Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP akan hilang kerusi di Parlimen jika didenda sekurang-kurangnya S$10,000, naik daripada S$2,000

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 May 2022 09:51PM Dikemas Kini : 10 May 2022 12:22AM

SINGAPURA: Seorang Anggota Parlimen (AP) akan hilang jawatannya jika disabit kesalahan dan didenda sekurang-kurangnya S$10,000.

Ini setelah pindaan kepada Perlembagaan Singapura diluluskan Parlimen pada Isnin (9 Mei).

88 anggota mengundi menyokong, tanpa sebarang bantahan atau mana-mana anggota yang berkecuali.

Di bawah undang-undang sekarang, seorang AP itu hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi AP, manakala seorang AP sedia ada akan hilang kerusinya di Parlimen, jika dipenjara sekurang-kurangnya setahun atau didenda sekurang-kurangnya S$2,000.

Tempoh hilang kelayakan sebagai AP itu ialah untuk selama lima tahun.

Jumlah denda dinaikan untuk mengambil kira inflasi sejak bertahun-tahun lalu dan menjadikan kuantum tersebut sepadan dengan hukuman yang dikenakan mahkamah di Singapura bagi kesalahan-kesalahan berkaitan sekarang ini, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 4 April.

"Dengan menyemak kuantum denda daripada sekurang-kurangnya S$2,000 kepada tidak kurang daripada S$10,000 akan memastikan jumlah denda itu adalah sepadan dengan denda yang dikenakan bagi kesalahan yang berkaitan dengan kewibawaan seseorang, seperti elak membayar cukai, rasuah," tambah ELD.

Tiada perubahan kepada hukuman penjara yang minimum.

Pindaan itu juga memperluaskan kriteria hilang kelayakan akibat sabitan mahkamah di luar negara, selain oleh mahkamah di Singapura atau Malaysia.

Bagaimanapun, ia hanya tertakluk kepada kesalahan yang boleh dihukum sebuah mahkamah di Singapura sekiranya ia dilakukan di sini.

Isu AP hilang kelayakan menarik perhatian baru-baru ini selepas Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh dan naib pengerusi Faisal Manap, kedua-duanya Anggota Parlimen GRC Aljunied, dirujuk kepada Pendakwa Raya untuk siasatan lanjut.

Syor itu dibuat selepas laporan Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) mengenai insiden pembohongan bekas AP WP Raeesah Khan di Parlimen.

Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berkata Perlembagaan Singapura perlu mencapai keseimbangan antara perwakilan yang lebih pelbagai dengan kelayakan untuk menjawat jawatan.

Ini selaras dengan ideologi demokrasi bahawa hak seseorang untuk menyertai proses politik dan menyertai pejabat awam perlu tidak dibelenggu oleh apa-apapun, tegas beliau.

"Selain memastikan kesesuaian individu untuk menjadi AP, tahap piawaiannya tidak boleh terlalu tinggi sehingga menjejas sistem Parlimen yang berasaskan perwakilan demokrasi.

"Memastikan kriteria tidak layak yang munasabah juga membenarkan pengundi memilih sesiapa saja untuk mewakili mereka", ujar Encik Chan.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan