Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anugerah Upaya Goh Chok Tong iktiraf pencapaian golongan istimewa

Anugerah Upaya Goh Chok Tong (GCT) dilancarkan pada Selasa (15 Jan) untuk mengiktiraf pencapaian dan potensi golongan kurang upaya.

Anggaran Waktu Membaca:
Anugerah Upaya Goh Chok Tong iktiraf pencapaian golongan istimewa

ESM Goh dalam satu wawancara bersama Mediacorp di Istana pada 26 Nov 2018. (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 15 Jan 2019 10:23PM Dikemas Kini : 15 Jan 2019 10:26PM

SINGAPURA: Anugerah Upaya Goh Chok Tong (GCT) dilancarkan pada Selasa (15 Jan) untuk mengiktiraf pencapaian dan potensi golongan kurang upaya.

Anugerah tersebut merupakan satu daya usaha Dana Enable Mediacorp.

"Usaha kita untuk menjadikan masyarakat lebih inklusif perlu lebih daripada meningkatkan kesedaran dan menyediakan akses sama rata kepada golongan kurang upaya untuk mencapai impian mereka," kata Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong, yang merupakan penaung Dana Enable Mediacorp.

"Kami mahu mereka rasa terdorong untuk berjaya tanpa mengira latar belakang. Anugerah ini mengiktiraf dan menggalak sumbangan mereka kepada masyarakat."

Dua kategori anugerah diperkenalkan - Anugerah Upaya GCT (Pencapaian UBS) meraikan golongan kurang upaya yang mencapai kejayaan di pelbagai bidang. Warga atau penduduk tetap Singapura berusia 18 tahun ke atas layak dicalonkan. Sehingga tiga individu akan menerima S$10,000 setiap seorang, setiap tahun.

Institusi-Institusi Bertaraf Awam dan instituti pendidikan pemerintah akan masing-masing menerima S$5,000 jika calon mereka memenangi anugerah itu.

Kategori seterusnya - Anugerah Upaya GCT (Potensi UBS) - mengiktiraf individu yang menunjukkan potensi dan bertujuan menggalak mereka untuk meraih pencapaian lebih tinggi dalam bidang kepakaran mereka. Warga atau penduduk tetap Singapura berusia 12 tahun ke atas boleh dicalonkan. Sehingga 10 individu setiap tahun akan menerima S$5,000 setiap seorang.

Kedua-dua kategori tersebut hanya dibuka kepada individu yang mengalami kurang keupayaan seumur hidup.

Anugerah-anugerah itu disokong Tote Board sebagai penaja pengasas dan UBS Singapore sebagai penaja utama.

CEO Mediacorp Tham Loke Kheng berkata: "Anugerah-anugerah ini mencerminkan cara-cara baru kita memberi galakan kepada orang-orang dengan keupayaan berbeza-beza dalam masyarakat kita. Ia meraikan kepelbagaian dan pada masa yang sama, minat dan kecekalan. Mediacorp komited untuk menyokong oran-orang kurang upaya untuk mencapai potensi masing-masing - menerusi tindakan yang nyata dan positif."

Pengerusi panel penilai Anugerah Upaya GCT Profesor Madya Wong Meng Ee berkata: "Golongan kurang upaya juga mempunyai bakat dan aspirasi. Kami berharap Anugerah ini menggalak lebih ramai golongan kurang upaya untuk mencapai impian dan membawa kesan dalam bidang masing-masing."

Pencalonan dibuka mulai 15 Januari hingga 31 Mac. Para pemenang akan diumumkan pada Julai.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.mediacorp.sg/gct-enable-awards.

Sumber : CNA/TQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan