Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP Leong Mun Wai mohon maaf di Parlimen atas komen 'persoal' Speaker, proses Parlimen

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai (PSP) memohon maaf pada petang Selasa (8 Mac) berhubung satu catatan dan komen di Facebook yang menuduh Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin tidak membenarkannya berucap di Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
AP Leong Mun Wai mohon maaf di Parlimen atas komen 'persoal' Speaker, proses Parlimen

AP Leong Mun Wai semasa berucap di Parlimen pada 4 Mac 2022.

SINGAPURA: Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai (PSP) memohon maaf pada petang Selasa (8 Mac) berhubung satu catatan dan komen di Facebook yang menuduh Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin tidak membenarkannya berucap di Parlimen.

Encik Leong juga sudah memadam catatan dan komen itu atas permintaan Timbalan Ketua Dewan Zaqy Mohamad.

Di akhir sidang Parlimen pada Selasa, Encik Leong memberikan penjelasan peribadi bagi menerangkan mengapa beliau menulis komen dan memuat naik catatan tersebut di Facebook.

Encik Leong berkata bahawa semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan bagi Kementerian Tenaga Manusia (MOM), beliau berharap dapat bertanya kepada Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng mengenai "satu perkara yang sangat penting" tentang "golongan PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen) warga Singapura yang hilang pekerjaan".

"Ia bukan niat saya untuk mempersoalkan Speaker atau proses Parlimen namun dalam catatan media sosial saya, saya cuba menarik perhatian kepada sedikit budi bicara dan kelonggaran terhadap aturan dewan yang saya berharap akan dapat mempertingkatkan perbincangan dalam Dewan ini," katanya.

Encik Leong meminta maaf dengan mengatakan: "Hari ini, saya ingin memohon maaf secara tulus dan ikhlas kepada Speaker dan Dewan atas komen Facebook saya yang dibuat pada pukul 12.52 tengah hari dan pukul 12.53 tengah hari pada 7 Mac 2022 dan video yang saya muat naik pada pukul 6.55 petang pada 7 Mac 2022, dan kenyataan yang mempersoalkan Speaker dan proses Parlimen."

Encik Leong menambah bahawa beliau sudah memadamkan catatan itu pada pukul 5.30 petang tadi, menarik balik apa yang dikatakan dalam catatan itu dan berjanji "tidak akan mengulangi kata-kata sedemikian."

"Saya mengaku bahawa saya tidak menyatakan semua fakta dalam catatan saya dan justeru ia memberi tanggapan yang mengelirukan," katanya.

Encik Leong turut mengesahkan bahawa beliau akan memuat naik pernyataan maaf itu ke laman Facebooknya.

Selepas Encik Leong memohon maaf, Encik Zaqy berkata Parlimen menetapkan prosedur-prosedur dan amalan-amalan untuk membimbing para Anggota Parlimen semasa membahaskan isu-isu penting yang menjejas Singapura dan rakyat Singapura dengan cara yang "cekap dan berkesan".

Beliau turut menarik perhatian bahawa sesetengah bidang kuasa, terdapat contoh di mana peraturan prosedur sedemikian digunakan untuk mencegah atau menghambat pemerintah daripada melaksanakan tugasnya dengan betul.

"Ia bertentangan sama sekali dengan kepentingan kita jika hal ini berlaku di Dewan.

"Peraturan ini ditetapkan dan diperhalusi sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini dan ia berhasil dalam memastikan isu-isu yang penting bagi kita dapat dibentangkan di Dewan dan dibahaskan dengan menyeluruh atau membolehkan urusan diselesaikan tanpa dilengah-lengahkan," katanya.

Beliau menambah bahawa semua AP "memainkan peranan dalam memastikan perbahasan menyeluruh" boleh dilaksanakan di Parlimen dan ia "kekal sebagai sebuah institusi yang dihormati dan diyakini".

Beliau mengakhiri ulasannya dengan berkata bahawa beliau menerima permohonan maaf daripada Encik Leong.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan