AP anjur sesi larian sambil kumpul maklum balas, pererat jalinan bersama penduduk
Dari kiri ke kanan: AP GRC West Coast-Jurong West Hamid Razak, AP GRC Clementi-Jurong Timur David Hoe dan AP GRC Sengkang Jamus Lim adalah antara AP yang menganjurkan larian masyarakat bersama penduduk mereka. (Gambar: CNA/Jeremy Long, Syamil)
Larian masyarakat yang tidak rasmi itu malah membantu memupuk ikatan yang lebih erat, menggalak gaya hidup yang lebih sihat dan mendorong perkongsian maklum balas di luar suasana libat urus yang rasmi, kata para AP itu kepada Mediacorp.
Diadakan di daerah mereka masing-masing, sesi itu menarik peserta dari semua peringkat usia.
Larian biasanya diadakan secara santai, dengan kumpulan dibahagikan mengikut jarak untuk memenuhi keperluan tahap kecergasan yang berbeza.
Bagi AP West Coast-Jurong West, Hamid Razak, idea itu berkembang daripada minat peribadi untuk berlari.
Sejak Oktober, beliau menganjurkan larian bulanan secara berselang-seli antara dua daerahnya iaitu Jurong Spring dan Gek Poh, dengan menarik kira-kira 20 peserta bagi setiap larian.
“Saya fikir adalah baik untuk mengadakan perbualan tidak formal dengan penduduk sambil melakukan sesuatu yang sihat pada masa yang sama,” kata AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) penggal pertama itu kepada Mediacorp semasa sesi pada Februari tahun ini.
“Saya juga ingin meneroka bagaimana sukan boleh menyatukan pelbagai jenis penduduk, tidak kira sama ada golongan muda, berjiwa muda, mereka yang bersemangat tentang sukan, atau mereka yang mungkin hanya berfikir 'Saya mahu menjadi sihat' tetapi tidak pasti di mana hendak bermula.”
Di GRC Sengkang, kekerapan lawatan di lapangan menjadikan larian masyarakat sesuatu yang sesuai diadakan secara semula jadi, kata Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Jamus Lim.
“Kami berada di sini tiga atau empat kali setiap minggu, jadi sangat masuk akal bagi kami untuk cuba memasukkan ini dalam aktiviti yang kami tawarkan, di samping menggalak orang ramai daripada pelbagai tahap kecergasan untuk merasakan bahawa mereka boleh bermula dan menyertai kami dalam aktiviti yang sihat,” katanya semasa sesi pada awal April.
Profesor Madya Lim, yang menyelia daerah Anchorvale, berkata pasukan itu mengadakan larian tersebut sejak penggal pertama mereka pada 2020.
Bilangan pengunjung biasanya memuncak pada awal tahun sebelum mencapai angka stabil iaitu 20 hingga 30 peserta setiap sesi.
Di Clementi, AP GRC Jurong East-Bukit Batok, David Hoe, menggunakan sesi larian itu untuk membawa penduduk melangkaui kawasan kejiranan mereka.
“Semasa saya membawa penduduk sepanjang larian, saya gemar menunjukkan kepada mereka bahagian yang berbeza di Clementi, beritahu mereka apakah perkara-perkara unik di sekitar kawasan ini - contohnya, pusat penjaja dan makanan - dan juga untuk berkongsi beberapa kebimbangan yang dibangkitkan oleh penduduk di kawasan tertentu,” katanya kepada Mediacorp.
Contohnya, di kawasan yang mempunyai lebih ramai warga emas, kebimbangan besar ialah jejantasnya tidak mempunyai lif, tegas AP PAP itu.
Sesi dua minggu sekali juga memberi peluang kepada Encik Hoe untuk berkongsi isu yang difikirkannya, mengumpul maklum balas dan mencari huraian secara berkumpulan sebelum membawanya ke parlimen.
REKA BENTUK TIDAK RASMI
Perkongsian mengenai larian tersebut tersebar luas melalui media sosial, dan peserta juga tidak perlu tinggal di dalam kawasan undi berkenaan.
AP GRC Sengkang, Louis Chua, yang menyelia daerah Rivervale, menyifatkan sesi tersebut sebagai acara percuma untuk semua.
“Kami tidak bertanya dari mana mereka datang sebenarnya,” kata AP WP itu, sambil berkata bahawa sesetengah pelari datang dari luar Sengkang.
“Ia lebih tidak formal dan tidak seperti cara anda menganjurkannya dahulu semasa zaman NS (Perkhidmatan Negara) kami.”
Dr Hamid berkata beliau tidak mempunyai sebarang jangkaan apabila beliau pertama kali menyiarkan tentang lariannya online, dan terkejut dengan kehadiran mereka yang turut serta.
Kumpulan tersebut sejak itu sudah berkembang menjadi sebuah masyarakat dengan kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada sekitar 50 orang.
“Saya akan memastikan ia tidak berstruktur buat masa ini… Jika kumpulan itu menjadi sangat besar, maka adanya sedikit struktur mungkin penting,” katanya.
Geografi juga membentuk cara sesetengah AP merancang laluan mereka.
GRC Sengkang terletak berhampiran Sungei Serangoon dan Sungei Punggol, dan Prof Madya Lim berkata laluan tepi sungai adalah tarikan semula jadi.
“Hakikat bahawa kita mempunyai laluan larian ini di tepi dua sungai bermakna anda mempunyai larian tanpa halangan, yang sentiasa menjadikannya lebih mudah untuk mengekalkan kumpulan bersama,” katanya.
Larian bulanan di sepanjang penghubung taman dibahagikan kepada laluan 2.4 kilometer (km) dan 5km.
Sejak satu setengah tahun yang lalu, pasukan itu berlari bergilir-gilir antara kedua-dua tebing sungai itu untuk membolehkan lebih ramai orang menyertai, kata Encik Chua.
Bagi Encik Hoe, demografi kawasan kejiranannya - ramai penduduk merupakan ibu bapa dengan anak kecil - bermakna ia lebih masuk akal untuk jadualkan larian mereka pada pukul 10.00 malam pada Sabtu.
“Kerana jika anda fikirkan, kebanyakan ibu bapa muda kita, apabila anak-anak kita terjaga, kita benar-benar tidak boleh berjauhan dengan keluarga kita,” katanya, sambil menambah bahawa masa permulaan yang lebih lewat membolehkan ibu bapa menidurkan anak-anak mereka terlebih dahulu.
MAKLUM BALAS SEPANJANG PERJALANAN
Selain kecergasan, sesi larian sedemikian menyediakan saluran libat urus tambahan selain acara formal dan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) - dan boleh mengumpulkan maklum balas yang lebih jujur.
Encik Chua berkata sesi tersebut membolehkan interaksi dengan penduduk di luar aktiviti perayaan dan dewan yang biasa, di mana libat urus sering diadakan.
Namun, pasukan itu tidak mengukur keberkesanan larian tersebut berdasarkan jumlah maklum balas yang diterima, tambahnya.
Encik Hoe berkata penduduk Clementi biasanya akan menghantar emel terus kepadanya mengenai kebimbangan dan bukannya menghadiri MPS.
Larian tersebut menimbulkan jenis maklum balas yang berbeza.
Beliau menukil usaha menanggalkan deretan rak basikal di sebelah kedai kopi - tempat mereka berkumpul untuk lariannya - selepas peserta memberi maklum balas bahawa rak tersebut menimbulkan bahaya kepada kanak-kanak kecil yang menggunakan taman permainan berdekatan.
“Ini bukanlah perkara yang akan mereka tulis kepada saya, tetapi ia sebenarnya hanya melalui perbualan organik,” katanya.
Dr Hamid teringat perbualannya dengan peserta Darjah 6 tentang Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) semasa sesi tahun lalu.
Kanak-kanak lelaki itu kemudian muncul sebagai sukarelawan di sebuah acara masyarakat, membantu mengambil gambar ibu bapa dan pelajar di majlis Anugerah Edusave.
“Jadi itu adalah sesuatu yang saya tidak jangkakan, yang berlaku dengan tidak disengajakan, tetapi secara positif,” katanya.
Prof Madya Lim berkata pengumpulan maklum balas melalui setiap kaedah yang ada adalah penting, melihat kepada sifat pekerjaan mereka itu.
“Sebahagian besar daripada apa yang kami lakukan juga adalah untuk mengetahui bagaimana keadaan bagi penduduk, yang mungkin diajak berbual semasa kami berlari, tetapi pada masa yang sama juga tentang kebimbangan negara secara lebih meluas.”
MENYERTAI LARIAN
Penduduk pula menyertai larian atas pelbagai sebab.
Penduduk Clementi, Sek See Yong, seorang guru berusia 42 tahun, menganggap sesi itu sebagai aktiviti yang mengeratkan ikatan keluarga dengan anak perempuannya Nichole Ho, 16, di mana jadual sekolahnya yang padat mengehadkan masa mereka untuk bersenam bersama.
Nichole berkata beliau bertemu peserta lain pada sesi baru-baru ini yang memberinya nasihat tentang memilih kursus politeknik.
Teknisyen pesawat Shafiq Hilman, 29 tahun, berkata kekerapan larian di Rivervale juga mendorongnya untuk kekal cergas.
Beliau menyertai sesi bulanan itu sejak Mei tahun lalu, dengan berjalan kaki atau dengan menaiki motosikal ke tempat pertemuan.
Bagi Cik Celest Seah, yang bekerja dalam bidang jagaan kesihatan, larian itu menawarkan cara yang mudah dan tidak formal untuk berhubung dengan APnya – Dr Hamid, yang bekerja dalam sektor yang sama.
“Saya lebih gemar bertemu AP saya dalam suasana seperti ini, kerana saya rasa saya tidak mempunyai sebab untuk pergi ke MPS pada usia saya,” kata wanita berusia 24 tahun itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.