Anugerah kembali selepas lima tahun; penyertaan cari bakat nyanyian kini dibuka
Usaha ini mencerminkan komitmen Mediacorp dalam mencungkil dan membimbing bakat baharu dalam industri hiburan tempatan. (Gambar: Mediacorp)
Kini memasuki edisi ke-12, usaha ini mencerminkan komitmen Mediacorp dalam mencungkil dan membimbing bakat baharu dalam industri hiburan tempatan.
Tahun ini juga, hadiah utama sebanyak $25,000 menanti juara yang akan dinobatkan pada peringkat akhir yang akan berlangsung pada 27 Oktober.
“Anugerah merupakan salah satu platform utama Mediacorp untuk mencari generasi baharu bintang tempatan. Bukan sahaja Anugerah telah melancarkan kerjaya ramai personaliti terkenal, malah ia juga menjadi platform yang menyerlahkan kemeriahan industri muzik Singapura," kata Ketua Pegawai Pelanggan dan Pembangunan Korporat, Angeline Poh.
"Kami berharap para penyanyi berbakat di Singapura akan merebut peluang ini untuk tampil menyerlah!” katanya lagi.
Program yang melahirkan bintang berbakat seperti Aliff Aziz, Hyrul Anuar dan O.M.A itu bakal menampilkan kekayaan dan kepelbagaian bakat dalam masyarakat serta mengajak para penyanyi solo berbakat untuk menyerlahkan kemampuan vokal mereka dalam pertandingan tersebut selama sepuluh minggu.
Mereka yang berusia 16 hingga 30 tahun boleh menghantar penyertaan secara dalam talian dari 11 hingga 29 Mei.
Peserta yang dipilih akan dipanggil menghadiri uji bakat pada 6 dan 7 Jun, manakala sesi uji bakat terbuka akan diadakan pada 13 Jun di Taman Warisan Melayu.
Para peserta akan dinilai berdasarkan teknik vokal, interpretasi lagu dan karisma di atas pentas.
Anugerah akan mula disiarkan pada 25 Ogos di mewatch dan Suria pada setiap hari Selasa, 8.30 malam.
Penonton juga boleh menantikan kandungan khas media sosial di Instagram dan TikTok Mediacorp Untukmu yang menawarkan lebih banyak kandungan mengenai perjalanan para peserta serta pengalaman di sebalik pertandingan.
Kandungan digital eksklusif tambahan juga akan tersedia di mewatch dan Mediacorp Entertainment di YouTube.
Untuk maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan dan butiran uji bakat, sila layari mediacorp.sg/anugerah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.