Skip to main content

Singapura

Anugerah 2026 umum 14 peserta terbaik daripada lebih 150 jalani uji bakat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jul 2026 06:48PM Dikemas Kini : 11 Aug 2026 04:13PM

SINGAPURA: Pertandingan cari bakat nyanyian tempatan Mediacorp, Anugerah mengumumkan pada Selasa (28 Julai) 14 peserta terbaik yang terpilih untuk berentap di pentas utama bagi musim ke-12.

Pengumuman itu dibuat menerusi paparan video eksklusif yang dimuatnaik di mewatch dan YouTube Mediacorp Entertainment.

Program pertandingan nyanyian tempatan itu kembali selepas lima tahun dengan tujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam industri hiburan tempatan.

14 peserta tersebut atau 'Top 14' dipilih daripada 40 peserta terbaik atau 'Top 40' yang menjalani uji bakat.

TIMBA PENGALAMAN DAN ASAH BAKAT

Antara yang sebelum ini berjaya mara ke 'Top 40' ialah Charissa Annalista dan Qurrata A'yuni.

Meski tidak mara ke 'Top 14', kedua-dua bakat muda itu menyifatkan peluang tersebut sebagai pengalaman yang membuka ruang untuk terus berkembang dalam bidang seni.

Bagi Charissa Annalista, peluang tersebut membuka ruang untuk menimba ilmu daripada peserta lain yang lebih berpengalaman, lebih-lebih lagi sebagai peserta termuda dalam kelompok 'Top 40'.

Sambil melahirkan rasa syukur, peserta berusia 17 itu berkata: “Saya dapat belajar daripada peserta-peserta yang lebih berpengalaman, selain belajar daripada para kru dan staf di Anugerah.”

Menurut anak kepada pasangan yang pernah bergiat dalam sebuah kumpulan muzik, ibu bapanya banyak membentuk perjalanan seninya dengan menekankan kepentingan disiplin, komitmen serta sikap merendah diri.

Berbekalkan nasihat itu dan penglibatan aktif dalam bidang tarian, beliau “berasa lebih lega dan lebih berkeyakinan”.

Bagi Charissa, penyertaan dalam Anugerah bukan sekadar medan pertandingan, malah peluang untuk “terus mengasah kemahiran vokal dan persembahan di pentas, di samping membina jaringan dengan lebih ramai penggiat industri”.

PELUANG UNTUK CEBURI MINAT

Bagi Qurrata A'yuni, peluang mara ke kelompok 'Top 40' merupakan satu langkah penting dalam usahanya mengembangkan bakat nyanyian yang dipupuk sejak kecil oleh keluarganya.

Selain sokongan keluarga, kerjayanya sebagai seorang cef turut membentuk dirinya sebagai seorang penghibur yang lebih berdisiplin dan kreatif ketika membuat persembahan.

Dorongan bapanya pula menjadi antara prinsip yang terus dipegang sepanjang perjalanan itu.

"Ayah selalu berpesan agar saya mengejar apa yang saya minati dengan sepenuh hati. Dia juga sering memperkenalkan saya kepada lagu-lagu yang tidak begitu berada di arus perdana," ujar Qurrata, 22 tahun.

Beliau juga tidak asing dengan dunia pertandingan nyanyian.

Sebelum menyertai Anugerah, beliau pernah menghadiri uji bakat I Can See Your Voice.

Qurrata berharap pertandingan Anugerah dapat "membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan bakat dan melangkah ke pentas yang lebih besar".

LANGKAH SETERUSNYA DI PENTAS UTAMA

Perjalanan Charissa dan Qurrata bagaimanapun berakhir di peringkat Top 40 apabila hanya 14 peserta dipilih untuk meneruskan saingan ke pentas utama.

Mereka ialah:

  • Akif Halqi
  • Alfan Ryan
  • Banie
  • Chariska Diva Anugrah
  • Darwish Sofyan
  • Falisha Mustafa
  • Farras Qushayyi
  • Firdaus Senin
  • Hirza Haizal
  • Izzan Adlan
  • Nada Fitri
  • Nadhrah Roslan
  • Syafiqah Aziz
  • Tahniah Shahar
Sebelum pemilihan 'Top 40' dan 'Top 14', lebih 150 bakat muda telah menyertai sesi uji bakat yang berlangsung di Taman Warisan Melayu pada 6, 7 dan 13 Jun lalu.

Anugerah akan mula disiarkan pada 25 Ogos di mewatch⁠ dan Suria⁠ pada setiap hari Selasa, 8.30 malam.

Penonton juga boleh menantikan kandungan khas media sosial di Instagram dan TikTok Mediacorp Untukmu yang menawarkan lebih banyak kandungan mengenai perjalanan para peserta serta pengalaman di sebalik pertandingan.

Kandungan digital eksklusif tambahan juga akan tersedia di mewatch dan Mediacorp Entertainment di YouTube⁠.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita