Skip to main content

Singapura

Anugerah Gastronomi Halal 2025 diluaskan ke Johor

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat pertama kalinya, restoran, kedai makan dan penggiat industri F&B halal dari Johor juga akan diiktiraf dalam Anugerah Gastronomi HalalTrip (HTGA).

Langkah meluaskan edisi kedua anugerah itu ke luar negara menandakan satu pencapaian penting untuk meningkatkan taraf gastronomi Halal di persada dunia dan menetapkan penanda aras antarabangsa bagi kecemerlangan kulinari halal.

Pengumuman itu dilakukan semasa persidangan media dan rakan kongsi HTGA 2025 pada Rabu (15 Jan).
Ketua Perkongsian & Projek, HalalTrip, Raudha Zaini berkongsi tentang peluasan HTGA 2025 ke Johor.
“Buat pertama kali juga tahun ini, kami akan melancarkan Anugerah Gastronomi Halal Johor. Langkah ini mengiktirafkan hubungan gastronomi yang erat antara Singapura dan Johor,” kata Ketua Perkongsian & Projek, HalalTrip, Raudha Zaini.

Edisi kedua HGTA akan menampilkan kategori yang sama seperti tahun lalu termasuk 'Anugerah Diamond', 'Anugerah Best-in-Class' dan Anugerah Cef untuk mengiktiraf kecemerlangan kulinari di samping kreativiti dan dedikasi cef dan perusahaan makanan halal.
Penerima HGTA 2024, Cef Zarifah Rasid (berbaju hitam) berkongsi pengalaman sebagai penerima HGTA 2024.
Terdapat juga pembaharuan yang diperkenalkan pihak penganjur iaitu platform pelancongan HalalTrip dan Persekutuan Halal Kulinari Singapura (SHCF) iaitu 'Anugerah Dua Diamond' di mana restoran-restoran yang sudah menerima status 'Satu Diamond' tahun lalu akan dinilai dan berpeluang meningkat kepada status 'Dua Diamond' pula.

Tahun lalu, sebanyak 16 restoran diiktiraf dengan 'Satu Diamond'.

KATEGORI BAHARU DIPERKENALKAN

Selain itu, beberapa kategori baharu juga akan diperkenalkan mengikut trend dalam landskap kulinari halal di Singapura hari ini.

Kategori-kategori tersebut adalah Katerer Halal Terbaik, Anugerah Khidmat Cemerlang, Anugerah Kemampanan dalam Halal Gastronomi, Anugerah Inovasi dalam Makanan 'Fusion' dan Anugerah Makanan Sihat.

“Terdapat perkembangan menarik dalam makanan 'fusion' di mana cef-cef mahir menggabungkan pelbagai tradisi kulinari sambil mengekalkan integriti halal,” ujar Cik Raudha.

“Menu yang mementingkan pilihan yang lebih sihat semakin mendapat perhatian dengan hidangan berkhasiat yang bukan sahaja sedap malah mengikut citarasa moden juga berdasarkan data penilaian tahun lepas,” tambah beliau.
Presiden Persekutuan Halal Kulinari SG, Cef Kamal berkata HGTA boleh meningkatkan khidmat layanan dan memastikan mutu hidangan yang konsisten.
Restoran-restoran halal akan dikenal pasti mulai bulan Mac dan disenarai pendekkan sebelum dinilai sebanyak dua kali.

“Daripada mula kita ingin merancakkan industri pemakanan halal, jadi ini adalah satu anugerah di mana mereka dapat menilai berbanding dengan restoran 'mainstream' atau arus perdana. Jadi mereka boleh meningkatkan khidmat layanan, hidangan yang konsisten,” kata Presiden Persekutuan Halal Kulinari Singapura, Cef Muhammad Kamal Khamis.

“Dari situ, kita dapat memperkenalkan mereka di persada dunia supaya mereka yang datang ke Singapura, melancong ke Singapura, dapat membuat penilaian dan pemilihan yang baik.”

Keputusan Anugerah Gastronomi Halal 2025 akan diumumkan pada September nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita