Skip to main content

Singapura

Antologi cerpen 'Intai Kami Antara Nampak' himpun kisah guru, cetusan ilham 15 penerima AGAB

Kisah pengalaman seharian dalam bidang kerjaya sebagai seorang guru diabadikan dalam satu antologi cerpen hasil karya para penerima Anugerah Guru Arif Budiman dari tahun 2007 hingga 2019.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kisah pengalaman seharian dalam bidang kerjaya sebagai seorang guru diabadikan dalam satu antologi cerpen hasil karya para penerima Anugerah Guru Arif Budiman dari tahun 2007 hingga 2019.

Antologi cerpen bertajuk 'Intai Kami Antara Nampak' menghimpunkan 15 kisah pendek mengenai pengalaman seharian sebagai seorang pendidik dan mengiktiraf bakti guru-guru setempat.

Cerpen itu merupakan antologi cerpen kedua yang diterbitkan hasil daya kreatif para guru setempat dan diselenggarakan oleh penerima AGAB pada 2017, Cikgu Djohan Abdul Rahman.

"Jalan cerita bagi setiap tajuk dalam buku cerpen itu tertumpu pada bidang kerjaya seorang guru, baik dari kaca mata masyarakat mahupun dari sudut pandangan guru itu sendiri," kongsi Cikgu Djohan kepada BERITAmediacorp.

Antara karya penerima AGAB yang dimuatkan dalam antologi cerpen itu termasuk karya Allahyarham Cikgu Naim Daipi dengan yang bertajuk 'Cikgu Hafizah'.

500 NASKHAH CETAKAN PERTAMA LARIS DIJUAL DALAM TEMPOH 3 MINGGU

Apabila buku antologi cerpen 'Intai Kami Antara Nampak' pertama kali dilancarkan pada awal tahun ini, sebanyak 500 naskhah buku laris dijual dalam tempoh tiga minggu.

Buku itu mula dihasilkan pada 2019 dan dijadual dilancarkan pada tahun lalu, namun tarikh pelancarannya ditunda hingga ke awal 2021 ekoran pandemik COVID-19.

Kini, hampir 80 peratus naskhah cetakan kedua sudah dijual.

"Kebanyakannya dijadikan sumber bacaan program pengayaan bagi pelajar yang ingin mendalami pemahaman mereka dalam Bahasa dan Kesusasteraan Melayu," kata Cikgu Djohan yang juga mesra dipanggil "Bobo".

Buku setebal 172 halaman itu dijual pada harga S$15 dan boleh dibeli daripada Unggun Creative.

LAGU 'DIKAU GURU ARIF BUDIMAN' DICIPTA SEMPENA ULANG TAHUN KE-15 AGAB

Sehubungan itu, satu lagi usaha oleh para penerima AGAB demi mengiktiraf sumbangan istimewa guru-guru Bahasa Melayu setempat termasuklah penghasilan lagu istimewa AGAB 2021.

Lagu bertajuk 'Dikau Guru Arif Budiman' itu dicipta sebagai hadiah ulang tahun ke-15 Anugerah Guru Arif Budiman dan akan dipersembahkan di majlisnya hari ini (6 Nov).

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita