Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP kontak rapat kes COVID-19 tetapi diuji negatif, akan sampaikan ucapan di tingkat berasingan: Tan Chuan-Jin

Anggota Parlimen (AP) yang merupakan kontak rapat kes COVID-19 tetapi diuji negatif menggunakan ujian pantas antigen (ART) akan menyampaikan ucapan mereka di tingkat berasingan, kata Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin pada Isnin (7 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) yang merupakan kontak rapat kes COVID-19 tetapi diuji negatif menggunakan ujian pantas antigen (ART) akan menyampaikan ucapan mereka di tingkat berasingan, kata Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin pada Isnin (7 Mac).

"Langkah berjaga-jaga dipertingkat" kepada langkah pengurusan selamat sedia ada itu akan menyaksikan AP sedemikian berucap dari galeri tambahan di Aras 3 Parlimen mulai Isnin.

"Ini adalah aturan yang sama dilaksanakan pada awal pandemik COVID-19 di mana AP mengambil bahagian dari tempat duduk di galeri tambahan.
Meskipun keadaan COVID-19 hari ini tidak sama, kami akan mengekalkan kewaspadaan," kata Encik Tan.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah meningkatnya jumlah AP yang diuji positif COVID-19. Mereka termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah, Pengerusi Parti Pekerja Sylvia Lim, Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan, dan AP Carrie Tan (PAP - Nee Soon), Alex Yam (PAP - Marsiling-Yew Tee), Cheng Li Hui (PAP - Tampines) dan Gan Thiam Poh (PAP - Ang Mo Kio).

Anggota Parlimen Parti Pekerja dari GRC Sengkang Louis Chua dan He Ting Ru juga tidak hadir di Parlimen minggu lalu kerana menjalani pengasingan diri kerana terdedah kepada COVID-19.

AP lain yang dijangkiti virus itu sebelum ini termasuk Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, Menteri Negara Pembangunan Negara Tan Kiat How dan Setiausaha Parlimen Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Eric Chua.

Protokol kesihatan sedia ada membolehkan Anggota Parlimen itu meninggalkan rumah mereka dan datang ke sidang Parlimen. Langkah-langkah pengurusan selamat kekal dilaksanakan di dewan Parlimen untuk melindungi kesejahteraan anggota dan pelawat, kata Encik Tan.

"Orang ramai yang ingin mengikuti prosiding di Dewan Parlimen kini akan berbuat demikian melalui tayangan langsung di auditorium. Mereka juga boleh melakukannya menerusi penstriman langsung prosiding parlimen," tambah Encik Tan.

"Mari kita terus melaksanakan tanggungjawab peribadi dengan memantau kesihatan kita dengan teliti dan mematuhi rejim ujian yang sewajarnya. Dengan berbuat demikian, keselamatan dan kesejahteraan semua orang kekal diutamakan semasa kita meneruskan prosiding parlimen."

Sumber : CNA/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan