Skip to main content

Singapura

AP gesa individu dengan ketidakupayaan kurang kelihatan diserta dalam undang-undang antidiskriminasi di tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:
AP gesa individu dengan ketidakupayaan kurang kelihatan diserta dalam undang-undang antidiskriminasi di tempat kerja

Gambar hiasan: AP

Diterbitkan : 08 Jan 2025 07:50AM Dikemas Kini : 20 Jan 2025 04:54PM
SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) pada Selasa (7 Jan) membahaskan mengenai satu undang-undang antidiskriminasi di tempat kerja dan menyokongnya. Namun, mereka menyeru agar beberapa kumpulan seperti pekerja platform dan mereka yang mempunyai ketidakupayaan yang kurang kelihatan, untuk dilindungi.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng membentangkan Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja (WFL) pada November 2024, dan pada Selasa, ia diketengahkan di Parlimen untuk bacaan kedua.

Beliau berkata meskipun tinjauan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menunjukkan kemerosotan dalam diskriminasi di tempat kerja sejak beberapa tahun lalu, ia tidak sepatutnya dipandang remeh.

"Rang Undang-Undang di Keadilan di Tempat Kerja justeru, dilakarkan untuk mempertingkatkan perlindungan terhadap diskriminasi di tempat kerja, sambil memelihara norma-norma keadilan dan keharmonian yang diamalkan di tempat kerja."

Ini merupakan yang pertama daripada dua Rang Undang-Undang yang dibentangkan mengenai keadilan di tempat kerja. Rang undang-undang kedua mengenai proses untuk individu membuat tuntutan persendirian, akan dibentangkan kemudian.

Jika kedua-dua rang undang-undang diluluskan, rang undang-undang itu mungkin berkuat kuasa pada 2026 atau 2027.

Seramai 15 AP tampil untuk berucap semasa perbahasan tersebut. Ia akan disambung pada Rabu, di mana Dr Tan dijangka akan menyentuh tentang kebimbangan yang dibangkitkan oleh AP.

Ketua Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang Pritam Singh, yang pertama bercakap dalam perbahasan itu, berkata semangat undang-undang antidiskriminasi "jauh lebih banyak" daripada sekadar menyokong dan membantu para pekerja.

"Rang Undang-Undang ini menghantar mesej asas dan kuat," ujarnya.

"Ia menyentuh mengenai bagaimana negara menangani kedudukan rakyat Singapura di tempat kerja di tanah air. Ia mengetengahkan bagaimana negara mengiktiraf berbilang kaum, terutamanya apabila kaum minoriti membentuk kira-kira 25 peratus daripada jumlah penduduk."

Beliau menyifatkan Rang Undang-Undang itu sebagai satu "isyarat jelas" memandangkan sesetengah rakyat Singapura takut menjadi warganegara kelas kedua di negara mereka sendiri dan percaya bahawa warga asing mempunyai prospek pekerjaan yang lebih baik.

MENGAPA RANG UNDANG-UNDANG TIDAK MELIPUTI SEMUA DISKRIMINASI

Encik Singh dan beberapa anggota Parlimen lain juga menarik perhatian bahawa terdapat pengecualian tertentu kepada Rang Undang-Undang itu, yang hanya meliputi senarai "ciri-ciri yang dilindungi".

Buat masa ini, Rang Undang-Undang itu merangkumi lima bidang ciri-ciri yang dilindungi di mana terdapat "konsensus masyarakat yang luas", kata Dr Tan. Bidang-bidang tumpuan itu menyumbang lebih daripada 95 peratus daripada aduan diskriminasi yang diterima oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) dan MOM, katanya.

Ini termasuk umur dan kerakyatan - dua punca utama diskriminasi yang dilaporkan. Kategori ketiga termasuk jantina, status perkahwinan, status kehamilan dan tanggungjawab penjagaan; yang keempat meliputi ciri-ciri kaum, agama dan keupayaan bahasa; dan yang terakhir merangkumi ketidakupayaan dan keadaan kesihatan mental.

Encik Louis Chua (WP-Sengkang) mengkritik Rang Undang-Undang itu kerana menghadkan undang-undang kepada ciri-ciri tertentu sahaja.

"Bagaimana kita boleh dengan yakin mengatakan bahawa diskriminasi di tempat kerja dalam apa jua bentuk tidak boleh diterima, tetapi beberapa bentuk diskriminasi adalah sah manakala yang lain tidak?" tanya beliau, sambil menekankan beberapa jenis diskriminasi yang tidak akan dilindungi, seperti yang tertakluk kepada keadaan perubatan fizikal.

Cik Denise Phua (PAP-Jalan Besar) PULA menggesa peluasan dalam takrifan ketidakupayaan dalam Rang Undang-Undang itu, yang kini meliputi autisme, ketidakupayaan intelektual, ketidakupayaan fizikal dan ketidakupayaan deria. Ini tidak termasuk individu yang mengalami ketidakupayaan pembelajaran seperti disleksia dan gangguan hiperaktif defisit perhatian (ADHD), dan keadaan seperti 'cerebral palsy' dan sebilangan sclerosis, katanya.

RANG UNDANG-UNDANG UTAMAKAN RAKYAT TEMPATAN

Rakyat asing adalah "komponen pelengkap penting" dalam banyak sektor ekonomi Singapura, dan Encik Singh berkata Rang Undang-Undang itu dengan wajar menawarkan perlindungan yang luas dan penting kepada mereka. Namun, jelas bahawa majikan harus menyasarkan untuk merekrut penduduk tempatan terlebih dahulu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita