Anugerah Menteri MHA 2021 iktiraf 194 pegawai, pasukan dan agensi
Sebanyak 194 anugerah disampaikan dalam Anugerah Menteri oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) yang diadakan secara maya hari ini (28 Okt).
SINGAPURA: Sebanyak 194 anugerah disampaikan dalam Anugerah Menteri oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) yang diadakan secara maya hari ini (28 Okt).
Ini bagi mengiktiraf pegawai, pasukan serta agensi yang mempamerkan keupayaan luar biasa serta kecekapan dalam menjalankan operasi, kes dan projek atau memaparkan daya inovasi yang tinggi serta kelakonan cemerlang sepanjang melaksanakan tugas masing-masing.

Hari ini (28 Okt), pegawai yang mengetuai pasukan yang bertanggungjawab membangunkan Kenderaan Pemulihan Pegawai Kecemasan (RPV) oleh SCDF merupakan antara yang diiktiraf dengan Anugerah Pencapaian Home Team (HTAA) dalam majlis tersebut.
Istimewanya, RPV adalah kenderaan yang pertama seumpamanya di dunia yang dilengkapi dengan kemudahan pemulihan menyeluruh.
KETUAI PASUKAN PROJEK DARI PELBAGAI AGENSI
Bagi projek ini, Timbalan Pengarah Akademi Pertahanan Awam SCDF, LTC Firoz Ramjan bekerjasama dengan para penyelidik, jurutera, doktor yang juga merupakan Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (ORNS) serta pegawai SCDF lain untuk memikirkan pendekatan inovatif untuk membantu para pekerja barisan hadapan dalam operasi menyelamat yang panjang.

(Gambar: MHA)
"Saya dan pasukan projek saya berasa sangat bangga di atas anugerah ini kerana ia adalah satu contoh yang positif tentang apa yang boleh dicapai dengan kerjasama cemerlang antara agensi-agensi yang berbeza," kongsi LTC Firoz yang sudah berkhidmat selama 13 tahun bersama SCDF.
"Ia juga menunjukkan kolaborasi yang sangat mantap di antara pegawai-pegawai SCDF dan juga pegawai ORNS kami," tambahnya lagi.
CIPTA KANISTER AGEN KIMIA GUNA PENCETAKAN 3D
Di bawah Kategori Projek pula, Anugerah Inovasi turut disampaikan dan antara penerimanya adalah Timbalan Komander Rota Balai Bomba Paya Lebar, WO2 Anuar Osman.

(Gambar: SCDF)
Beliau adalah sebahagian daripada pasukan yang menghasilkan kanister bagi latihan agen kimia untuk mengatasi isu-isu kebersihan dan logistik serta tahan lama.
"Peranan saya dalam inovasi kanister latihan agen kimia ialah untuk menurunkan kos yang diperlukan dalam ujian 'prototyping', percubaan dan penyelesaian supaya projek itu lebih mudah diuruskan," kongsi pegawai berusia 40 tahun itu.

(Gambar: SCDF)
"Ini juga adalah salah satu sebab utama mengapa saya memutuskan untuk menerokai percetakan 3D untuk mengatasi isu kos," tambahnya lagi.
Dua individu tersebut adalah antara 194 individu dan agensi yang diiktiraf hari ini (28 Okt) menerusi empat kategori dalam majlis yang diadakan secara online.
Kategori-kategori itu ialah Anugerah Pencapaian Home Team, Anugerah Kecemerlangan Operasi (OE), Anugerah Khidmat Bintang dan Anugerah Inovasi (InnovA).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.