Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anugerah Gastronomi Halal pertama diadakan pada Mei 2024

Buat julung-julung kalinya, Persekutuan Halal Kulinari Singapura (SHCF) dan platform pelancongan HalalTrip memperkenalkan anugerah-anugerah baharu bagi mengiktiraf perusahaan makanan halal setempat.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Persekutuan Halal Kulinari Singapura (SHCF) dan platform pelancongan HalalTrip memperkenalkan anugerah-anugerah baharu bagi mengiktiraf perusahaan makanan halal setempat.

Sehingga kini, mereka sudah menyenarai pendek hampir 300 restoran, kafe dan kedai-kedai di pusat penjaja untuk dinilai.

Anugerah Gastronomi Halal itu juga bertujuan untuk mempamerkan kecemerlangan dalam masakan serta memartabatkan lagi makanan halal setempat.

'PENJAMU MISTERI': PENILAIAN DIJALANKAN PARA PAKAR SECARA RAHSIA

Perusahaan makanan yang terpilih bakal dinilai berdasarkan lima kriteria termasuk kreativiti hidangan, rasa, mutu makanan, inovasi kepada menu dan perkhidmatan.

Para pakar akan ke kedai-kedai itu secara rahsia untuk melakukan proses penilaian sehingga Februari 2024.

Perusahaan yang memenuhi kriteria yang ditetapkan itu akan mendapat gred satu hingga tiga.

Di samping itu, perusahaan yang mencatat prestasi terbaik dalam kategori hidangan masing-masing juga bakal dinobatkan dengan anugerah tambahan termasuk Anugerah Restoran atau Kafe Etnik Terbaik dan Pendatang Baharu Terbaik.

"Kini, ia bukan hanya sekadar mencari restoran yang Halal tetapi mencari restoran Halal yang terbaik dan yang paling autentik juga. Kebanyakan orang kini menempatkan kepentingan pada pengalaman kulinari yang berbeza-beza dari makanan jalanan autentik hingga ke 'fine dining'.

"Tujuan kami adalah untuk mengembangkan ini menjadi inisiatif global dan kami merancang untuk meluaskan ke bandar-bandar lain, seperti Kuala Lumpur, Jakarta, London dan selainnya," kata Pegawai Perkongsian Strategik dan Peneraju Projek, HalalTrip, Cik Raudha Zaini kepada wartawan Syawal Yusoff.

KEPUTUSAN DIUMUMKAN MEI 2024

Semasa sesi sidang media yang dijalankan pada Khamis (14 Dis) di restoran Mr Biryani, para penganjur turut mengumumkan bahawa sebuah pertandingan di antara cef-cef perusahaan makanan tersebut juga bakal diadakan bagi menguji kehandalan mereka.

Pihak media juga difahamkan bahawa salah satu pusingan pertandingan tersebut juga akan diadakan di atas kapal pesiaran Resorts World Cruises.

Semua keputusan akan diumumkan di edisi keempat Sidang Puncak Antarabangsa 'Halal In Travel' pada Mei tahun hadapan.

"Pertandingan ini akan menghimpunkan cef pelbagai kepakaran, mencabar mereka untuk mengetengahkan imaginasi dan kemahiran masakan mereka. Platform ini sangat penting untuk memajukan peringkat seterusnya landskap makan Halal, di Singapura dan di seluruh dunia," kata Presiden SHCF, Cef Muhammad Kamal Khamis.

Menurut HalalTrip, terdapat lebih 5,000 perusahaan makanan Halal di Singapura dan pasaran makanan halal di sini dianggarkan bernilai S$1 bilion.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan