Skip to main content

Singapura

Anugerah Presiden bagi Kesukarelawan dan Kedermawanan terima pencalonan tertinggi, 16 individu dan pertubuhan diiktiraf

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Oct 2025 08:20PM Dikemas Kini : 13 Oct 2025 03:26PM
SINGAPURA: Seramai 16 individu, pertubuhan dan inisiatif masyarakat diiktiraf atas sumbangan luar biasa mereka kepada masyarakat dalam Anugerah Presiden bagi Kesukarelawan dan Kedermawanan (PVPA) 2025.

Majlis berprestij itu berlangsung di Raffles Hotel pada Rabu (1 Okt) dengan anugerah disampaikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dengan kehadiran Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo.

Tahun ini PVPA menerima 451 pencalonan iaitu jumlah tertinggi sejak ia dimulakan.

Ia merupakan peningkatan lebih 50 peratus berbanding tahun lepas.

Menurut pihak penanjur, ini mencerminkan landskap kesukarelawanan dan dermawan di Singapura yang semakin rancak dan inklusif.

PENGASAS PROJEK PENSEL DIIKTIRAF DALAM ANUGERAH PVPA

Antara pemenang yang menyerlah tahun ini termasuk Sarimah Amat, penerima anugerah dalam kategori 'Leaders of Good'.

Beliau merupakan pengasas Projek Pensel, sebuah inisiatif berasaskan^ masyarakat yang menyediakan sokongan kepada kanak-kanak dari ^keluarga kurang kemampuan dengan persiapan persekolahan.

"Memenangi Anugerah PVPA ini adalah satu penghormatan kerana PVPA mengenal pasti calon- calon yang menyumbang (kepada masyarakat) dan selain individu juga pertubuhan-pertubuhan yang menyumbang dengan cemerlang. Jadi untuk saya terpilih sebagai pemenang, saya amat bersyukur dan rendah hati dengan pengiktirafan ini.

"Sebenarnya ini bukan sahaja kemenangan saya, tetapi juga bagi keluarga, sahabat-sahabat seperjuangan, penerima bantuan kami dan para penaja kami yang turut bersama kami untuk menuju ke arah kebaikan dan kebajikan," kata Pengasas Projek Pensel, Sarimah Amat.

Kemenangan itu menurut beliau menjadi pembakar semangat untuk melakukan sebaik mampu dan terus menyumbang kembali kepada masyarakat.

Menggalas peranan sebagai ibu titipan dan pengasas Projek Pensel bukanlah mudah.

Cik Sarimah akui ia memerlukan kecekapan mengatur masa dan sokongan daripada individu-individu di sekelilingnya.

"Memang bukan mudah untuk membahagikan masa untuk semua komitmen yang ada sekarang. Bukan sahaja untuk keluarga sendiri tetapi juga anak-anak dalam masyarakat dan kerja-kerja kebajikan yang lain memerlukan komitmen dan atur waktu yang sesuai," ujar Cik Sarimah.

Beliau berkongsi sudah mendidik pelajar yang lebih besar untuk menjadi mentor dan membimbing yang lebih muda.
Di samping itu, Cik Sarimah percaya bahawa golongan belia akan menjadi tulang belakang kepada usaha-usaha kebajikan yang berterusan.

"Adalah amat perlu dan penting untuk kita melibatkan generasi muda terutama sekali belia untuk sama-sama mengerjakan kerja-kerja seperti ini supaya kita akan melahirkan pelapis-pelapis yang dapat orang kata menjiwai perjuangan ini.

"Impak yang saya dapat lihat daripada penglibatan mereka, anak-anak ini menjadi lebih peka dan lebih ihsan terhadap kawan-kawan atau keluarga-keluarga di luar sana yang memerlukan," kongsi Cik Sarimah.

Cik Sarimah dan pasukannya kini terlibat secara aktif dalam membimbing lebih 50 kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang menerusi inisiatif Projek Pensel.

KATEGORI BAHARU PVPA, 'COMMUNITIES OF GOOD"

Satu pembaharuan pada edisi ke-13 anugerah ini adalah pengenalan kategori baharu, 'Communities of Good' yang mengiktiraf sumbangan pertubuhan-pertubuhan berasaskan masyarakat.

Antara pemenang tahun ini adalah, 'Samaritans of Singapore' (SOS) atas usaha menyeluruh mencegah insiden bunuh diri di negara ini.

SOS berjaya mengurangkan kadar kematian akibat kejadian bunuh diri sebanyak 32 peratus pada 2022.

Setiap 14 jam, sekurang-kurangnya satu nyawa berjaya diselamatkan hasil inisiatif mereka.

"Menerima anugerah ini adalah satu penghormatan dan pada masa yang sama satu peringatan mengapa SOS wujud. Ia bukan sekadar mengiktiraf usaha kami tetapi juga terhadap kehidupan individu-individu yang kami bantu.

"Bagi kakitangan dan sukarelawan kami, anugerah ini mengesahkan dedikasi mereka. Kepada mereka yang kami bantu, sebagai mengiktiraf bahawa perjuangan mereka penting. Ia juga menekankan bahawa pencegahan bunuh diri adalah satu keutamaan bersama buat masyarakat dan negara dan bahawa mereka tidak bersendirian pada saat-saat sukar mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif SOS, Gasper Tan.

SOS percaya bahawa pencegahan membunuh diri bukan usaha bersendiri atau satu pertubuhan sahaja tetapi tanggungjawab kita bersama.

"Gabungan antara sokongan secara langsung dalam saat krisis, jangkauan komuniti, pendidikan serta advokasi, semuanya diperkukuh dengan komitmen mendalam daripada para sukarelawan dan kakitangan kami.

"Kami berharap untuk melengkapkan lebih ramai individu dengan kemahiran untuk mendengar dengan empati, bekerjasama dengan penuh makna dan sedar akan impak yang mereka berikan kepada mereka yang dalam kesusahan," kata Encik Tan.

Bagi memastikan para sukarelawan kekal sihat dan boleh memberikan bantuan yang berkesan, SOS sudah menyediakan latihan menyeluruh, sokongan rakan sebaya dan akses kepada sumber kesihatan mental buat mereka.

Menurut Encik Tan, setiap individu memainkan peranan penting dalam masa depan pencegahan bunuh diri.


Beliau berkongsi bahawa dengan mewujudkan ruang yang selamat untuk berbual, memecahkan stigma dan menggalakkan individu mencari bantuan, ia boleh membina masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif.

"Masa depan pencegahan kejadian bunuh diri bergantung kepada integrasi yang lebih rapat antara sektor sosial dan kesihatan. Contohnya, dengan menerapkan sokongan kesihatan mental ke dalam ruang harian seperti sekolah, tempat kerja dan masyarakat," kongsi Encik Tan.

Selain itu, penggunaan teknologi yang lebih meluas, penekanan kepada intervensi awal dan keterbukaan yang semakin meningkat dalam perbualan mengenai kesihatan mental juga penting bagi membina masyarakat yang inklusif pada masa hadapan.

NVPC INGIN MEMPERKASA PEMENANG

Sebagai langkah memperkasa pemenang selepas anugerah, Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Kebangsaan (NVPC) turut mengumumkan kerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Kerjasama itu bertujuan membantu para pemenang meneruskan perjalanan murni mereka dalam memberi dan berkhidmat kepada masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita