Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP Louis Ng gesa Pemerintah tambah Cuti Penjagaan Anak

Menggesa Pemerintah supaya menambah cuti penjagaan anak untuk ibu bapa di Singapura, Encik Louis Ng berkata pada Khamis (27 Feb) bahawa peruntukan sedia ada "tidak munasabah".

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Feb 2020 06:58PM Dikemas Kini : 27 Feb 2020 10:02PM

SINGAPURA: Menggesa Pemerintah supaya menambah cuti penjagaan anak untuk ibu bapa di Singapura, Encik Louis Ng berkata pada Khamis (27 Feb) bahawa peruntukan sedia ada "tidak munasabah".

Anggota Parlimen GRC Nee Soon itu turut menarik perhatian bahawa sudah lebih sedekad sejak peruntukan cuti penjagaan anak ditambah dan "sudah tiba masanya untuk menyemak semula hal ini".

Buat masa ini, ibu bapa yang bekerja dengan sekurang-kurangnya seorang anak warga Singapura yang berusia bawah tujuh tahun boleh mengambil hingga enam hari cuti penjagaan anak setiap tahun.

Encik Ng turut mempersoalkan sama ada peruntukan ini mencukupi, memandangkan kebanyakan pusat jagaan kanak-kanak di Singapura ditutup selama enam hari setiap tahun dan kebanyakan ibu bapa mungkin terpaksa menggunakan sehingga kesemua enam hari cuti itu apabila pusat-pusat jagaan kanak-kanak ditutup.

"Apa yang akan berlaku jika anak anda jatuh sakit atau berlaku perkara lain yang memerlukan cuti seumpama itu?" tanya beliau.

Bercakap pada hari kedua perbahasan Belanjawan, Encik Ng meminta Pemerintah memperkenalkan cuti menjaga anak yang sakit dan memberikan cuti sakit ini berdasarkan jumlah anak. Ibu bapa boleh memohon cuti ini hanya dengan sijil perubatan.

"Sudah tentu, kita semua di sini boleh bersetuju bahawa jika anda memerlukan enam hari cuti penjagaan anak untuk seorang anak, anda juga tidak mungkin hanya memerlukan enam hari cuti penjagaan anak untuk dua, atau tiga atau empat orang anak."

Merujuk kepada bagaimana pegawai perkhidmatan awam sudahpun diberi cuti tambahan, selain enam hari cuti penjagaan anak setiap tahun, Encik Ng meminta peruntukan yang sama untuk sektor swasta.

Menggunakan contoh Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), yang dijangkiti 90 peratus kanak-kanak sebelum mereka mencecah usia 12 tahun, Encik Ng berkata adalah sangat sukar bagi ibu bapa untuk mencari bantuan menjaga anak-anak yang sakit kerana jangkitannya boleh berlarutan selama lebih dua minggu.

Beliau juga berkata majikan pasti tidak mahu pekerja yang menjaga anak-anak mereka yang sakit kembali bekerja dan merebakkan penyakit ini kepada rakan-rakan kerja mereka.

"Jika kita mahu rakyat Singapura mempunyai anak dan mempunyai lebih banyak anak, maka kita perlu memberi mereka masa untuk menjaga dan meluangkan masa bersama anak-anak mereka. Ia bukan sekadar menjadikan prasekolah lebih dimampui," kata Encik Ng.

Sebelum menyampaikan ucapannya, Encik Ng juga memfailkan soalan bagi menanyakan jika Pemerintah akan menimbangkan untuk membenarkan cuti bapa digunakan dalam masa 24 bulan selepas anak dilahirkan dan bukan dalam tempoh 12 bulan seperti sedia ada.

Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo, yang menyelia Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional di bawah Pejabat Perdana Menteri, berkata tidak ada sebab untuk melanjutkan tempoh hingga 24 bulan kerana dasar itu sejajar dengan amalan antarabangsa.

CUTI PENJAGAAN IBU BAPA

Selain menggesa lebih banyak cuti penjagaan anak, Encik Ng juga meminta cuti penjagaan ibu bapa diwajibkan, memandangkan penduduk Singapura semakin menua.

Beliau mengulangi gesaan untuk menyamaratakan cuti penjagaan ibu bapa antara sektor awam dan privet. Pejawat awam dibenarkan mengambil sehingga dua hari cuti untuk menjaga ibu bapa mereka, namun peruntukan itu tidak disediakan dalam sektor privet.

"Sudah lapan tahun sejak kita memperkenalkan cuti penjagaan ibu bapa dalam perkhidmatan awam dan sudah tiba masanya untuk semua orang memanfaatkannya. Kita perlu mewajibkannya," katanya.

Walaupun beliau menyedari bahawa usaha sudah dilakukan untuk menggalak majikan supaya mendakapi Piawai Tiga Pihak mengenai Cuti Tanpa Gaji Untuk Keperluan Jagaan Luar Jangkaan, beliau menegaskan bahawa cuti yang diluluskan di bawah garis panduan ini adalah cuti tanpa gaji.

"Mengapa pegawai awam boleh mendapatkan cuti bergaji untuk menjaga ibu bapa, manakala yang lain perlu mengambil cuti tanpa gaji? Sekali lagi (saya tekankan), bolehkah kita menyamaratakan kedua-dua sektor ini?"

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan