AP gesa golongan mudah terjejas dilindungi dengan lebih baik, adakan perbincangan politik lebih kukuh
SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) pada Selasa (18 Apr) menyeru agar perbincangan politik dikukuhkan lagi dan menyentuh tentang keperluan untuk melindungi golongan masyarakat yang mudah terjejas pada hari kedua perbahasan berhubung Ucapan Presiden.
Perbahasan selama seminggu itu menyusuli Ucapan Presiden Halimah Yacob yang dibentangkan pada 10 April dan menggariskan agenda bagi separuh kedua penggal pemerintah.
Ucapan itu menarik perhatian kepada empat tema utama: Meluaskan peluang sepanjang hayat bagi setiap rakyat, memperkukuhkan jaring keselamatan sosial, membangunkan bandar bijak yang boleh didiami dan mendalami identiti dan tanggungjawab rakyat Singapura.
Menyusuli gesaan Presiden agar masyarakat sivil lebih bersemangat, Pengerusi Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim menekankan peri perlunya untuk melibatkan belia dalam pelbagai isu, selain perubahan iklim, kesihatan mental dan diskriminasi.
Mereka turut peka tentang sejauh mana harga perumahan awam boleh dimampui, kos sara hidup dan pekerjaan, kata Cik Lim.
"Kita harus berjaga-jaga agar tidak menyenaraikan segelintir isu sebagai isu-isu belia dan hanya mendampingi mereka tentang isu-isu tersebut," katanya.
"Ia akan menghampakan belia kita."
Dalam ucapannya, AP Leon Perera (WP-Aljunied) berkata, perbezaan pendapat tidak seharusnya dianggap sebagai "serupa dengan polarisasi".
"Dalam perbincangan politik dan perbahasan di Parlimen, kita harus bersikap adil kepada pendapat ahli dan parti lain, dan menerima sekiranya terdapat perbezaan falsafah atau ideologi dan tidak pantas melabel pihak lain sebagai tidak benar," katanya.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata di Parlimen pada Isnin (7 Apr) bahawa pihak pembangkang harus mengusulkan alternatif konkrit untuk meningkatkan pendapatan dan "bukan idea yang oportunistik atau populis sahaja" untuk menghakis kepercayaan kepada pemerintah.
Semasa membalas komen Encik Wong, Encik Perera pada Selasa berkata, WP sudah lama melakukan seperti apa yang dikatakan Encik Wong. Beliau merujuk kepada saranan parti itu seperti alternatif kepada kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mengurangkan harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO) berdasarkan penyesuaian formula penilaian tanah.
MELINDUNGI GOLONGAN MASYARAKAT MUDAH TERJEJAS
Para AP pada Selasa turut menyentuh tentang melindungi golongan masyarakat yang mudah terjejas, seperti warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan bagi kesihatan mental mereka.
Di tengah-tengah penduduk yang menua dan keluarga perlu menjaga anak kecil dan warga emas, Cik Jessica Tan (PAP-East Coast) menyeru agar sokongan bagi penjaga disemak semula.
Beliau menarik perhatian, bahawa "kriteria kelayakan menerusi ujian kemampuan" bagi sokongan penjagaan buat rakyat Singapura berpendapatan sederhana mungkin tidak berkesan bagi sesetengah keluarga berpendapatan sederhana yang menjaga anak-anak, ibu bapa dan sanak-saudara mereka.
Dr Wan Rizal (PAP-Jalan Besar) yang dikenali kerana memperjuangkan isu-isu kesihatan mental di parlimen, kemudian menggariskan beberapa saranan untuk memperbaiki kesihatan mental di Singapura.
Beliau mencadangkan untuk meningkatkan akses kepada khidmat kesihatan mental di estet perumahan, sambil mengurangkan kos dan tempoh menunggu melalui subsidi pemerintah.
Dr Wan Rizal yang juga merupakan seorang pensyarah di Politeknik Republik, menyarankan agar kakitangan tertentu di sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) dilengkapi dengan kemahiran dan sumber yang diperlukan untuk mengenal pasti dan membantu pelajar-pelajar berisiko mengalami isu kesihatan mental.
Encik Don Wee (PAP-Choa Chu Kang) menggesa agar pemerintah bekerjasama dengan syarikat insurans untuk meningkatkan akses kepada insurans bagi golongan autistik dan menyeru agar sokongan lebih baik diberikan kepada keluarga-keluarga yang mempunyai anak-anak autistik.
Sementara itu, Encik Christopher de Souza (PAP-Holland-Bukit Timah) menyentuh tentang pentingnya untuk melindungi golongan mudah terjejas daripada skim penipuan - salah satu cabaran yang berleluasa di dunia baru - dan menyarankan untuk menguatkuasakan langkah "serta merta menyekat urus niaga" bagi akaun bank dan perlindungan lebih baik buat e-dompet.
Beliau turut mengusulkan agar perlindungan dan pampasan lebih baik diberikan kepada mereka yang kerugian tabungan hayat mereka, seperti warga emas yang kehilangan beratus ribu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.