Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anjung@WGS dibuka rasmi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anjung@WGS dibuka secara rasmi pada Jumaat (8 Jul).

Ia dirasmikan tetamu terhormat Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Pembangunan Negara merangkap Kewangan, Indranee Rajah, Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman.

Diumumkan tahun lalu, Anjung@WGS adalah sebahagian daripada projek Jalur Budaya Geylang Serai yang meliputi kawasan dari Tanjong Katong Complex hingga ke Kelab Masyarakat Kampong Ubi bagi memaparkan ciri-ciri budaya dan warisan kawasan itu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pelancaran bangunan itu juga menandakan bermulanya sambutan sepanjang bulan di Anjung@WGS, bermula esok. 

Pelbagai acara kebudayaan, karnival dan sukan bakal diadakan.

ANJUNG@WGS MUNGKIN BOLEH MENCUNGKIL TOKOH SUKAN BARU

Dalam ucapannya Cik Indranee berkata acara-acara sedemikian akan merancakkan lagi kawasan Geylang Serai dan mengukuhkan lagi identiti kebudayaan kolektif kawasan tersebut.

"Ruang-ruang boleh mencipta kenangan dan dengan ruang baru ini, saya jangkakan untuk melihat Anjung@WGS berkembang dan menarik bakat-bakat sukan: tidak kira yang amatur mahupun profesional, untuk mempamerkan menonjolkan bakat mereka dan menikmati ruang ini bersama masyarakat," kata Cik Indranee, yang berucap dalam Bahasa Inggeris dan Melayu.

"Siapa tahu, mungkin kita boleh mencungkil Fandi Ahmad yang seterusnya di sini, di Anjung@WGS!" selorohnya.

Bintang-bintang sukan tempatan termasuk Malek Awab antara yang hadir di majlis tersebut.

Cik Indranee turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan Anjung@WGS.

"Saya berharap masyarakat akan terus menyokong WGS dalam usaha mereka melestarikan seni, warisan dan budaya dalam acara-acara yang akan diadakan pada masa hadapan," ujarnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"BUKANLAH HANYA DEWAN SERBAGUNA": MALIKI

Harapan tersebut turut dikongsi Pengerusi Jawatankuasa projek Jalur Budaya Geylang Serai Dr Mohamad Maliki Osman.

Dr Maliki berharap pembukaan bangunan baru itu dapat menarik lebih ramai pengunjung yang ingin menikmati dan menghargai budaya serta warisan masyarakat Melayu Singapura.

"Anjung@WGS bukanlah hanya dewan serbaguna tetapi ia lambang pertemuan, mengeratkan perhubungan dan persahabatan sekaligus mengukuhkan perpaduan masyarakat."

(Gambar: Syawal Yusoff)

Dr Maliki turut memberi kemas kini tentang usaha pembaharuan kawasan Geylang Serai.

Ini termasuk gerbang ikonik di persimpangan Geylang Road dan Joo Chiat Road serta lebih banyak perhentian rehat dan laluan berkongsi di hadapan Pasar Geylang Serai.

Beliau berharap peningkatan tersebut akan merancakkan lagi ruang dan menarik pengunjung pasar dan belia ke Jalur Budaya Geylang Serai.

"Kita boleh lakukan banyak perubahan dari segi infrastruktur. Namun, untuk menghidupkan Jalur Budaya Geylang Serai, kita memerlukan masyarakat untuk melangkah ke hadapan bersama kami dalam perjalanan penuh bermakna ini – menganjurkan acara dan aktiviti yang menarik warga Singapura ke Geylang Serai untuk menghargai kepelbagaian yang ditawarkan.

"Warisan dan budaya adalah sesuatu yang sungguh dinamik dan patut terus berkembang dan hidup segar. Ini aspirasi kita untuk Jalur Budaya Geylang Serai," kata Dr Maliki.

(Gambar: Syawal Yusoff)

MUZIKAL DAN PEMENTASAN KOMEDI DISAJIKAN SEHINGGA AKHIR TAHUN

Di kesempatan itu, Dr Maliki turut berkongsi beberapa acara menarik untuk menyemarakkan lagi budaya serta kegiatan Melayu di situ.

Antaranya adalah persembahan komedi 'Geylang Roar' yang menampilkan tiga pelawak tempatan - Suhaimi Yusof, Kumar dan Hossan Leong.

Orang ramai juga boleh menjangkakan pementasan muzikal 'Wayang@WGS', 'The Paiseh Pieces', 'Kenangan' dan banyak lagi.

Sempena sambutan Bulan Bahasa daripada 13 Ogos hingga 9 Oktober nanti, WGS juga akan menampilkan 'Malam Citrawara' yang meneroka budaya dan seni Melayu melibatkan kumpulan-kumpulan seni.

Buku kedua dan ketiga siri 'Cerita@Geylang Serai' yang merakamkan pembangunan kawasan Geylang Serai daripada abad ke-19 hingga ke-21, akan turut dilancarkan. 
 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan