Skip to main content

Singapura

AP akan bincang pelaburan Temasek dalam FTX, pemansuhan S377A & pindaan Perlembagaan bagi lindungi takrif perkahwinan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pelaburan Temasek dalam pertukaran mata wang kripto FTX yang sudah runtuh akan dibincangkan di sidang Parlimen yang bermula pada Isnin (28 Nov).

Awal bulan ini, firma pelaburan negara itu menyatakan ia akan menghapuskan pelaburannya sebanyak AS$275 juta (S$377 juta) dalam FTX, apa pun hasil perlindungan muflis yang difailkan pertukaran mata wang kripto itu.

Lebih daripada 15 soalan akan dibangkitkan oleh Anggota Parlimen (AP) mengenai pelaburan Temasek dan FTX yang muflis.
Para AP juga akan membahaskan Rang Undang-undang untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang menyifatkan seks sesama lelaki sebagai satu jenayah serta meminda Perlembagaan bagi melindungi definisi perkahwinan.

PELABURAN TEMASEK

AP dari parti pembangkang, Parti Pekerja (WP) ingin tahu jika Pemerintah menjejaki pelaburan Temasek dan dana pelaburan Singapura GIC.

AP Jamus Lim (WP-Sengkang) berkata dengan langkah-langkah yang disarankan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk mengurangkan risiko perdagangan mata wang kripto, adakah cadangan yang sama diberikan kepada GIC dan Temasek. Beliau juga bertanya jika Kementerian Kewangan (MOF)menjejaki pelaburan GIC dan Temasek.

AP He Ting Ru (WP-Sengkang) juga mengutarakan soalan sama ada terdapat peraturan atau rangka kerja tadbir urus bagi lembaga berkanun utama dan syarikat pemerintah yang mengendalikan aset pemerintah.

AP Leon Perera (WP-Sengkang) ingin tahu sama ada Pemerintah akan mempertimbangkan untuk menambah Temasek dan GIC ke dalam senarai audit Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) dan Jawatankuasa Akaun Negara.

Beliau juga ingin tahu jika Pemerintah akan mempertimbangkan untuk membentuk jawatankuasa tetap melibatkan anggota kedua-dua parti untuk meneliti Temasek dan GIC mengenai prestasi mereka, strategi dan pendekatan pengurusan risiko secara sulit.

AP Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) ingin tahu kesan FTX yang runtuh dan langkah-langkah yang diambil sebelum membuat pelaburan dalam platform dagangan mata wang kripto.

AP Saktiandi Supaat (PAP-Bishan-Toa Payoh) dan Mariam Jaafar (PAP-Sembawang) bertanya apakah nilai pelaburan Temasek dalam FTX dan anak syarikatnya.

Selain soalan mengenai pelaburan Temasek, para AP juga bertanya mengenai kesan FTX jatuh muflis.

AP Tin Pei Ling (PAP-MacPherson), Lim Wee Kiak (PAP-Sembawang) dan Desmond Choo (PAP-Tampines) ingin tahu berapa banyak peniaga runcit di Singapura terjejas akibat FTX dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada pasaran kewangan dan ekonomi Singapura.

Beberapa AP lain juga bertanya mengenai peraturan sekitar perdagangan mata wang kripto dan pengajaran yang diperolehi daripada keruntuhan pertukaran mata wang kripto seperti Terra dan FTX.

RANG UNDANG-UNDANG BERHUBUNG SEKSYEN 377A

Lima Rang Undang-Undang akan dibentangkan di Parlimen buat bacaan kali kedua, termasuk pemansuhan S377A dalam Kanun Keseksaan dan pindaan Perlembagaan bagi melindungi takrif perkahwinan.

Kedua-dua Rang Undang-Undang itu diperkenalkan pada 20 Oktober.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, K Shanmugam membentangkan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) untuk memansuhkan Seksyen 377A, manakala Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli memperkenalkan Rang Undang-undang Perlembagaan Republik Singapura (Pindaan No. 3) untuk meminda Perlembagaan.
Soalan-soalan lain termasuk tentang pekerja yang terjejas oleh pemberhentian di syarikat teknologi baru-baru ini, serta bagaimana Pemerintah sedang membantu pekerja tersebut.

Para AP juga bertanya tentang strategi mengurus orang ramai di acara berskala besar dan pengajaran yang diperoleh daripada insiden rempuhan baru-baru ini di negara lain.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita