Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP GRC West Coast pertingkat usaha pastikan 'tiada jurang dalam khidmat' selepas ketiadaan Iswaran: Desmond Lee

Anggaran Waktu Membaca:
AP GRC West Coast pertingkat usaha pastikan 'tiada jurang dalam khidmat' selepas ketiadaan Iswaran: Desmond Lee

Gambar: Wallace Woon/CNA

Diterbitkan : 16 Jan 2025 09:17PM Dikemas Kini : 16 Jan 2025 09:44PM
SINGAPURA: Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast mungkin kehilangan seorang Anggota Parlimen (AP), tetapi AP yang lain sudah mengorak langkah untuk memastikan "tiada jurang dalam perkhidmatan" mereka kepada para penduduk, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

Bercakap dalam satu wawancara bersama rakan media awal minggu ini, Encik Lee memberi jaminan bahawa situasi di kawasan undi tersebut sudah menjadi stabil menyusuli peletakan jawatan mantan Menteri Pengangkutan dan AP West Coast S Iswaran.

"Mereka yang bimbang tentang apa yang telah berlaku kini telah menyaksikan proses itu berjalan dengan sendirinya," katanya.

"(Mereka) yang bimbang tentang kekosongan perkhidmatan di kawasan itu, saya percaya, telah melihat kami berada di lapangan tersebut ... telah melihat kami melakukan lawatan temui penduduk, telah melihat kami melakukan jangkauan dan pendampingan yang proaktif," tambahnya.

"Jadi, saya fikir bahawa atas sebab itu, kami telah meningkatkan usaha... tetapi hakikatnya, ia terpulang kepada rakyat Singapura untuk membuat keputusan, dan ini adalah sesuatu yang kami hormati sepenuhnya."

Iswaran dijatuhi hukuman penjara selama setahun kerana memperolehi hadiah bernilai S$403,300 (AS$295,000) daripada dua ahli perniagaan yang dianggap sebagai rakannya. Diberkas oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Julai 2023, beliau meletak jawatan daripada parlimen dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) enam bulan kemudian.

Beliau merupakan seorang sosok penting dan salah satu menteri utama dalam GRC tersebut, di mana beliau telah berkhidmat sebagai AP sejak 1997.

Encik Lee akur bahawa situasi tersebut "sungguh malang" tetapi menekankan bahawa ia mencerminkan ketelusan dan akauntabiliti yang dipegang oleh pemerintah PAP.

Anggota Parlimen lain telah mengambil langkah untuk memastikan para penduduk di bahagian West Coast, yang sebelum ini turut dianggotai Iswaran, terus menerima sokongan yang diperlukan. Encik Lee menarik perhatian bahawa beliau telahpun memberi tumpuan kepada isu seperti kos sara hidup dan menangani keperluan tempatan melalui program-program sosial dan komuniti.

"Sebahagian daripada menjaga keperluan penduduk ialah membina hubungan dengan mereka dan saling mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik," kata Encik Lee.

"Jalinan hubungan itulah yang memberi jaminan kepada orang ramai bahawa jika saya mempunyai masalah, seseorang akan dapat mendengar saya dan menangani beberapa isu ini."

Semasa Pilihan Raya Umum 2020, PAP menang tipis di GRC West Coast dengan 51.69 peratus undi apabila menentang Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang dipimpin mantan AP PAP Tan Cheng Bock.

Dr Tan menyuarakan harapan agar pemergian Iswaran akan meningkatkan peluang partinya dalam pilihan raya akan datang, yang harus diadakan pada November ini.

PERUMAHAN: TOPIK HANGAT JELANG PILIHAN RAYA

Sebagai Menteri Pembangunan Negara, Encik Lee menyelia portfolio perumahan Singapura, yang menjadi tumpuan menjelang setiap pilihan raya. Semasa wawancara itu, beliau membincangkan "peranannya yang tidak dicemburui" sebagai penolong setiausaha agung PAP dan sasaran kritikan pembangkang mengenai dasar perumahan.

Beliau berkata perumahan akan sentiasa menjadi isu utama bagi rakyat Singapura, dan apabila ia beralih kepada "pempolitikan isu-isu seperti ini", adalah penting untuk "menetapkan apa yang telah dilakukan, trajektori, program, hasil" dan untuk mengingati bahawa pasaran hartanah bergerak dalam kitaran.

Beliau menekankan pentingnya menyelaraskan dasar perumahan dengan kitaran ekonomi dan bukannya pertimbangan politik.

Encik Lee menyatakan bahawa pemerintah memulakan penggal ini sambil bergelut dengan cabaran besar berhubung bekalan, permintaan dan kemampuan perumahan akibat pandemik COVID-19. Gangguan pembinaan, kekurangan bahan dan kekangan buruh membawa kepada kelengahan dalam flat Bina Ikut Tempahan (BTO), manakala peralihan demografi dan faktor-faktor berkait pandemik mendorong permintaan yang meningkat.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan