Anugerah baru iktiraf SME S'pura yang usahakan pendigitalan
Satu anugerah baru diperkenalkan pada Rabu (3 Okt) bagi mengiktiraf syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) yang mencuba untuk membuat penyesuaian kepada persekitaran perniagaan yang kian sengit disebabkan teknologi.

Timbalan Setiausaha Agung NTUC Heng Chee How (tengah), Encik Yeo Guat Kwang, penolong pegarah besar dan pengarah U SME, NTUC (empat dari kiri) dan para pengurus UOB di pelancaran Anugerah 'SME Digital Leap'. (Gambar: UOB)
SINGAPURA: Satu anugerah baru diperkenalkan pada Rabu (3 Okt) bagi mengiktiraf syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) yang mencuba untuk membuat penyesuaian kepada persekitaran perniagaan yang kian sengit disebabkan teknologi.
Dilancarkan secara bersama oleh NTUC U SME dan Bank United Overseas (UOB), Anugerah 'SME Digital Leap' merupakan yang pertama dan satu-satunya anugerah yang mengiktiraf usaha-usaha pendigitalan SME.
Syarikat-syarikat akan dinilai dalam tiga bidang iaitu pengupayaan digital, pembangunan pekerja dan hala tuju kepimpinan.
Terdapat tiga kategori bagi SME: Syarikat kecil dengan 30 atau kurang kakitangan, syarikat yang menggajikan sehingga 100 pekerja dan syarikat lebih besar dengan jumlah kakitangan tidak melebihi 200 pekerja.
Kakitangan syarikat yang memainkan peranan penting dalam usaha pendigitalan syarikat juga akan diiktiraf dalam kategori berasingan.
Berucap di pelancaran anugerah itu, Penolong Setiausaha Agung NTUC Heng Chee How mengatakan bahawa kemunculan teknologi-teknologi digital sejak kebelakangan ini sudah menjejas perniagaan dan cara orang ramai menjalankan kegiatan seharian.
Meskipun pendigitalan satu wadah bagi para peniaga untuk meningkatkan operasi, beliau menekankan bahawa para majikan perlu mengambil langkah yang betul supaya "para pekerja boleh menyumbang dari peringkat awal lagi".
Ini termasuk melabur dalam kursus-kursus yang merapatkan jurang yang wujud dari segi kemahiran pekerja, serta cara komunikasi lebih baik supaya pekerja tidak terus berasa terancam dengan kemajuan teknologi yang dipercayai akan menggantikan tenaga kerja.
Malah, pendigitalan, khususnya kecerdasan buatan, boleh meningkatkan kepuasan kerja kerana tidak akan ada lagi tugasan-tugasan yang biasa.
Anugerah itu dibuka kepada SME yang memegang sekurang-kurangnya 30 peratus saham tempatan, urus niaga kumpulan syarikat kurang S$100 juta atau saiz pengambilan pekerja sehingga 200 orang.
SME yang layak boleh menyerahkan penyertaan masing-masing bermula 19 November 2018 hingga 15 Februari 2019.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.