Anugerah 2026: Enam peserta 'Wildcard' rebut dua tempat ke separuh akhir
Keenam-enam peserta 'Wildcard' Anugerah 2026 di sesi raptai. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Dua daripada enam peserta pusingan 'Wildcard' akan dipilih untuk kembali meneruskan perjalanan mereka di pentas Anugerah pada peringkat separuh akhir minggu hadapan.
Keenam-enam peserta telah diundi oleh penonton pada minggu lalu daripada jumlah lapan peserta yang sudah tersingkir.
Para peserta pusingan 'Wildcard' malam ini ialah:
- Akif Halqi
- Chariska Diva Anugrah
- Farras Qushayyi
- Hirza Haizal
- Nadhrah Roslan, dan
- Syafiqah Aziz
Dengan tema 'Locals Only', para peserta akan mendendangkan lagu-lagu daripada penyanyi-penyanyi tempatan.
Mereka akan membuat persembahan solo dan duet bersama peserta 'Wildcard' lain.
Seperti minggu lalu, persembahan duet akan membentuk 20 peratus undian keseluruhan juri.
Pasangan serta lagu duet telah dipadankan oleh para penerbit Anugerah 2026.
SYAFIQAH AZIZ AMBIL IKTIBAR DARIPADA PENYINGKIRAN
Peluang kedua bersaing di pentas utama Anugerah 2026 tidak akan disia-siakan.
Demikian kata-kata peserta pusingan 'Wildcard', Syafiqah Aziz, apabila ditemui wartawan Athirah Karim.
"Saya rasa amat bersyukur dan terharu kerana telah diberikan peluang yang kedua untuk masuk pusingan 'Wildcard' ini dan saya juga ingin membuktikan kepada semua bahawa saya mampu bangkit dan memberikan yang terbaik," katanya.
Syafiqah yang telah tersingkir pada episod ketiga Anugerah 2026 turut melahirkan perasaan kecewanya namun tetap mengambil iktibar daripada penyingkiran tersebut.
"Sejujurnya, memang saya rasa amat kecewa dan sedih kerana, pada saya, perjalanan Anugerah saya telah berakhir terlalu awal. Namun, saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka dan saya mengambil ini sebagai satu pengalaman dan juga peluang untuk saya belajar lebih lagi tentang diri saya terutama sekali daripada segi persembahan dan juga keyakinan diri," luahnya.
Dalam pada itu, beliau mengambil peluang tersebut untuk terus meningkatkan dirinya.
"Sepanjang tiga minggu ini, saya telah banyak fokus kepada latihan vokal, kawalan pernafasan dan juga stamina saya. Dan selain daripada itu juga, saya masih lagi menonton Anugerah di rumah kerana saya ingin mengambil komen-komen yang telah diberikan oleh juri untuk memperbaiki diri saya sendiri," tambahnya lagi.
Syafiqah akan membawakan lagu 'Kau Ingin Kumiliki' oleh Nurun Nuwarrah bagi persembahan solonya.
PESERTA KURANG MENJIWAI PERSEMBAHAN: HADY MIRZA
Bagi juri tetap Hady Mirza, teknik vokal sahaja tidak mencukupi.
Beliau juga berharap para peserta boleh menjiwai persembahan mereka.
"Saya rasa ada beberapa peserta yang mempunyai teknik yang sangat baik tapi mempunyai teknik yang baik tidak semestinya dia akan membuat persembahan itu menyentuh jiwa kami dan juga para penonton," tambah beliau lagi.
Menurut beliau lagi, ciri itulah yang beliau lihat boleh membawa para peserta ke peringkat akhir pertandingan.
"Sebenarnya ada beberapa peserta yang saya rasa boleh mara ke peringkat akhir kerana mereka, pada pendapat saya, mereka sudah terbiasa dengan membuat persembahan di atas pentas dan mungkin rasa gementar mereka kurang. Tapi pada saya, secara peribadi, pada saya masih lagi mempunyai kekurangan kerana mereka masih rasa mungkin kurang keyakinan diri. Jadi, saya rasa pada minggu yang ke hadapan, jikalau mereka rasa lebih yakin, saya rasa persembahan mereka akan lebih menyerlah," ujarnya lagi.
Beliau sekali lagi akan disertai Najip Ali dan Aina Abdul di panel juri malam ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.