AP Jeffrey Siow akui dipertimbang bagi barisan Kabinet baharu
Anggota Parlimen penggal pertama bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Chua Chu Kang, Jeffrey Siow berkata, Perdana Menteri Lawrence Wong sudah berbincang dengan beliau dan beberapa individu lain yang dipertimbangkan untuk menyertai barisan Kabinet baharu.
Namun, Encik Siow tidak mendedahkan jawatan politik apa yang dipertimbangkan untuknya, sambil menarik perhatian bahawa perkara tersebut masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata demikian kepada para wartawan semasa acara pesta kemampanan tahunan di daerah Brickland.
"Saya salah seorang individu yang beliau sudah temui. Saya fikir ada perkara yang masih belum dimuktamadkan, jadi kita harus memberi sedikit masa," kata Encik Siow.
"Ini keputusan penting bagi PM membentuk pasukannya. Tetapi dalam perbincangan yang sudah diadakan, saya sangat berbesar hati bahawa beliau tahu tentang pengalaman dan kemahiran saya. Beliau tahu apa yang boleh saya sumbangkan kepada pasukannya," tambahnya.
Encik Siow ialah pegawai perkhidmatan awam paling kanan yang melepaskan jawatannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Sebelum ini, beliau adalah Setiausaha Tetap Kedua Kementerian Tenaga Manusia merangkap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan.
Semasa tempoh kempen pilihan raya, PM Wong menamakan Encik Siow sebagai salah seorang muka baharu yang dipersiapkan bagi menggalas peranan kepimpinan.
Turut hadir di acara di Brickland itu ialah ketua pasukan GRC Chua Chu Kang, Dr Tan See Leng, serta Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Encik Siow berkata, memandangkan GRC itu kini termasuk estet Tengah, pasukannya sedang membincangkan kepimpinan baharu bagi majlis bandarannya.
GRC Chua Chu Kang sekarang mempunyai seramai 93,000 penduduk.
Namun, ia dijangka menjadi lebih besar iaitu sehingga lebih 150,000 penduduk dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang ekoran estet baharu Tengah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.