Anugerah sulung NHB iktiraf enam belia lestari warisan budaya tidak ternilai
Buat julung-julung kalinya, Lembaga Warisan Negara (NHB) mengiktiraf enam pengamal belia atas usaha mereka memelihara dan memupuk warisan budaya tidak ternilai (ICH), melalui anugerah sulung Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ternilai.
Anugerah yang disampaikan pada Rabu (18 Mac) itu mengiktiraf belia berumur 35 tahun dan ke bawah yang bukan sahaja berpotensi untuk terus menyumbang secara aktif kepada warisan budaya tidak ternilai tetapi juga menunjukkan potensi kepimpinan.
Ia dianggap sebagai langkah bermakna ke arah memupuk generasi seterusnya untuk melestarikan warisan budaya kita.
SYAFIQAH 'ADHA SALEHIN & MUHAMMAD ILYIA KAMSANI - 2 PENERIMA MELAYU
Sewaktu menyampaikan anugerah sulung ini, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, (MCCY), David Neo menekankan bahawa Warisan Budaya Tidak Ternilai (ICH) merupakan bahagian penting dalam identiti Singapura.
"Ia menghubungkan kita dengan keluarga dan komuniti kita. Dan dalam konteks Singapura, identiti kita yang berbilang budaya dan berbilang agama merupakan bahagian penting daripada warisan budaya tidak ternilai kita.
"Jalinan berbilang budaya Singapura adalah asas kepada kekuatan dan identiti negara kita. Oleh itu, ke hadapan, satu fokus utama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) adalah untuk memperdalam dan mewariskan seni tradisional serta warisan kita kepada generasi muda, menggalakkan pemahaman silang budaya yang lebih mendalam serta penghargaan bersama; dan
menyokong seniman dan penggiat tempatan kita untuk membangunkan seni dan warisan berbilang budaya kita," ujar Encik Neo.
Encik Neo memetik Geran Program Seni Berbilang Budaya bernilai $20 juta, serta inisiatif baharu untuk memperluas jangkauan seni tradisional kepada pelajar prasekolah dan sekolah MOE yang diumumkannya pada awal bulan Mac ini, sebagai antara usaha.
Encik Neo menekankan bahawa setiap anggota masyarakat punya peranan dalam memelihara warisan kita.
Beliau menyampaikan anugerah kepada pengamal muda cemerlang merentasi pelbagai bidang ICH daripada Seni Boneka Cina dan Dikir Barat, hingga ke Bentuk-Bentuk Tarian India dan Pembuatan Produk-Produk daripada Rotan.
"Saya amat terdorong oleh sambutan malam ini, yang menunjukkan kepada kita apa yang boleh dicapai apabila kita memperkasa golongan muda untuk mengambil pemilikan terhadap warisan hidup mereka," ujar Encik Neo.
SYAFIQAH 'ADHA SALLEHIN GIAT LESTARIKAN MUZIK TRADISIONAL MELAYU
Di kalangan pemenang adalah dua aktivis Melayu, salah seorang ialah pejuang tradisi muzik Melayu Syafiqah 'Adha Sallehin.
"Anugerah ini sangat bermakna buat diri saya kerana ia dianugerahkan buat julung julung kalinya. Jadi, saya antara penerima yang pertama. Dan anugerah ini juga amat penting kerana ia mengiktiraf para belia yang bergiat untuk melestarikan ICH ataupun apa yang dinamakan Warisan Budaya yang Tak Ternilai. Dan ia memberi satu kesedaran buat orang awam tentang adanya ICH ini di Singapura dan betapa pentingnya untuk melestarikan ICH ini di Singapura," ujarnya kepada wartawan Roslinda Rahmat.
"Saya yakin bahawa saya memainkan peranan yang penting untuk mendidik dan juga memberi inspirasi kepada generasi muda supaya mereka dapat lebih menghargai dan untuk meneruskan tradisi muzik Melayu ini," kata Syafiqah.
"Dan saya harap suatu hari nanti tercapai visi di mana ia menjadi suatu kebiasaan untuk kita lihat ibu bapa menghantarkan anak mereka ke kelas-kelas muzik tradisional Melayu," luahnya lagi.
Antara usaha beliau untuk melestarikan tradisi muzik Melayu termasuk projek notasi bersama Konservatori Muzik Yong Siew Toh (YST) bagi muzik klasik Melayu.
"Saya telah menceburi kumpulan ini sejak tahun 2009, di mana saya bergiat sebagai seorang pemain akordion dan sehinggalah pada hari ini saya merupakan satu-satunya pemain akordion muzik Melayu asli wanita di Singapura," ujar Syafiqah.
MUHAMMAD ILYIA KAMSANI GIAT DOKUMENTASIKAN SENI DIKIR BARAT SERTA BENTUK-BENTUK PUISI MELAYU
Seorang lagi pemenang yang mewakili budaya Melayu adalah seorang Sahabat Sastera - pemupuk minat terhadap bentuk puisi Melayu serta pendikir Muhammad Ilyia Kamsani.
"Anugerah ini adalah satu pengiktirafan bahawa usaha-usaha saya dalam seni Dikir Barat mahupun bentuk-bentuk puisi Melayu itu diiktiraf oleh masyarakat dan saya rasa ini memberikan saya semangat untuk meneruskan perjuangan. Saya akan terus memperjuangkan apa yang saya percaya merupakan nilai-nilai yang murni yang boleh kita terapkan melalui seni Dikir Barat dan puisi Melayu," luah Ilyia.
Dalam ucapannya di majlis anugerah tadi, antara lain Encik Neo berkata, "Tahun lalu, Ilyia telah menerajui Festival Dikir Singapura yang julung kali diadakan, yang menampilkan bengkel, persembahan, dan perbincangan panel. Festival tersebut telah merintis ruang untuk komuniti dikir barat berinteraksi dalam dialog, pertukaran pengetahuan, dan kolaborasi. Ilyia juga telah menerbitkan Serumpun: Jurnal Dikir Singapura, sebuah jurnal yang menyediakan dokumentasi mendalam serta refleksi kritikal tentang dikir barat di Singapura."
PEMENANG TERIMA GERAN HINGGA S$20,000 SOKONG PROJEK & LATIHAN
Selain menerima trofi dan sijil anugerah, Muhammad Ilyia dan Syafiqah sertai empat penerima lain itu turut mendapat geran projek sehingga S$20,000 untuk digunakan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh anugerah.
Ini bagi menyokong pembangunan kemahiran dan usaha mereka.
Geran itu merupakan pelaburan dalam latihan dan pembangunan kepimpinan para penerima anugerah belia, serta dalam bidang pengetahuan dan kemahiran ICH masing-masing.
"Rancangan saya buat masa terdekat, saya memang sangat bercita-cita untuk terbitkan satu buku ilmiah tentang seni dikir barat di Singapura - bagaimana ia dipraktikkan. Saya pun sedang mengusahakan buku puisi Melayu pertama saya untuk diterbitkan, kongsi Ilyia.
"Rancangan terdekat saya adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang muzik Melayu asli dengan membuat pengisian video dan memuatnaikkan video-video ini melalui platform media sosial saya," kongsi Syafiqah pula.
Pertama kali diumumkan pada tahun 2025, Anugerah Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ternilai melengkapi Anugerah Peneraju Warisan Budaya Tidak Ternilai yang sedia ada.
Skim pengiktirafan yang memperkasa belia ini diyakini akan memberi inspirasi kepada golongan belia lain untuk menyokong atau menyertai perjalanan serupa dalam ICH.
Anugerah Belia Cemerlang dalam ICH akan diadakan setiap dua tahun dan disampaikan bersama Anugerah Peneraju Budaya Tidak Ternilai.
Pencalonan bagi kitaran seterusnya akan bermula pada separuh pertama tahun 2027, dengan majlis anugerah diadakan pada penghujung tahun yang sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.