Skip to main content

Singapura

AP bincang meritokrasi dan pekerjaan bagi lulusan baharu SG

Anggaran Waktu Membaca:
AP bincang meritokrasi dan pekerjaan bagi lulusan baharu SG

Dari kiri atas: NCMP Andre Low, dan AP Shawn Loh, Mariam Jaafar dan Fadli Fawzi berucap di parlimen pada 23 September 2025.

SINGAPURA: Beberapa Anggota Parlimen (AP) menyuarakan kebimbangan tentang peluang pekerjaan untuk lulusan muda, kesan kecerdasan buatan (AI) yang berubah-ubah, dan keadilan sistem meritokrasi, sedang perbahasan mengenai Ucapan Presiden memasuki hari kedua di parlimen.

Seramai 18 AP dari kedua-dua pihak - termasuk pemegang jawatan politik - mengambil bahagian dalam perbahasan lebih enam jam pada Selasa (23 Sep).

Dalam ucapannya pada 5 September, Presiden Tharman Shanmugaratnam menyeru agar diterapkan pemikiran “masyarakat diutamakan bukan individu” dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Beliau juga menggesa pelaburan berterusan dalam pembangunan kanak-kanak, laluan kerjaya yang lebih kukuh bagi pekerja, dan sokongan lebih besar kepada keluarga berpendapatan rendah.

Beliau turut menekankan bahawa kepercayaan yang terbina hasil kerjasama antara pemerintah, majikan dan kesatuan sekerja selama ini akan membantu Singapura mendakapi teknologi baharu seperti AI sambil mengurangkan gangguan terhadap tenaga kerja.

MERITOKRASI SEBAGAI “PRINSIP KEADILAN”

AP Mariam Jaafar (PAP-Sembawang), yang menyentuh mengenai isu ketidaksamaan, menggambarkan lingkaran kekurangan sebagai sesuatu yang “kejam” dan menggesa Singapura untuk memecahkan lingkaran ini.

Beliau mengusulkan tiga laluan: melalui pendidikan, kesihatan, dan kerjaya.

Di akhir ucapannya, Cik Mariam juga membidas AP Fadli Fawzi (WP-Aljunied), dengan mengatakan bahawa beliau menggambarkan meritokrasi sebagai “merosakkan” dan sebagai satu “kepercayaan ideologi untuk mewajarkan ketidaksamaan dan nasib mereka yang ketinggalan.”

“Meritokrasi di Singapura bukan satu ideologi; ia adalah prinsip keadilan. Bahayanya bukan pada mengamalkan meritokrasi, tetapi jika kita meminggirkannya - apabila kejayaan bergantung bukan kepada usaha atau bakat, tetapi pada hubungan dan hak istimewa, ia tidak menggambarkan 'masyarakat diutamakan bukan individu’. Itu masyarakat 'sebilangan individu dahulu’,” kata Cik Mariam.

Beliau berkata sistem ini masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan dan adalah satu sistem yang progresif.

“Dan walaupun kita mesti terus memperbaiki sistem ini, saya berharap kita ingat bahawa saya dan Fadli sendiri meraih manfaat daripada sistem meritokrasi Singapura.

"Sistem inilah yang membolehkan kami - anak-anak dari keluarga biasa - untuk belajar, bekerja dan kini berkhidmat dalam Dewan ini,” kata beliau, sambil menambah bahawa tidak perlu untuk “merendah-rendahkan” atau “menolak” sistem tersebut.

Dalam responsnya, Encik Fadli berkata Cik Mariam salah tafsir ucapannya dan beliau tidak menggesa untuk meminggirkan meritokrasi.

“Apa yang saya katakan ialah apabila meritokrasi dibawa ke tahap melampau - ia boleh melemahkan perpaduan kita dengan golongan rentan. Dan saya rasa dalam ucapannya (Cik Mariam) sendiri … beliau turut memberikan banyak contoh mengenai mereka yang terlepas daripada jaringan keselamatan. Dan saya rasa akhirnya, merekalah yang … kami berdua memperjuangkan,” katanya.

Cik Mariam membalas dengan mengatakan bahawa meritokrasi ke tahap melampau itulah “masalahnya” dalam hujah Encik Fadli.

Beliau berkata Singapura tidak mengamalkan meritokrasi secara ekstrem, sebaliknya menyesuaikan dan mengamalkannya secara pragmatik.

KESAN AI

Beberapa AP meneruskan perbahasan pada Isnin mengenai bagaimana AI merubah landskap pasaran buruh.

AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Andre Low (WP), mencadangkan skim “insurans pengangguran bagi era AI” sebagai tambahan kepada Skim Bantuan Pencari Kerja yang sedia ada.

Berdasarkan cadangan beliau, pekerja yang terkesan akan menerima 40 peratus daripada gaji terakhir mereka - dihadkan kepada 40 peratus daripada pendapatan median semasa - untuk tempoh maksimum enam bulan.

Skim itu akan dibiayai “sumbangan kecil dan sama rata” daripada majikan dan pekerja, dengan kadar 0.1 peratus daripada gaji bulanan, ia akan berjumlah lebih daripada S$5 sebulan bagi penerima gaji median, dengan separuh daripada jumlah itu ditanggung oleh pekerja.

Encik Shawn Loh (PAP-Jalan Besar) berkata beliau menyokong niat cadangan itu tetapi mempersoalkan sama ada jumlah anggaran itu mencukupi.

Menurutnya, skim itu akan mengutip S$150 juta setahun daripada 2.5 juta pekerja, sedangkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sudah memperuntukkan S$200 juta hanya untuk Skim Bantuan Pencari Kerja.

Encik Low menjawab bahawa Skim Bantuan Pencari Kerja “tidak merangkumi penerima gaji median,” memandangkan salah satu syarat kelayakan adalah gaji bulanan tidak melebihi S$5,000.

Beliau menambah bahawa model insurans pengangguran itu akan meningkatkan rizab dari semasa ke semasa dan lebih mampan dari segi fiskal berbanding skim yang dibiayai terus oleh pembayar cukai.

Automasi yang dipercepatkan oleh AI juga dikritik oleh Cik Denise Phua (PAP-Jalan Besar).

Beliau berkata mereka yang kurang celik digital berisiko tersisih apabila lebih banyak urus niaga dan saluran komunikasi berpindah ke platform online.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita