Skip to main content

Singapura

AP baharu Hazlina Halim & Dr Syed Harun mahu tingkatkan akses bagi MPS untuk warga emas, individu kurang upaya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para Anggota Parlimen baharu sudah mula mengendalikan Sesi Bertemu Rakyat (MPS) dengan cara mereka sendiri berbekalkan pengalaman dan personaliti masing-masing.

Antaranya ialah Cik Hazlina Abdul Halim yang mahu melakarkan inisiatif baharu iaitu 'MPS bergerak' untuk mendekati lebih ramai penduduk terutamanya warga emas.

"Salah satu skim yang akan kami cuba ialah sedang saya mengadakan sesi bertemu rakyat di cawangan kami, kami akan merintis satu inisiatif di mana sukarelawan kami yang akan pergi kepada penduduk kami, mungkin dalam kalangan mereka yang merupakan warga senja, yang mungkin sukar untuk keluar dari rumah dan sebagainya, supaya dapat mendekati dari sudut yang lain, kata orang itu 'Mobile MPS' atau MPS bergerak. (Ini) salah satu yang kami ingin cuba di kawasan ini memandangkan profil penduduk kami," dedah Cik Hazlina.

Dengan inisiatif tersebut, para penduduk di kawasan Fengshan tidak perlu menunggu lama untuk bertemu AP mereka iaitu Cik Hazlina.

Sesi Bertemu Rakyat (MPS) Fengshan kendalian Anggota Parlimen PAP, Hazlina Abdul Halim. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Semasa BERITA Mediacorp meninjau sesi MPS kedua oleh Cik Hazlina pada Isnin (19 Mei), ia berlarutan dari 7.30 malam sehingga sekitar 1.00 pagi.

Mengikut jadual, sesi MPS di Blok 119 Bedok North Road itu sepatutnya hingga 9.30 malam sahaja.

Namun ia dilanjutkan memandangkan jumlah penduduk yang datang lebih tinggi daripada biasa.

Pelbagai isu yang diketengahkan penduduk - daripada isu perumahan hinggalah isu kewangan.

"Saya mengambil masa untuk memahami kerumitan setiap kes yang saya hadapi. Jadi, dari situ kita dapat mengupas apakah isu sebenarnya. Adakah isu sebenarnya masalah perancangan kewangan? Adakah isu sebenarnya hubungan kekeluargaan umpamanya? Ataupun apakah isu sebenarnya yang menyebabkan pertelingkahan di antara jiran dan bagaimana kita boleh menanganinya bersama," ujar Cik Hazlina.

"Selain dari itu, saya juga mengambil masa untuk mendekati agensi-agensi, sama ada dari pihak pemerintah mahupun badan-badan yang membantu di dalam kawasan kita ini kerana saya betul-betul percaya yang kita harus bekerjasama dalam menangani sesuatu cabaran penduduk itu. Dari sudut pemerintah satu, dan dari sudut badan-badan membantu satu lagi dan kadangkala, (mereka) dalam kalangan sukarelawan kita juga dapat menyokong keluarga-keluarga kita," tambahnya.

GUNAKAN PENGALAMAN BANTU SESI MPS SEBELUM INI

Anggota Parlimen GRC East Coast, Hazlina Abdul Halim. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Mujur bagi Cik Hazlina, pengalaman sebelum ini banyak membantu dirinya mengendalikan sesi MPS.

Sebelum ini, beliau pernah menjadi sukarelawan selama setahun untuk menyokong sesi-sesi MPS di kawasan undi lain termasuk kawasan MacPherson untuk menyokong AP Tin Pei Ling.

Beliau juga banyak mempelajari daripada mantan AP Cheryl Chan serta aktivis dan relawan di Fengshan bagi memahami isu-isu dan kes yang diketengahkan di kawasan itu.

"Cik Cheryl Chan pandai mengambil hati penduduk-penduduk kita, yang kata orang itu warga emas dan salah satu caranya ialah kerana beliau fasih dalam berbincang atau berbual dalam bahasa Mandarin. Saya ini lebih cenderung kepada bahasa Inggeris dan Melayu tetapi saya nekad untuk cuba mendekati penduduk dengan mungkin mempertingkatkan cara berkomunikasi mungkin dalam bahasa Mandarin jugalah salah satunya usaha, kita cuba kerana bahasa ini boleh mendekatkan kita antara satu sama lain kerana saling memahami," menurut Cik Hazlina.

"Saya fikir sesi bertemu rakyat selama minggu ini dan minggu yang lalu dapat saya jalankan dengan lancar. Sebenarnya, saya berbesar hati beberapa penduduk datang hanya untuk mengucapkan tahniah dan untuk memperkenalkan diri mereka dan juga dalam kalangan mereka yang saya bertemu sewaktu saya melakukan lawatan-lawatan, mereka ingat apabila saya berkata jika ada apa-apa isu, cari kami di Blok 119 ini dan mereka hadir. Jadi, saya fikir itu adalah satu petanda bahawa apa yang kita lakukan ini untuk mendekati penduduk dihargai," tambah beliau.

PENGALAMAN SEBAGAI SUKARELAWAN & PAKAR PSIKIATRI BANTU MENDEKATI PENDUDUK

Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Bagi AP GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi pula, pengalaman beliau sebagai sukarelawan di pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) serta sebagai pakar psikiatri banyak membantunya dalam mendekati penduduk.

"Dari segi pengalaman-pengalaman saya sebagai sukarelawan dalam MMO, antaranya Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan juga di MUIS dahulu serta sebagai pakar psikiatri di mana saya dapat bertemu ramai penduduk-penduduk ataupun warganegara Singapura dalam (mendengar) cabaran-cabaran mereka, saya menggunakan pendekatan ini untuk memahami cabaran-cabaran secara struktur bagi MPS secara terperinci yang khusus kepada cabaran-cabaran tertentu," kongsi Dr Syed Harun kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Walaupun mungkin dari segi MPS, terdapat keunikan tertentu tetapi dari segi pengalaman (saya) yang sebelumnya, memang saya dapat memberi penekanan dan pengalaman itu kepada isu-isu tersebut dalam MPS," tambah beliau.

Dr Syed Harun mengambil alih daripada mantan AP Derrick Goh di kawasan Nee Soon Link.

"Saya rasa setiap Anggota Parlimen membawa personaliti tersendiri dan keunikan dari segi cara kita mengendalikan perbualan dan sebagainya. Dan saya rasa dari segi kesamaan saya dan juga Anggota Parlimen yang terdahulu dan yang lain, memang terdapat keikhlasan niat kita untuk memperbaiki suasana bagi seluruh warga Singapura. Ini antara persamaannya dan saya rasa ia dapat dirasai oleh penduduk-penduduk di daerah saya," ujar Dr Syed Harun.

"Dari segi personaliti, kita membawa cara kita tersendiri tetapi selagi mana kita dapat membantu mereka, selagi mana kita dapat menyelesaikan masalah-masalah mereka dan mengurangkan tekanan-tekanan mereka, saya rasa dari segi respons dari penduduk, mereka rasa yang mereka dibantu dan ia tidak ada kelainan dari Anggota Parlimen yang sebelumnya. Semestinya kita sebagai ahli parlimen ingin memperbaiki dan membawa kepada kebaikan bagi penduduk kita," tambah beliau.

DATANG SENDIRI KE RUMAH PENDUDUK YANG SUKAR KE MPS

Sesi MPS Nee Soon Link kendalian AP Dr Syed Harun Alhabsyi. (Gambar: GRC Nee Soon)

Menurut Dr Syed Harun, isu-isu yang diketengahkan penduduk sangat luas dan beliau berusaha untuk memahami masalah yang dihadapi mereka.

"Sebagai ahli parlimen, perlu kita memahami tekanan-tekanan tersebut. Ini antara 'lived reality' atau realiti kehidupan antaranya bagi penduduk Singapura kita dan perlulah juga kita memberi peluang untuk mereka meluahkan isu-isu tertentu dan saya rasa apabila penduduk memahami bahawa kita sebenarnya berada di pihak mereka dan ingin menolong dan memperbaiki situasi bagi mereka, mereka juga rasa anggota parlimen itu dapat menolong dan memahami isu-isu resah gelisah mereka dan kita mengambil pendekatan tersebut," kata Dr Syed Harun.

Seperti Cik Hazlina, Dr Syed Harun turut berkongsi cara beliau mendekati penduduk dengan lebih mendalam lagi, terutama mereka yang menghadapi kesukaran untuk ke sesi MPS.

"Terdapat juga penduduk yang mungkin mempunyai kesusahan dari segi mobiliti dan mungkin dari segi kedatangan mereka kepada MPS itu membawa kesusahan dan bukan senang untuk mereka datang baik sendiri ataupun bersama keluarga mereka," dedah Dr Syed Harun.

"Kadangkala perlu juga kita datang menziarahi penduduk kita untuk memahami keperluan mereka di mana mereka mempunyai isu mobiliti dan ini antara cara seseorang anggota parlimen untuk mendekati penduduk-penduduk mereka untuk memberi pendekatan yang baik kepada mereka di mana mereka memahami bahawa kita ingin menolong mereka secara ikhlas," tambah beliau.

AP PARTI PEKERJA LAHIR PENGHARGAAN BUAT SUKARELAWAN, PENDUDUK

Sesi MPS kendalian AP WP GRC Sengkang, Abdul Muhaimin. (Gambar: Facebook/Abdul Muhaimin)

Para AP baharu dari Parti Pekerja (WP) juga sudah giat menjalankan sesi MPS di kawasan undi masing-masing sejak GE2025.

AP baharu dari GRC Sengkang, Abdul Muhaimin antara lain menjalankan sesi MPS pertamanya pada Rabu (14 Mei).

Dalam satu catatan di Facebook, beliau melahirkan penghargaan kepada sukarelawannya serta menekankan komitmennya untuk bantu para penduduk.

"Sebesar-besar terima kasih kepada semua sukarelawan hebat yang kekal sehingga akhirnya, dedikasi anda sangat bermakna dan kepada para penduduk yang menanti giliran mereka dengan kesabaran, terima kasih kerana pemahaman anda. Saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu anda melangkah ke hadapan. Bersyukur untuk berada dalam perjalanan perkhidmatan ini bersama," nyata beliau.

Sesi MPS kendalian AP WP GRC Aljunied, Fadli Fawzi. (Gambar: Facebook/Fadli Fawzi)

AP GRC Aljunied Fadli Fawzi pula berkongsi di Facebook pengalamannya mengendalikan sesi MPS pertamanya yang dijalankan di divisyen Kaki Bukit pada Rabu (7 Mei).

"MPS merupakan satu platform penting di mana kita dapat lebih memahami pengalaman hidup rakyat Singapura biasa berkaitan dengan undang-undang dan dasar negara. Ia membuat saya bangga berfikir bahawa kita melanjutkan legasi David Marshall yang memulakan amalan ini semasa beliau bersama Labour Front," nyata beliau.

"Saya sangat bersyukur dengan relawan-relawan setia yang membantu saya beralih kepada peranan ini. Mereka melakukan kerja gigih untuk menyediakan premis, menulis kes awal dan mengarang surat-surat. Mereka adalah "unsung heroes" yang memastikan kami melanjutkan khidmat biasa untuk para penduduk secepat mungkin. Terima kasih kerana membolehkan kami berkhidmat kepada para penduduk sebaik mungkin," menurutnya lagi.

Daripada 97 Anggota Parlimen, sekitar 30 daripada mereka merupakan AP baharu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita