menunjukkan sokongan kepada penjaja.

Demikian menurut Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Rabu (5 Okt), sambil menekankan bahawa kes itu berlainan daripada kes aktivis hak awam, Jolovan Wham yang baru-baru ini disabit kesalahan.

Pada Jun 2020, Encik Ng memuat naik catatan Facebook meminta rakyat Singapura supaya menyokong pusat-pusat penjaja di kejiranan mereka sedang negara keluar daripada tempoh pemutus rantaian jangkitan atau 'circuit breaker'.

Catatan itu disertakan dengan lima gambar beliau di pelbagai gerai di Pusat Penjaja Yishun Park. Gambar-gambar tersebut menunjukkan Encik Ng, memegang sekeping kertas yang tertera emoji senyuman dan kata-kata "Support Them" (Sokong Mereka).

Polis pada Mac tahun lalu menyatakan pihaknya sedang menyiasat insiden itu selepas laman sosio politik The Online Citizen mempersoalkan sama ada Encik Ng sudah memperoleh permit perhimpunan awam sebelum mengambil gambar tersebut.

AGC pada Rabu menyatakan siasatan polis sudah selesai. Ia sudah mengarahkan polis supaya tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Encik Ng di bawah Akta Ketenteraman Awam, yang menganggap tunjuk perasaan atau perhimpunan tanpa permit sebagai satu jenayah, menurut laporan yang dibuat The Straits Times.

Dalam kenyataan kepada Mediacorp, AGC menyatakan: "Siasatan mendedahkan bahawa Encik Ng ketika itu sedang menjalankan tugasnya sebagai Anggota Parlimen, dengan menzahirkan keprihatinan dan sokongan kepada kebajikan para penjaja di kawasan undi beliau semasa pandemik COVID-19."

Ia menambah perbuatan dan niat seseorang yang melakukannya adalah pertimbangan utama semasa memutuskan sama ada jenayah sudah dilakukan atau sama ada terdapat kepentingan awam dalam pendakwaan terhadap jenayah itu.

Laman The Online Citizen membandingkan tindakan Encik Ng dengan Encik Wham, yang didakwa setelah dia memegang kadbod yang tertera emoji senyuman berdekatan Balai Polis Kejiranan Toa Payoh pada Mac 2020.

Encik Wham, yang memuat naik gambar-gambar dirinya memegang kadbod tersebut, menerusi dokumen mahkamah dipercayai menunjukkan sokongan kepada seorang aktivis belia sekitaran.

Encik Wham dilepaskan yang membawa kepada dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Dia baru-baru ini memilih dipenjara 15 hari dan tidak membayar denda S$3,000 bagi satu kes berasingan kerana memegang sekeping kertas di luar Mahkamah Negara pada 2018. Kertas itu tertera: "Drop the charges against Terry Xu and Daniel De Costa". (Lepaskan pertuduhan terhadap Terry Xu dan Daniel De Costa)

AGC pada Rabu menekankan bahawa Encik Wham didakwa dan disabit atas kesalahan berhimpun di luar Mahkamah Negara kerana dia menunjuk perasaan di kawasan larangan.

"Encik Wham tidak menawarkan sebarang pembelaan atas pertuduhan tersebut. Fakta kes melibatkan Encik Jolovan Wham berbeza daripada kes melibatkan Encik Louis Ng," menurut AGC.

Encik Ng sebelum ini berkata beliau memuat naik gambar dirinya dengan para penjaja selepas bertemu penduduk, yang mana ia sangat penting kerana Singapura baru sahaja keluar daripada langkah pemutus rantaian jangkitan.

Di bawah Akta Ketenteraman Awam, menganjurkan atau menyertai perhimpunan awam tanpa permit polis dilarang. Sesiapa yang disabit kesalahan mengadakan perhimpunan awam tanpa permit boleh dikenakan denda sehingga S$5,000.
Sumber : Today/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan